Opinion

Umno adalah cermin kerajaan

Umno adalah cermin kerajaan dan begitu juga kerajaan adalah cermin Umno.  Tiada siapa yang boleh menafikan hakikat berkenaan dan ia sama juga apabila diperkatakan di Selangor (PKR), Pulau Pinang (DAP) dan Kelantan (PAS).

Justeru, apa yang dilaungkan, dibahaskan dan diperkatakan dalam ruang lingkup Umno, ia mencerminkan apa yang berlaku dalam kerajaan sama ada daripada segi dasar, pelaksanaaan serta tindakannya.

Masih segar daripada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2013 yang berakhir Sabtu minggu lalu, ramai pemerhati yang melihat Umno mula mengalihkan landasan perjuangannya daripada sebuah parti berhaluan tengah atau “moderate” serta sederhana sejak penubuhannya pada 11 Mei 1946 kepada sebuah parti yang boleh dilabel berhaluan ‘kanan’.  Sila baca artikel saya sebelum ini, bertajuk “Ke Mana Haluan Umno Menjelang PRU14”.

PAU 2013 mencerminkan serta menceritakan segala-galanya apa yang dimahukan 2,500 perwakilan mengenai perjuangan berterusan yang lebih radikal dalam memperjuangkan orang Melayu serta agama Islam.

Namun timbul juga persoalan adakah sejak penubuhannya 67 tahun lalu serta kelahiran Umno semula pada 1988, perjuangan mengenai bangsa Melayu dan agama Islam menjadi selantang atau seradikal ini, dalam parti terbesar orang Melayu di Malaysia.

Dengan jumlah ahli sebanyak 3.5 juta orang, adakah Umno yakin bahawa inikah perjuangan yang dimahukan 67% orang Melayu di negara ini dalam menjamin parti terus berkuasa selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 14.

Ketika rakyat negara ini, begitu kritikal terhadap isu-isu yang membabitkan ketirisan, penyelewengan, salah guna kuasa serta rasuah yang dikatakan berleluasa dalam kerajaan...ketika rakyat negara ini, bergelut untuk memahami rasional terhadap dasar rasionalisasi subsidi yang menyaksikan kos sara hidup meningkat, tiada perwakilan Umno dalam PAU 2013, yang benar-benar serius untuk berbahas mengenai isu-isu berkenaan sama ada ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Umno atau dalam perbahasan usul ekonomi, pendidikan serta agama.

Terus terang, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak untuk memastikan perbelanjaan serta hasil negara benar-benar digunakan sebaiknya demi kepentingan rakyat, saya kecewa dengan apa yang berlaku ketika PAU 2013.

Perwakilan Umno seharusnya menggunakan medan PAU 2013 untuk menyakin serta membuktikan kepada rakyat bahawa kemenangan BN dalam PRU13, adalah titik perubahan ke arah Malaysia yang  lebih baik.

Seharusnya, PAU 2013 dijadikan lapangan atau medan untuk perwakilan serta pemimpin Umno menunjukkan keseriusan parti untuk terus menjadi cermin kerajaan yang menentang keras segala bentuk penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa serta ketirisan dalam kerajaan demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya pada waktu kini dan masa depan.

Ini yang sebenarnya dimahukan rakyat ketika pemimpin-pemimpin Umno melaungkan bahawa Umno adalah parti untuk rakyat jelata.

Keluh kesah rakyat terhadap isu-isu ini, juga yang mendorong  Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin membangkitkan mengenai betapa kerajaan perlu serius dalam menangani segala apa yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Syabas saya ucapkan kepada KJ yang memahami denyut nadi rakyat serta kehendak rakyat sebenarnya, apa yang dimahukan rakyat dalam perjuangan Umno pada waktu ini.

Saya khuatir dengan laungan radikal untuk memperjuangkan kepentingan Melayu serta agama Islam, akan mengakibatkan berlaku perubahan terhadap dasar pelaburan asing negara.

Ketika ekonomi Malaysia dilihat bergantung kuat terhadap Pelaburan Terus Asing (FDI), kesederhanaan Umno dan kerajaan dalam agenda Bumiputera serta perjuangan menegakkan agama Islam perlu selari serta seiring.

Selama ini, Malaysia dilihat dunia sebagai sebuah negara Islam yang sederhana dengan perjuangan Umno turut membela nasib agama serta kaum lain.

Atas sebab itu juga, Malaysia sering dijadikan “role model” negara Islam di mana rakyat berbilang kaum serta agama hidup aman harmoni serta menghormati antara satu sama lain.
Kesederhanaan perjuangan Umno dalam memperjuangkan agenda Bumiputera serta agama Islam dijadikan sebagai dasar kerajaan dalam memastikan pengagihan kekayaan antara kaum sentiasa seimbang.

Ia sekaligus menjadi tarikan utama kepada pelabur asing untuk terus melabur di Malaysia yang dlihat mempunyai iklim ekonomi yang kukuh serta dasar kerajaan terhadap semua agama dan kaum yang sederhana.

Dasar luar negara selalunya bermula di “rumah” sendiri dalam konteks ini, ia bermula dalam PAU.  Jika kita mahu orang terutama sekali rakyat menghormati Umno, seharusnya Umno yang juga cermin kerajaan memahami bahawa kita adalah parti pemerintah Malaysia yang sederhana dan ‘moderate’.

Umno adalah rakan terbaik di kalangan parti di Malaysia untuk pelabur luar dan penegak agama Islam untuk semua tidak mengira bulu.

Tetapi jika PAU 2013 dijadikan sebagai penanda aras perjuangan Umno menjelang PRU14, saya amat khuatir sama ada meninggalkan kesederhanaan yang menjadi teras kepada perjuangan parti kepada perjuangan Melayu yang lebih radikal akan dapat memastikan Umno terus berkuasa pada PRU 14.

Adakah menjadi keperluan utama yang dituntut agama Islam untuk memasukkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam Perlembangaan Negara?

Indonesia yang mempunyai penganut agama Islam terbesar di dunia tidak berbuat demikian dan di sana terdapat pelbagai ajaran Islam tetapi umat Islam di republik berkenaan dapat hidup aman damai tanpa sebarang pertelingkahan.

Perlembagaan negara sudah menjamin agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia sekaligus ia secara langsung agama Islam yang berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana itu yang diamalkan rakyat negara ini, sejak Islam mula tersebar di Tanah Melayu pada zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka.

Saya memahami kerisauan pemimpin Umno mengenai ajaran Syiah jika ia tidak dibendung boleh membawa kepada perpecahan antara umat Islam di negara ini, tetapi peruntukan undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk mengekangnya.

Sebenarnya, apa yang lebih penting untuk Umno adalah untuk mengubah persepsi rakyat kepada parti serta kerajaan.

Kegagalan mengubah persepsi ini, yang menyebabkan prestasi BN merosot dalam PRU 13 berbanding PRU 12 dan hakikat ini, diakui sendiri oleh Datuk Seri Noh Omar, Pengerusi Umno Selangor.

Beliau tidak segan silu mengakui bahawa kelemahan untuk menangani persepsi ini, yang menjadi “duri dalam daging” kepada Umno serta kerajaan dan jika tidak diatasi segera dalam tempoh lima tahun ini, akan membawa kepada malapetaka dalam PRU 14.

Seeloknya, PAU 2013 lalu adalah langkah permulaan untuk Umno mengubah persepsi negatif ini, dengan membuat desakan tegas kepada kerajaan untuk menangani isu yang dekat di hati rakyat serta menjadi kerisauan kepada mereka.

Tetapi itu semua  tidak berlaku dan ia mungkin disebabkan perwakilan Umno di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) minggu lalu, merasakan semua isu berkenaan tidak penting.

Jika itu yang dirasai mereka, bagaimana Umno mahu menjadi cermin dan suara akar umbi rakyat untuk kerajaan.  Ketika ramai di luar PWTC melihat bahawa Umno terus “syok sendiri” dan hilang sentuhan dengan rakyat yang selama ini, menjadi kekuatannya. – 14 Disember, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments