Opinion

Tinggal 3 tahun lagi untuk Najib

Kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini memasuki usia 6 tahun tahun ini sejak mengambil alih pentadbiran negara daripada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) pada 2009 sudah melalui satu pilihan raya umum (PRU) dan ternyata beliau berdepan pelbagai ujian dari dalam dan luar negara.

Menjadi perdana menteri pada ketika pakatan pembangkang begitu kuat dengan “musuh” utama Umno iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pelekat terhadap gabungan PAS-PKR-DAP, sebenarnya adalah igauan ngeri kepada mana-mana pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN).

Dan ia ditambah lagi dengan kepesatan penggunaan media sosial yang begitu meluas dan amat dipercayai rakyat negara ini, menyebabkan segala kelakuan, tindak-tanduk serta gerak geri Najib serta keluarganya menjadi fokus utama.

Namun dengan pengalaman selama lebih 30 tahun dalam arena politik negara serta pentadbiran kerajaan, ramai pada mulanya menyangka Najib akan membawa Umno serta BN ke tahap lebih tinggi hingga sukar digugat pakatan pembangkang termasuk Anwar.

Mengemudi bahtera BN dan Umno ketika rakyat dilihat menolak kepimpinan parti ini, menyebabkan Najib tidak mempunyai cara lain dalam memastikan BN terus mendapat mandat memerintah dalam PRU 13 dengan menjual imejnya.

Ia dibuktikan dalam PRU 13 lalu, apabila penasihat-penasihat perdana menteri berjaya menyakinkan beliau yang BN hanya akan dapat memenangi PRU berkenaan dengan menjual, mengangkat dan menjulang imej Najib.

Memang strategi berkenaan tidak salah dan harus serta perlu digunakan jika pemimpin itu mempunyai kepopularitian yang tinggi selain kekuatan untuk menyakinkan rakyat bersama-sama dengannya bagi memimpin negara.

Namun kini sudah timbul keraguan sama ada cara kepimpinan ala “presiden” itu yang cuba dilakukan Najib, akan membolehkan Umno dan BN memenangi PRU 14 lebih cemerlang daripada PRU 13 atau sebaliknya, menjadi sauh yang menurunkannya lagi hingga ke dasar.

Tetapi apabila seseorang pemimpin itu dikritik hebat oleh bekas pemimpin negara terdahulu seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Najib sebenarnya amat memerlukan keluarbiasaan kepimpinan dan keperibadian untuk terus mendapat sokongan daripada rakyat.

Sesuatu yang bertuah untuk Najib dalam pentadbirannya selaku perdana menteri dan presiden Umno, adalah beliau tidak mempunyai sebarang cabaran daripada dalam parti itu sendiri selama tempoh lima tahun mengemudi negara.

Tiada sebarang kem sama ada di peringkat naib presiden atau Majlis Tertinggi (MT) Umno yang mahu mencabar kepimpinannya sebagai presiden parti sekali gus menurunkannya daripada Putrajaya.

Ia nyata amat berbeza dengan Dr Mahathir yang terpaksa menangani asakan bertali arus dalam parti dengan cabaran daripada Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh sehingga Umno diharamkan pada 1988 selain cabaran daripada “anak didiknya” sendiri, Anwar  sendiri pada akhir pemerintahannya.

Malah kini timbul ura-ura Anwar dilepaskan dalam rayuan terakhirnya untuk kes Liwat 2 semata-mata bagi membantu Najib bagi menghadapi cabaran daripada musuh ketat bekas timbalan perdana menteri itu iaitu Dr Mahathir.

Sebenarnya ramai yang lupa kelebihan yang ada pada Dr Mahathir ketika memerintah negara selama 22 tahun disebabkan dikelilingi sekumpulan menteri Kabinet yang sanggup bermatian untuknya seperti Tun Daim Zainuddin serta arwah ayahanda saya sendiri, Tok Mat dan arwah Tan Sri Megat Junid.

Menteri-menteri ini pula sememangnya mempunyai keupayaan sendiri untuk menarik sokongan rakyat kepada pemerintahan negara dan parti sekali gus memberikan kestabilan kepada Tun Dr Mahathir.

Walaupun dengan bilangan menteri Kabinet yang berjumlah antara 24 dan 25 orang sahaja berbeza dengan Kabinet pada zaman Najib sehingga 35 orang (terbesar dalam sejarah negara), kebanyakan menteri ketika itu berjaya memainkan peranan masing-masing menangkis serangan musuh daripada terkena Dr Mahathir.

Selain itu daripada segi peribadi pula, Dr Mahathir tidak mempunyai banyak masalah peribadi yang menghantuinya malah siapa yang boleh lupa apabila beliau bertindak mengeluarkan senarai kroni seperti yang diminta Anwar pada zaman akhir pemerintahannya sehingga berjaya mendiamkan segala tohmahan, kejian serta cacian terhadap beliau.

Ia amat berbeza dengan Najib apabila ramai yang melihat “excess baggage” beliau turut menyumbang kepada ketidakyakinan rakyat terhadap kepimpinannya sekali gus mendedahkan bukan sahaja dirinya tetapi juga Umno dan BN berdepan dengan pelbagai asakan pembangkang.

Isu-isu seperti penggunaan jet kerajaan baru-baru ini, jelas menambah lagi “masalah peribadi” yang dihadapi Najib dan tanpa penerangan yang jelas dan tepat, isu berkenaan sudah pasti akan terus meresap dalam jiwa serta pemikiran rakyat.

Walaupun, Najib mendapat pujian melangit dengan kejayaannya mendapatkan semula kotak hitam pesawat MH17 yang ditembak di Ukraine tahun lalu selepas mengadakan rundingan rahsia bersama puak pemisah negara berkenaan, tetapi ia tidak banyak membantu beliau dalam menangani serta mengikis persepsi dan imej negatif terhadap kepimpinannnya dalam negara.

Strategi menjual dirinya kepada rakyat jelas kini seperti pepatah “senjata makan tuan” apabila rakyat begitu peka dengan ketidakhadirannya dalam negara dan sentiasa mahu kehadirannya pada setiap saat.

Ia dibuktikan dengan bencana banjir di Pantai Timur hujung tahun lalu, apabila Najib terpaksa memendekkan percutian peribadinya ke Amerika Syarikat, walaupun seharusnya rakyat yakin dengan jentera kerajaan yang sudah bersedia dengan pelbagai persiapan menangani musibah berkenaan.

Segala isu-isu yang timbul menyelebungi Najib ini, jelas menyebabkan berlakunya sindrom kurang keyakinan di kalangan akar umbi parti yang terpaksa berada dalam mode bertahan setiap kali diasak pembangkang.

Golongan akar umbi ini sudah pasti mengharapkan calon “favorite” Najib untuk mengambil alih kepimpinan negara iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan dapat menunjukkan kepimpinannya pada masa sekarang sebagai pemimpin pelapis daripada segi usia berbanding dengan pemimpin atasan parti yang lain.

Bagaimanapun, Hishammuddin sebagai menteri pertahanan dan naib presiden Umno sendiri ternyata gagal membawa kepimpinannya sendiri dalam berdepan dengan rakyat terutama sekali dalam menarik sokongan kepada parti.

Sebenarnya, golongan berusia hampir 50 tahun dalam Umno yang masih dikategorikan sebagai muda seperti saya amat bimbang melihat senario ini terus berlaku tanpa ada sebarang tindakan progresif serta drastik untuk menangani dan mengatasinya.

Jika diamati dengan mendalam walaupun gaya kepimpinan dan suara Dr Mahathir disukai ramai ketika ini tetapi beliau sendiri sebenarnya pada ketika ini sudah terpisah daripada pentadbiran kerajaan serta parti.

Di sinilah kegagalan Najib untuk mengambil peluang mengimbangi pengaruh Dr Mahathir yang sebenarnya, boleh dineutralkan jika beliau mempunyai kebijaksanaan dan berpendirian dalam setiap langkah yang diambil.

Lihat sahaja ucapan Najib selaku presiden setiap kali Perhimpunan Agung Umno ternyata masih lagi boleh dikategorikan seperti ucapan ala seorang ketua Pemuda Umno sedangkan sepatutnya setiap nada kata seharusnya seumpama seorang “statesman”.

Sesuatu yang menghairankan juga kerana pada zaman Dr Mahathir menjadi presiden Umno, beliau dalam ucapannya sering merendah-rendahkan orang Melayu dengan menyatakan mereka malas, memerlukan tongkat dan sebagainya, tetapi tidak pula menerima kecaman atau kritikan terbuka daripada mana-mana pihak.

Ketika itu masih tiada Perkasa tetapi Presidennya Datuk Ibrahim Ali berada dalam Umno dan saya pasti beliau sentiasa bersetuju dengan apa yang diperkatakan Dr Mahathir pada waktu itu tetapi kini sudah berbeza sama sekali.

Ahli Umno ketika itu atau orang Melayu secara keseluruhan percaya dengan apa diperkatakan Dr Mahathir mengenai segala sikap negatif bangsanya sendiri dan tiada yang berani berhujah menentang.

Tetapi keadaan amat berbeza pada masa kini, dengan Umno dilihat terus tunduk kepada tekanan NGO Melayu berhaluan kanan, malah pemimpin Umno sendiri tidak berani untuk mengkritik orang Melayu secara terbuka disebabkan mahu menjaga “periuk nasi” masing-masing.

Sepatutnya Najib memanfaatkan peluang diberikan Pak Lah yang menyerahkan kepimpinan negara atas dulang emas tanpa sebarang tekanan untuk mengadakan perubahan dengan lebih cepat terutama sekali dalam Umno itu sendiri.

Itulah sifat kepimpinan yang perlu ditampil dan dipamerkan Najib kerana sebagai pemimpin nombor satu negara dan parti, beliau perlu segera membetulkan keadaan dengan memperlihatkan kebijaksanaannya.

Pemimpin luar negara seperti Obama yang dulunya begitu yakin dengan program transformasi Najib juga mungkin sudah “gegar” dengan keazaman beliau untuk menunaikan janjinya menyertai perjanjian TPPA hingga Obama sanggup meluangkan masanya yang sibuk sebagai pemimpin kuasa besar dunia bermain golf bersamanya.

Pendekatan Najib untuk memberikan isyarat keterbukaan dan reformasi kepada masyarakat antarabangsa tetapi berbuat sebaliknya di dalam negara sudah tentu menimbulkan kesangsian pemimpin luar negara seperti Obama.

Secara peribadi, saya takut Najib juga akan hilang keyakinan masyarakat antarabangsa dan mengurangkan keberkesanan peranan Malaysia sebagai anggota Majlis Keselamatan Dunia dan Pengerusi Asean bermula tahun ini.

Masa tidak lagi panjang untuk Najib memperlihatkan semula kebijaksanaannya dalam memimpin parti serta negara dan sebagai pemimpin yang sudah melalui segala pengalaman mentadbir kerajaan daripada peringkat negeri dan pusat, beliau perlu membuat perubahan dengan segera.

Saya berharap Najib tidak akan menyalahkan rakyat kerana masih tidak menerima penuh kepimpinan dan membandingkan 5 tahun pemerintahannya dengan sejarah awal pemerintahan Dr Mahathir dulu.

Najib tidak mempunyai pilihan dengan menggunakan kuasanya untuk menyebabkan Umno diharamkan seperti yang dilakukan Dr Mahathir pada 1988 kerana parti komponen utama BN seperti MCA dan MIC tidak bermaya untuk membantu Umno untuk pulih semula seperti yang berlaku tahun 27 tahun dulu.

Saya pun tidak yakin pejuang pejuang berani mati seperti yang digunakan Dr Mahathir untuk menyelamatkan partipada 1988 masih wujud dalam Umno baru yang ada sekarang.

Jika Najib terus memperlihatkan kelemahannya terutama sekali dengan dibebani pelbagai “personal baggage” dan terikut-ikut dengan desakan dan nasihat pihak tertentu, rakyat akan terus hilang keyakinan terhadap kepimpinannya.

Dan untuk PRU 14 nanti jika Umno tidak boleh lagi bergantung kepada Najib untuk meraih sokongan rakyat seperti yang berlaku pada PRU 13, siapa lagi yang akan dapat membantu parti memenangi pilihan raya.

Ketika itu, rakyat sudah pasti akan membuat keputusan dengan membandingkan kelemahan BN dan PR untuk memerintah negara dengan mengkaji siapa paling lemah dan tidak layak memerintah bukannya kekuatan yang ada pada parti dan pemimpinnya.

Alangkah sedih juga sekiranya Umno dan BN tidak dapat mengambil kesempatan dengan perpecahan yang dijangkakan dalam Pakatan Rakyat dan gagal mencapai prestasi yang lebih baik pada PRU 14.

PRU 14 akan menentukan bukan sahaja nasib Najib sebagai perdana menteri tapi masa depan Umno dan BN untuk terus berkuasa. Soalnya adakah parti akan terus menerima Najib tanpa syarat untuk menjadi nakhodanya. – 1 Februari, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments