Opinion

Universiti awam jangan jadi penghalang lahir akauntan profesional Bumiputera

Pada 18 September 2014, saya terpilih sebagai Ahli Majlis Global Akauntan Bertauliah Antarabangsa Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) selepas memenangi pemilihan majlis berkenaan yang membabitkan kira-kira 170,000 ahli persatuan itu di seluruh dunia termasuk lebih 11,000 di Malaysia.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan akauntan yang mengundi saya terutama sekali ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk memegang jawatan berkenaan selama tiga tahun.

Dengan terpilih untuk memegang jawatan ini, saya sendiri memasang azam dan tekad untuk berusaha meningkatkan taraf akauntan profesional di negara ini, terutama sekali membabitkan graduan universiti awam Bumiputera yang majoritinya, tidak mempunyai kelayakan profesional untuk ditauliahkan sebagai akauntan profesional.

Namun, terus-terang saya terkejut dengan kenyataan seorang ahli akademik bergelar profesor di sebuah akhbar tempatan baru-baru ini yang mendakwa ada usaha sesetengah pihak termasuk daripada MIA sendiri untuk merendahkan martabat ijazah perakaunan tempatan dengan cuba meminda Akta Akauntan 1967 sekali gus meminggirkan akauntan Bumiputera.

Kenyataan itu jelas tidak menggambarkan jiwa besar seorang ahli akademik yang seharusnya menyedari betapa taraf seorang akauntan profesional amat penting bagi mana-mana pemegang ijazah perakaunan jika mahu menjawat jawatan pengurusan tertinggi dalam sesebuah syarikat korporat.

Lihat sahaja mereka yang bergelar ketua pegawai eksekutif (CEO) daripada bangsa Bumiputera atau lebih mudah disebut orang Melayu, kelayakan akademik mereka sudah pasti menjadi ahli persatuan akauntan bertauliah antarabangsa sama ada ACCA, CIMA atau sebagainya.

Nama-nama seperti Tan Sri Ismee Ismail, CEO Tabung Haji atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang pernah memegang jawatan CEO TM Bhd dan Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar mempunyai kelayakan profesional sebagai akauntan bertauliah.

Walaupun universiti awam di negara ini, yang menawarkan jurusan perakaunan dimonopoli kaum Bumiputera yang melahirkan ramai graduan perakauanan tetapi hakikat menyedihkan mereka yang bergelar akauntan profesional atau bertauliah dimonopoli kaum bukan Bumiputera.

Berdasarkan data keahlian terkini MIA yang berjumlah kira-kira 30,000 terdapat lebih 7,000 graduan perakaunan dari universiti awam terdiri daripada kaum Bumiputera manakala hanya sekitar 4,000 graduan perakaunan bukan Bumiputera daripada universiti awam.

Tetapi, jurang itu melebar dengan begitu ketara apabila hanya terdapat sejumlah 1,554 akauntan profesional Bumiputera atau hanya 8% berbanding 92% atau 16,878 akauntan profesional bukan Bumiputera di negara ini.

Saya tidak pasti sama ada fakulti perakaunan universiti awam mempunyai data ini, atau tidak tetapi ia seharusnya dijadikan kayu pengukur bagaimana untuk melahirkan lebih ramai akauntan profesional Bumiputera, senario yang terus gagal dilaksanakan.

Apa yang berlaku kini, majoriti graduan perakaunan Bumiputera memilih jalan mudah menjadi ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dengan bekerja dan menjadikan seorang ahli MIA sebagai mentor mereka selama tiga tahun, sebelum mencadangkan nama mereka sebagai ahli MIA.

Sedangkan graduan perakaunan ini, seharusnya meneruskan pengajian mereka dengan menduduki peperiksaan akauntan bertauliah seperti ACCA yang hanya membabitkan lima kertas peperiksaan lagi sebelum layak bergelar akauntan profesional bertaraf dunia.

Inilah yang sepatutnya menjadi matlamat graduan perakaunan Bumiputera untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat antarabangsa serta menerima gaji lebih lumayan apabila bekerja di sektor korporat.

Saya ingin memberikan satu lagi statistik mengapa kelayakan sebagai akauntan bertauliah amat penting untuk menaiki tangga pengurusan dalam sektor korporat kerana berdasarkan kajian membabitkan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) di 100 GLC terkemuka negara, sebanyak 24% BOD mempunyai kelayakan sebagai akauntan profesional manakala hanya 1% sahaja BOD yang hanya mempunyai kelayakan sebagai graduan perakaunan biasa.

Graduan perakaunan negara terutama sekali kaum Bumiputera perlu sedar industri perakaunan dunia kini semakin berubah dengan begitu dinamik sekali dan perubahan dalam Akta Akauntan 1967 amat perlu dalam menjadikan industri berkenaan sentiasa berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Jika universiti awam menyedari hal ini, sudah pasti mereka mahu mengubah sukatan pelajaran mereka dengan mewajibkan semua lepasan graduan mereka mempunyai kelayakan profesional tetapi sikap ini langsung tidak dapat dilihat di kalangan universiti awam.

Sebaliknya, universiti awam terus mengamalkan sikap tertutup dan tidak mahu turut sama berubah dalam membantu graduan mereka sekali gus menyebabkan ramai lepasan ijazah mereka tidak mempunyai kelayakan profesional.

Ia mengakibatkan graduan-graduan ini, terutama sekali di kalangan kaum Bumiputera tidak mampu bersaing dalam pasaran kerja dan tidak mendapat gaji lumayan berbanding graduan perakaunan bukan Bumiputera.

Atas sebab itu, saya menyokong usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menetapkan sasaran untuk meningkatkan jumlah akauntan profesional Bumiputera daripada 8% kepada 25% menjelang 2020.

Antara langkah yang sudah diumumkan Datuk Seri Najib adalah dengan mewujudkan sebuah pusat profesional akaun di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang akan menawarkan empat bidang pengajian profesional perakaunan.

Bidang-bidang berkenaan adalah Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah Malaysia (CIMA), Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW) dan Persatuan Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA).

Justeru, saya amat bersetuju dengan langkah MIA meminda Akta Akauntan 1967, bagi memastikan industri perakaunan negara benar-benar menjadi dinamik serta memastikan kredbiliti ahli-ahlinya di peringkat antarabangsa.

Alhamdulillah, dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MIA minggu lepas, nampaknya ahli MIA sedar betapa pentingnya kelayakan profesional ini apabila menolak usul segelintir ahli yang mahu menolak pindaan Akta Akauntan 1967.

Sebenarnya, pindaan akta ini perlu untuk membezakan semula antara ahli MIA yang mempunyai kelayakan profesional dan yang hanya menjadi ahli dengan mempunyai kelayakan ijazah perakaunan semata-mata serta bertujuan untuk meningkatkan kualiti ahli-ahli MIA dan tidak lagi kepada kuantiti.

Perlu juga diingat pindaan akta akauntan ini pada suatu ketika dulu dibuat bertujuan mempertingkatkan kuantiti ahli MIA terutamanya di kalangan kaum Bumiputera dengan menerima masuk graduan ijazah perakaunan daripada beberapa universiti tempatan kira-kira 15 tahun lalu

Dan 15 tahun juga merupakan masa yang panjang yang diberikan kepada universiti tempatan untuk mempertingkatkan kualiti graduan perakaunan mereka supaya dapat diterima badan-badan profesional luar negara melalui proses ‘mutual recognition’.

Malangnya apa terjadi kini, majikan dalam negara pun kurang menerima ahli MIA yang hanya mempunyai kelayakan ijazah perakaunan semata-mata apatah lagi majikan dari luar negara.

Apa yang perlu dilakukan univerisiti awam kini, adalah bersikap lebih terbuka dengan menggalakkan graduan mereka menduduki peperiksaan untuk layak bergelar sebagai akauntan profesional.

Saya sendiri berpendapat kalau universiti awam boleh berbuat demikian, pindaaan akta ini sebenarnya tidak diperlukan, namun ia kini harus dibuat memandangkan belum nampak ada usaha ke arah meningkatkan mutu ijazah perakaunan supaya mudah diterima dalam pasaran kerja

Atas sebab itu, pindaan akta ini diperlukan untuk menggalakkan graduan perakaunan daripada universiti awam menjadi akauntan profesional terutama sekali graduan perakaunan Bumiputera.

Sebenarnya, selama ini kerajaan menutup sebelah mata mengenai masalah graduan perakaunan universiti tempatan dengan menempatkan mereka dalam perkhidmatan awam berikutan kurang diterima dalam sektor korporat tetapi kerajaan tidak lagi mampu menyerap para graduan ini.

Dalam usaha kerajaan untuk memantapkan usaha kewangan lebih ramai akauntan profesional diperlukan di jabatan-jabatan dan kementerian untuk memastikan wang kerajaan digunakan dengan lebih telus, bersih cekap dan amanah.

Kalau akaun kerajaan dapat dibuat dengan baik ditambah dengan pelaksanaan perakaunan akruan yang rumit dan wang kerajaan dapat dibelanjakan dengan tatacara disiplin yang baik maka penyediaan penyata kewangan kerajaan akan dapat dibuat dengan lebih lengkap.

Ini sekali gus akan memudahkan Ketua Audit Negara untuk mengauditnya dan akhirnya mengurangkan kerja di Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Sebab itu, saya mahu universiti awam menyahut seruan Datuk Seri Najib untuk melahirkan graduan perakaunan yang bersifat glokal dan tidak hanya terperuk dalam negara sebaliknya, mampu untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Kerajaan sudah bersedia melakukan transformasi terhadap akauntan Bumiputera tetapi ia hanya boleh dilakukan dengan bantuan daripada universiti awam yang seharusnya menyahut cabaran ini, dalam meningkatkan imej akauntan profesional sekali gus memperkasakan akauntan Bumiputera bagi membolehkan mereka “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan akauntan profesional bukan Bumiputera. – 2 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments