Opinion

Umno jangan takut ‘dibangsatkan’

"Selamat Menyambut Hari Krismas dan Tahun Baru 2015" kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Kristian dan walaupun berkemungkinan saya akan dicaci dan "dibangsatkan" sekali lagi kerana mengucapkan ayat berkenaan, itu tidak mengapa kerana saya amat menghargai keistimewaan Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.

Sebagai rakyat Malaysia kita tidak boleh sama sekali lupa betapa segala perbezaan agama dan bangsalah yang menjadikan acuan Malaysia seperti sekarang sehingga dihormati dunia kerana kepelbagaian ini membolehkan semua kaum hidup dengan harmoni aman dan tenteram.

Atas kepelbagaian ini jugalah, Malaysia mungkin satu-satunya negara di dunia yang mempunyai cuti umum terbanyak untuk perayaan agama dan kaum dan ia menjadikan betapa Malaysia begitu istimewa.

Menjadi ahli politik atau lebih tepat lagi Ahli Parlimen tidak kira sama ada daripada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) bermakna kita bukan hanya berkhidmat kepada satu-satu kaum sahaja tetapi meliputi semua kaum dan agama.

Atas nama perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air juga, sebagai pemimpin Umno, saya selalu menginsafi diri yang berkhidmat kepada rakyat perlu adil dan saksama, jika tidak akan disoal pada hari akhirat kelak..nauzubillah.

Sebab itu saya tidak kisah dibangsatkan Datuk Ibrahim Ali, presiden Perkasa baru-baru ini, hanya disebabkan pendirian saya yang mahu Jabatan Peguam Negara mengkaji semula tindakan untuk tidak mendakwa beliau yang mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan.

Saya juga tidak mahu polemik mengenai perkara berkenaan dipanjangkan tetapi selaras dengan pendirian saya yang Akta Hasutan perlu dikekalkan, ia juga perlu dilihat sebagai sebuah akta melindungi kepentingan keseluruhan rakyat negara ini tidak kira bangsa dan agama.

Malah, Ibrahim juga bukan orang asing kerana saya sudah lama mengenali beliau ketika allahyarham ayahanda saya, Tok Mat menjadi setiausaha agung Umno. Tok Mat bertanggungjawab membawa balik presiden Perkasa ini masuk semula ke Umno Baru selepas Semangat 46 terkubur.

Namun sesuatu yang menghairankan saya kerana presiden Perkasa berkenaan seakan menggunakan NGO itu demi kepentingan sendiri kerana kenyataan saya hanya ditujukan kepada beliau bukan keseluruhan ahli Perkasa dan beliau memilih untuk “membangsatkan” saya ketika dalam mesyuarat agung pertubuhan berkenaan.

Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan ahli Perkasa malah, ada juga di kalangan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Pulai yang dipimpin saya menjadi ahli pertubuhan berkenaan.

Kewujudan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu boleh diibaratkan seperti “cendawan tumbuh selepas hujan” ini memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam ini, disebabkan tanggapan parti Umno yang berusia hampir tujuh dekad gagal dalam perjuangannya.

Namun ada juga pihak yang mendakwa NGO-NGO ini “ditaja” oleh Umno bagi mengekalkan kuasa pemerintahan memandangkan undi orang Melayu kini selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 terbahagi kepada empat dengan DAP juga mensasarkan undi orang Melayu.

Apa yang menghairankan, desakan semua NGO Melayu berhaluan kanan ini lebih menjurus kepada Umno semata-mata dan amat kurang sekali kenyataan yang mensasarkan kepada pemerintahan kerajaan PR di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

Jika benar perjuangan NGO ini mahu memastikan hak orang Melayu dan Islam terbela mengapa tidak memperjuangkan nasib orang Melayu di 3 negeri ini, yang sering didakwa tertindas dalam pemerintahan PR.

Seharusnya, semua NGO ini tidak memilih bulu dalam memastikan perjuangan membela nasib orang Melayu dan Islam dengan turut melihat kepada dasar pemerintahan PR di negeri yang dikuasai mereka.

Hakikatnya, Umno sebagai tulang belakang kerajaan BN mempunyai rekod cemerlang dalam memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara.

Lihat sahaja setiap kali Perhimpunan Agung Umno (PAU) bukankah yang diulang-ulang dalam setiap ucapan pemimpin tertinggi parti atau usul adalah mengenai perjuangan membela nasib orang Melayu dan Islam.

Jika berterusan Umno terus mengulang-ulangkan kegagalan orang Melayu, ia seakan mengakui kegagalan parti membawa kejayaan dan kemajuan kepada orang Melayu sendiri.

Lebih menyedihkan sebagai kaum majoriti di Malaysia, orang Melayu berterusan melaungkan secara terbuka mereka ketinggalan dalam segala segi sedangkan banyak kejayaan dan kemajuan sudah juga dikecapi hasil sumbangan Umno sendiri terutama sekali dalam bidang pendidikan yang membolehkan golongan kelas menengah Melayu lebih besar dibentuk.

Akibatnya timbul persoalan, adakah orang Melayu tidak bersyukur terhadap segala jasa dan sumbangan Umno selama ini seperti yang dilaungkan NGO-NGO Melayu berhaluan kanan.

Dan majoriti orang Melayu juga sedar mereka memerlukan kaum lain untuk terus memajukan negara dan perlu bergerak progresif dengan tidak terlalu terkongkong dengan semangat assabiyah yang akan merugikan mereka sendiri.

Apa yang berlaku sebenarnya, adalah perubahan lanskap politik negara sejak PRU 12 yang menyaksikan Umno dan BN gagal menguasai majoriti dua per tiga dan ia diburukkan lagi pada PRU 13 apabila kehilangan undi popular kepada PR.

Perubahan ini menyaksikan Umno dan BN terpaksa bergantung kepada undi orang Melayu untuk memerintah disebabkan kaum Cina memilih untuk bersama dengan PR.

Ia sekali gus menyebabkan wujud NGO-NGO berhaluan kanan yang dilihat sebagai kumpulan pendesak serta sering memberi kata dua kepada Umno supaya menuruti apa yang mereka mahukan kononnya, hak orang Melayu dan Islam semakin terancam.

Apabila Umno dilihat tunduk kepada desakan NGO-NGO ini, ia sebenarnya memberikan gambaran negatif kepada parti dalam usaha memenangi kembali sokongan kaum lain terutama sekali kaum Cina.

Kelemahan parti komponen BN yang terus “bergayut” kepada Umno untuk terus kekal memerintah dan gagal mengembalikan semula sokongan kaum lain selain Melayu kepada BN juga memburukkan lagi imej Umno dan BN.

Atas sebab itu, pemimpin Umno perlu mengambil pendirian supaya mengutamakan pendekatan politik yang inklusif dan tidak sewenang-wenangnya tunduk kepada desakan NGO Melayu berhaluan kanan ini.

Segalanya perlu sederhana dan seimbang untuk Umno memastikan parti ini terus kekal memerintah, dalam usaha memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam, hak kaum dan agama lain juga tidak boleh diketepikan atau diambil ringan.

Umno perlu dilihat lebih kuat daripada NGO-NGO Melayu berhaluan kanan ini, dan ia sudah terbukti sejak penubuhannya pada 1946 dengan terus memacu Malaysia menjadi apa yang dinikmati rakyat berbilang bangsa dan agama ketika ini.

Umno sebenarnya tidak boleh terus berhaluan kanan dalam memperjuangan hak orang Melayu dan Islam sebaliknya perlu menyedari wujud orang Melayu yang kini mahu parti menjadi lebih progresif dan mengambil jalan tengah dalam setiap perjuangannya.

Jika Umno memilih untuk tunduk kepada desakan NGO-NGO ini, parti berkemungkinan kehilangan kepercayaan bukan sahaja kaum lain malahan juga orang Melayu yang tidak mahu dikaitkan dengan perjuangan yang terlalu berhaluan kanan.

Ia memandangkan asas pembentukan negara adalah semangat kerjasama dan toleransi antara kaum yang menjadi resepi utama terhadap kejayaan serta kemakmuran Malaysia sejak 57 tahun lalu.

Sebab itu adalah amat penting untuk pemimpin Umno dan juga kerajaan BN memikirkan kaedah terbaik dan ia sudah pasti kesederhanaan seperti yang dituntut dalam ajaran Islam itu sendiri dalam memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam.

PRU 12 dan 13 sudah membuktikan betapa NGO-NGO Melayu yang berhaluan kanan ini tidak mampu untuk menarik sokongan orang Melayu secara keseluruhannya untuk Umno dan ia sudah terbukti di Selangor dan Kelantan.

Tempoh tiga tahun sebelum PRU 14 adalah masa paling sukar dan penting untuk Umno yang parti benar-benar inklusif untuk semua kaum dan agama dan bersederhana dalam memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam seperti yang diamalkan sejak negara ini mencapai kemerdekaan.

Apabila Umno boleh menjarakkan diri daripada perjuangan NGO Melayu berhaluan kanan ini dan tidak lagi tunduk terhadap segala desakan dan permintaan mereka yang tidak munasabah, sokongan kepada parti akan meningkat terutama sekali daripada kaum bukan Melayu.

Di sinilah kebijaksanaan Datuk Seri Najib Razak dituntut dalam memastikan Umno terus bersederhana dalam memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam serta tidak mengabai serta menidakkan hak kaum dan agama lain.

Presiden parti ini juga sudah menyatakan kekesalannya dalam ucapan penggulungan ketika PAU lalu terhadap tindakan “blogger” Umno yang membelasah parti, sedangkan mereka dikatakan “dibiayai” parti.

Dan inilah yang terjadi dengan NGO-NGO Melayu yang berterusan menghentam Umno seperti parti tidak pernah melakukan sebarang kebaikan kepada orang Melayu dan Islam selama ini.

Apa yang pasti Umno sudah wujud 68 tahun lalu, dan PRU 14 inilah yang akan menjadi penentu sama ada Umno terus kekal bersederhana atau takut di’bangsat’kan dengan mengalihkan perjuangan menjadi berhaluan kanan sehingga membawa kepada kemungkinan hilang kuasa pemerintahan negara ini. – 25 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments