Setiap kali Perhimpunan Agung Umno (PAU) diadakan, kita pasti mendengar hujah yang berbunyi, “Kalau bukan kerana Umno, negara tidak akan capai kemerdekaan”, “Kalau Umno berkuasa, Melayu akan berjaya”, “Kalau tiada Umno, habislah Melayu”, ataupun “Kalau bukan kerana Umno, lenyaplah perniagaan dan ekonomi Bumiputera”.
Masalahnya, hujah sedemikian mudah dikelirukan dengan 2 bentuk falasi (logical fallacy). Mari kita lihat logik berikut:
Kalau bukan Umno, negara tidak akan capai kemerdekaan
Hujah ini mengambil bentuk:
Kalau P, maka Q
Bukan P.
Oleh itu, bukan Q.
Apakah kesalahan di sini? Falasinya terletak pada struktur logik, iaitu kalau “bukan P, maka bukan Q”.
Hujah ini melakukan kesalahan falasi dengan menidakkan premis pendahuluan dan mengandaikan konklusi juga akan ditidakkan. Falasi ini diberi nama “Denying the Antecedence”. Contoh mudah sebagai illustrasi:
Kalau hari ini hujan, maka rumput basah.
Hari ini tidak hujan.
Maka, rumput tidak basah.
Cuba fikir, apakah masalah dengan logik ini? Kalau hujan, mestilah rumput-rumput akan basah. Akan tetapi, kalau tiada hujan, ini tidak bermakna semestinya rumput-rumput tidak akan basah. Mungkin ada orang siram rumput. Mungkin ada pemimpin kencing atas rumput.
Kita lihat satu lagi contoh:
Kalau Abu adalah pemimpin, dia adalah manusia.
Abu bukan pemimpin.
Maka, dia bukan manusia.
Sudah tentunya saudara saudari menyedari kesalahan logik di sini. Jadi, mari kita kembali kepada hujah pertama tadi.
Kalau Umno ada, negara kita capai kemerdekaan.
Umno tidak ada.
Maka, negara kita tidak capai kemerdekaan.
Mengapa kenyataan ini melanggar tatatertib logik? Memanglah dari segi sejarah, kita tidak boleh menafikan Umno-Perikatan yang merunding kemerdekaan. Akan tetapi, betul ke kalau tiada Umno, negara tidak akan merdeka?
Dari segi logik, tidak semestinya. Hujah ini mengandaikan kemerdekaan negara bergantung pada hanya satu faktor, iaitu Umno. Namun kalau tiada Umno, penjajah tetap akan berhadapan dengan tentangan (resistance), geopolitik dunia yang bergerak ke arah membebaskan negeri kolonial, dan ketidakmampuan British untuk meneruskan agenda imperialisme.
Kalau tiada Umno, tetap akan ada parti dan gerakan lain yang akan berunding (atau melawan) untuk kemerdekaan negara. Jangan lupa 10 tahun sebelum 1957, gabungan Putera-AMCJA mengemukakan Perlembagaan Rakyat. Pada saat Umno hanya sekadar melawan pelaksanaan Malayan Union, sudah ada parti yang mendesak kemerdekaan untuk tanah air.
Kalau Umno berkuasa, Melayu akan berjaya
Cuba selesaikan latihan logik berikut:
Kalau Umno berkuasa, maka Melayu akan berjaya.
Umno hilang kuasa.
Maka, Melayu tidak akan berjaya.
Apakah kesalahan falasi di sini?
Jika sudah selesaikan latihan berdasarkan falasi “Denying the antecedence”, mari kita menukar ayat hujah ini dan menelitinya dari sudut yang lain pula.
Kalau Umno hilang kuasa, habislah Melayu.
Habislah Melayu.
Maka, Umno hilang kuasa.
Berbeza dengan hujah pertama tadi, hujah ini melanggar tatatertib logik dengan menekankan konsekuensi. Kesalahan falasi sedemikian diberi nama, “Affirming the Consequence”. Hujah ini mengambil bentuk berikut:
Kalau P, maka Q.
Q.
Maka, P.
Contoh ringkas sebagai ilustrasi:
Kalau Ang Mo mempunyai jet peribadi, dia seorang yang kaya.
Ang Mo adalah seorang yang kaya.
Maka, Ang Mo mempunyai jet peribadi.
Nampak kesalahan di sini? Seseorang yang kaya tidak semestinya memiliki jet peribadi. Jadi kalau kita lihat hujah berikut,
Kalau Umno hilang kuasa, habislah orang Melayu.
Habislah orang Melayu.
Maka, Umno hilang kuasa.
Betul atau tidak kenyataan ini? Mungkin betul, mungkin juga salah, jadi di mana salahnya? Orang Melayu juga akan hidup susah (“habislah”) tanpa Umno hilang kuasa. Contohnya, membayar caj GST dan berdepan kadar inflasi akibat cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Tambah pula, setiap hari kena bayar tol yang naik mendadak. Kemudian orang Melayu ingat mahu naik motosikal atau guna pengangkutan awam pergi kerja. Keesokan harinya, diumumkan pula motor pun mungkin kena bayar tol dan tambang pengangkutan awam naik hampir dua kali ganda.
Orang Melayu (seperti semua rakyat Malaysia yang lain) tidak mampu membeli rumah sendiri, mampu tengok saja. Orang Melayu tidak bebas menjadi dirinya sendiri kalau kepercayaan tidak seiring dengan pihak berkuasa.
Orang Melayu diawasi dan dikongkong oleh pelbagai institusi dan undang-undang yang dicipta untuk kepentingan tertentu. Institusi raja Melayu dihakis kuasanya melalui pemusatan kuasa eksekutif.
Agama yang menjadi pegangan orang Melayu diputarbelitkan untuk kepentingan politik, manakala rakyat pula dihadapkan ke mahkamah jika lantang melawan arus.
Jadi kalau orang Melayu juga hidup susah sebelum Umno hilang kuasa, maka hujah ini gagal membuktikan “Umno hilang kuasa” dan “Habislah Melayu” ada hubungan sebab-akibat (cause-effect).
Contoh terakhir hari ini berkaitan dengan luahan perasaan seorang pentadbir universiti awam yang memuji sumbangan Umno dan melibatkan universitinya secara langsung dalam mengorganisasikan PAU. Menurutnya, tanpa Umno, tiadalah universiti berikut dan Bumiputera tidak akan maju. Mari kita “breakdown” hujahnya.
Kalau Umno membina UiTM, rakyat Bumiputera akan maju
Umno tidak membina UiTM
Maka, rakyat Bumiputera tidak akan maju.
Berdasarkan dua bentuk kesalahan falasi di atas, cuba saudara saudari teka apakah kesalahan falasi yang dilakukan profesor ini.
Memang betul kerajaan yang dibiayai rakyat dan diamanahkan kepada parti politik Umno itu membina UiTM. Tanpa Umno, mungkin tidak akan ada UiTM seperti hari ini.
Tapi mungkin juga tanpa Umno, kerajaan yang diterajui parti politik lain akan menyediakan pendidikan percuma yang berkualiti, institusi pendidikan yang mengalu-alukan semua rakyat Malaysia tanpa prejudis dan diskriminasi, memberi ruang untuk kebebasan akademik dan autonomi universiti, dan meletakkan kedudukan universiti tempatan dalam Top 100.
Apa sekalipun, sudah tentu sejarah negara dikaitkan dengan Umno. Kehidupan kita akan lain kalau bukan kerana Umno. Mungkin kemerdekaan dicapai melalui projek Melayu-Raya. Mungkin kita tidak akan ada 13 Mei.
Mungkin kita tidak akan maju dan aman seperti hari ini. Mungkin kita tidak perlu membayar tol dan yuran pendidikan. Pendek kata, kita perlu sedar hujah “Kalau bukan kerana Umno, maka habislah X” terdedah kepada banyak kemungkinan, yang baik dan yang buruk.
Akhir kata, dalam sebuah hubungan atau perkahwinan, tiada yang mengatakan “tanpa saya, awak lemah”. Sebaliknya kalau betul saling menyayangi, kita bisa mengatakan “tanpa awak, saya lemah”.
Hanya dalam satu “abusive relationship” dimana seseorang enggan memperkasakan pasangannya untuk hidup tanpa bergantung padanya. Sampai bila Melayu perlu bergantung kepada Umno?
Ya, sumbangan terbesar yang boleh dicapai Umno sekarang adalah untuk mentadbir sehingga hari di mana Melayu tidak memerlukan dan bergantung pada Umno. Akan tetapi, sanggupkah sebuah parti politik berbuat demikian? – 12 Disember, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments