Beberapa hari lalu, sebuah video viral memaparkan kejadian “rampas mic” di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA). Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli sedang berucap apabila pihak sekuriti masuk dan merampas mikrofon daripada tangan Rafizi. Keadaan menjadi tegang, tapi nasib baik forum bersurai dengan aman.
Insiden ini sangat memalukan. Mana adab di depan pelajar? Mana “universiti” dalam UIA yang sepatutnya mencerminkan slogan “Taman ilmu dan budi”. Mana “Islam” dalam UIA?
Yang menjatuhkan maruah universiti bukanlah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang merupakan penganjur forum, tetapi sebahagian daripada pentadbiran universiti dan sekuriti.
Yang lucunya, pelajar UIA menunjukkan sikap lebih matang daripada orang dewasa di situ. Ketika orang dewasa bermain “rampas mic” (debat bukan budaya kita, rampas mikrofon budaya kita?), Presiden MPP Hanif Mahpa, meminta para hadirin bertenang dan mempertahankan kebebasan akademik. Syabas pelajar UIA!
Sebelum saya teruskan, saya ingat baik saja saya mengikis stereotaip saya bantai insiden rampas pembesar suara Rafizi kerana saya pro pembangkang. Saya bukanlah peminat mana-mana ahli politik, terutamanya selepas Langkah Kajang. Tetapi saya beritahu sajalah mereka yang pro kerajaan: Kalau kamu berbuat begini, ramai orang akan muak dan terpanggil untuk menyokong pembangkang.
Soal teknikal tentang “kebenaran” menganjurkan forum tersebut dijawab Hanif di laman Facebooknya. Tapi sampai sekarang saya tidak faham. Mengapa pelajar memerlukan kebenaran pentadbiran untuk menganjurkan forum? Ya, mahasiswa perlu melalui prosedur tertentu untuk menempah ruang ataupun bilik. Tetapi, tak kan pelajar universiti masih perlu dilayan seperti budak-budak sekolah yang perlu meminta izin pergi tandas dan segala bentuk “kebenaran” sebelum berbuat sesuatu? Apakah pelajar universiti begitu tidak cerdik sehingga pihak pentadbiran perlu mengawasi dan “meluluskan” segala tindak-tanduk mereka?
Karenah birokrasi tidak dapat dielakkan dalam sebuah organisasi yang besar seperti universiti. Pihak pentadbiran boleh saja menetapkan SOP (standard operating procedure) untuk menempah ruang dan menganjur forum dalam kampus universiti, tetapi saya kira tidak perlulah setiap aktiviti dalam kampus memerlukan “cop kelulusan” pentadbiran.
Lebih mengelirukan, isu yang sepatutnya dibincangkan dalam forum tersebut adalah isu GST yang kini hangat dibincangkan dalam masyarakat. Kedua-dua wakil kerajaan dan pembangkang dijemput dan hadir. Apa masalahnya? Apakah pentadbiran universiti mahu mahasiswa sekadar menelaah buku teks dan skor A? Apakah pelajar universiti tidak perlu pedulikan isu GST yang meninggalkan kesan terhadap masyarakat di sekeliling mereka? Jika begitu, lebih baik menara gading di Malaysia membina satu dinding sekeliling kampus yang mengasingkan mereka daripada masyarakat. Rasanya masyarakat pun tidak memerlukan pihak pentadbiran, fakulti, dan pelajar universiti yang hanya mahu membincangkan isu di atas kertas dan tidak berazam menyumbang kepada masyarakat.
Saya bukanlah menyalahkan UIA sepenuhnya. Ratusan pelajar UIA yang hadir forum tersebut menunjukkan ada saja harapan untuk masa depan. Ironinya, orang dewasa di UIA perlu “catch up” dengan pelajar daripada segi kematangan dan keterbukaan.
Ini bukan kali pertama UIA membatalkan forum. Sebuah forum bertajuk “Everything in Moderation” yang dianjurkan British High Commission turut dibatalkan bulan lepas. Forum tersebut sepatutnya memaparkan seorang exco Selangor, menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan profesor emeritus.
UIA juga bukan satu-satunya universiti yang suka membatalkan program pelajar. DuBook Press, sebuah syarikat penerbit buku, pernah dihalang daripada masuk ke Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tidak dilupakan, insiden “blackout” di kampus Universiti Malaya apabila Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia pada ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan alumni UM, berkunjung ke situ.
Bagaimana mahu menjadi universiti bertaraf dunia dengan mentaliti sebegini? Masih jauh lagi, negaraku, masih jauh lagi.
Kita mahu menjadi “world class”, tetapi kita tidak sudi mengambil langkah ke arah situ. Kita mahu melahirkan pemenang Hadiah Nobel, tetapi kita tidak mahu memberi kebebasan untuk sang pencari ilmu. Ilmu tidak dapat dilahirkan dan dikongsi dalam suasana yang mengekang pencari ilmu. Ilmu memerlukan kebebasan kerana pencari ilmu perlu cuba melihat dari segala perspektif, meskipun yang salah.
Kejadian di UIA mengingatkan saya pada pepatah “Berani kerana benar, takut kerana salah”. Kalau pihak pentadbiran khuatir pelajar akan terkeliru akibat muslihat Rafizi, maka sepatutnya mereka memanggil pihak penganjur untuk menjemput wakil kerajaan atau orang yang pro GST untuk menjelaskan hujah yang lebih baik daripada Rafizi. Jika Rafizi berniat jahat, maka hujahnya yang tipu-tipu belaka akan “kantoi” apabila kebenaran bertembung dengan kepalsuan. Tetapi jika apa yang dibawa Rafizi adalah benar, maka ia satu wacana yang baik untuk pelajar.
Kebelakangan ini, saya semakin tidak suka pada ahli politik. Tetapi saya kira kita (masyarakat) tidak perlu takut pada mereka. Jika ada yang mahu menjemput mereka berforum di universiti, kita bertembung saja dengan mereka. Hujah lawan hujah. Tulisan lawan tulisan. Ilmu lawan ilmu. Tak perlu haram mengharam dan batal membatal.
Budaya pentadbiran universiti yang mahu pelajar mendapatkan “kebenaran” untuk segala benda mengingatkan saya pada gereja Katolik pada zaman silam. Apabila Copernicus dan Galileo berkata bumi berputar di sekeliling matahari, pihak gereja tidak “membenarkan” ilmu tersebut. Tetapi suka atau tidak, autoritarian yang mengekang kebebasan akan kalah. Ilmu akan menang. – 16 Mei, 2015.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments