Banyak orang bukan Melayu atau yang tidak menganuti agama Islam takut dengan apa sahaja yang dikaitkan dengan Islamisasi.
Untuk tujuan artikel ini, kita mentakrifkan Islamisasi sebagai proses penerapan elemen Islam politikal dalam sfera awam (public sphere).
Lihat sahaja tulisan Arab di papan tanda, ada yang rasa tidak senang hati. Nampak orang Melayu semakin kerap memakai jubah dan kopiah (dan bukannya baju Melayu atau baju kurung), ada yang mengatakan masyarakat kita terikut-ikut dengan Arabisasi.
Dari segi politik dan dasar, penguatkuasa undang-undang agama dan institusi agama tidak disegani oleh kebanyakan rakyat yang tidak beragama Islam.
Tanya sahaja 10 orang bukan Islam tentang persepsi mereka tentang Islam dan Islamisasi yang berlaku di negara kita. Saya yakin, jika orang yang bertanya itu mendapat jawapan yang jujur, dia akan terkejut dengan pandangan orang bukan Melayu/Islam kerana ia begitu berbeza dengan apa yang dia tahu mengenai agama dan amalan agama tersebut.
Mudah sahaja untuk kita katakan, “Mereka tidak senang hati kerana Islam semakin mendapat tempat dalam kalangan Melayu.”
Mudah sahaja untuk kita terus melihat fenomena ini dari lensa binari Islam lawan Bukan Islam, seolah persengketaan antara Muslim dengan Bukan Muslim adalah semula jadi.
Adakah benar rakyat Malaysia yang tidak menganuti agama Islam tidak segan dengan Islam dan Islamisasi? Mungkin. Adakah benar mereka akan melawan (resist) Islamisasi dan Islam politikal? Mungkin.
Namun, jangan kita berhenti menyoal di situ. Pertanyaan kita harus diteruskan. Mengapa pula mereka takut Islamisasi?Mungkinkah Islam yang ditonjolkan itu menakutkan?
Kalau Islam itu sebuah agama yang indah, bukankah semua kaum patut meraihkannya?
Kalau Islam itu mendatangkan kebaikan, bukankah manusia tanpa mengira warna kulit dan kepercayaan sepatutnya mengalu-alukan praktis Islam dalam masyarakat dan polisi?
Islamisasi mengasingkan orang bukan Melayu/Islam
Secara langsung dan tidak langsung, Islamisasi mewujudkan perasaan alienation (alienisasi ataupun keterasingan) dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam.
Atas apa jua alasan, kami tidak dilibatkan dalam aktiviti, wacana, dan apa sahaja yang berkaitrapat dengan Islam. Tentulah kami tidak dijemput untuk hadir ceramah agama, seperti mana amat jarang sekali untuk sesuatu puak agama menjemput puak agama lain untuk hadir ceramah dan aktiviti agama mereka.
Namun, Islam adalah satu pengecualian dalam Malaysia. Mengapa? Jika Islam sekadar kekal sebagai agama yang diamalkan dalam kehidupan peribadi, tidak mengapalah.
Namun, Islam ataupun wacana yang berasaskan teologi Islam semakin diterapkan dalam ruang dan masyarakat awam, dasar polisi kerajaan, dan agenda politik.
Dalam erti kata lain, Islam di Malaysia tidak setakat sebuah agama. Islam di Malaysia adalah satu agenda nasional yang meliputi dan membawa kesan kepada kehidupan semua rakyat Malaysia, polisi dasar kerajaan, dan pembinaan negara.
Jika kita membandingkan 2 perkembangan ini, iaitu Islamisasi mewujudkan alienisasi kerana sifat ekslusifnya dan Islam sebagai satu agenda nasional yang melibatkan kepentingan semua, kita dapat memahami reaksi orang bukan Melayu/Islam yang skeptik dengan Islamisasi.
Mewujudkan sebuah kelab eksklusif “Muslims-Only”
Apabila Islamisasi semakin diterapkan dalam ruang awam dan politik, salah satu bentuk segregasi yang wujud (secara suratan atau kebetulan), ialah orang beragama Islam dan orang yang tidak beragama Islam.
Golongan pertama membentuk satu kelab yang eksklusif (elite club/exclusive club). Wacana, seminar, dan aktiviti yang berkaitan Islamisasi, biarpun ia juga menyentuh dan mempengaruhi orang bukan Islam, tetapi hanya melibatkan orang Islam dalam disklusi.
Ia menjadi seperti kelab “White-Only”. Segregasi selalu dipertahankan atas apa sahaja alasan, ia tetap segregasi. Secara langsung dan tidak langsung, Islamisasi melahirkan satu bentuk segregasi.
Itu hanya dari segi partisipasi. Dari segi kapasiti membuat keputusan (decision-making), suara orang bukan Islam tidak dianggap sama nilainya (weightage) dengan suara orang beragama Islam.
Apabila kami nak bertanya sesuatu tentang undang-undang Islam (yang, jika diluluskan, adalah sebahagian daripada undang-undang Negara.
Sebagai warganegara, semua rakyat berhak membahaskannya), kami dituduh dan diberi amaran supaya jangan mempersoalkan perkara yang “tak berkaitan dengan kamu”, ataupun “Kamu bukannya percaya pada Islam, usah bincang perkara yang kamu tidak tahu”.
Kalian rasa berapa ramai yang akan belajar pasal Islam selepas dilayan macam itu? Berapa ramai lagi yang hanya akan berdiam diri selepas itu dan kecam sahaja semua yang berkaitrapat dengan Islam?
Sebab dirinya akan berpendapat Islamlah (ataupun Islamisasilah) yang menjadi punca segregasi, alienisasi dan ketidaktoleransian ini. Orang bukan Islam yang diasingkan menjadi seorang outcast.
Suara orang tidak beragama Islam tidak penting dan dihiraukan
Jika sekali pun seseorang itu mengambil inisiatif belajar pasal Islam, dia masih tidak akan diterima dalam kelab eksklusif ini. Contohnya, seorang peguam boleh menjadi pakar dalam undang-undang Syariah.
Namun, asal dia tidak beragama Islam, dia tidak diiktiraf dan tidak boleh menjadi peguam yang mengendalikan kes di Mahkamah Syariah (biarpun salah satu pihak dalam kes itu melibatkan orang bukan Muslim).
Dari segi representasi politik, kita ambil contoh sebuah parti politik Islam. Kami tidak mempunyai suara dalam parti itu sebab kami tidak beragama Islam. Sekalipun kami diberi sebuah sayap sokongan, nilai suara kami tidak setaraf dengan ahli lain.
Kami tidak akan diterima sebagai ahli sepenuhnya, dan pengaruh suara kami, jika ada, seolah-olah seperti peraturan 3/5 dalam sejarah Amerika yang hitam (Untuk setiap 1 undi orang putih, undi hamba berkulit hitam hanya dikira 3/5 daripada nilai sebenar)
Ada tak program Islam atau seminar Islam yang menjemput dan mengalukan partisipasi orang bukan Islam?
Adakah suara warganegara yang beragama Islam dan tidak beragama Islam setaraf dalam political Islam?
Adakah Islamisasi meminggirkan orang bukan Islam dan melebarkan jurang antara warganegara beragama Islam dan tidak beragama Islam? Cuba fikirkan.
“Isolation” dan segregasi ini ibarat benih untuk prejudis.
Maka lahirlah golongan Islamophobia dan juga puak agama ultra konservatif. Untuk memecahkan lensa “pertembungan civilisasi” ini bukan mudah.
Ada seorang sahabat Cina saya ingin menonjolkan sifat Islam yang inklusif dan progresif, maka dia cuba membawa wacana memahami maqasid shariah.
Sejurus itu ada yang menuduhnya dah “convert” dan bukan Cina sejati.
Kawan Muslim yang menekankan konsep maqasid dan cuba mempamerkan Islam yang lebih terbuka juga dikecam “melembutkan” agama demi undi.
Perpecahan ini bermanfaat kepada pihak-pihak yang mengaut keuntungan politik daripada permainan ini.
Kalau Islam kekal sebagai sebuah agama sahaja, implikasi dari aspek “eksklusif” tidak begitu ketara.
Namun, Islam semakin luas pengaruhnya dan menjadi satu invisible Leviathan dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan meliputi bidang yang bukan sahaja mengenai hal agama, tapi juga ruang awam, kehidupan dan kebebasan individu, hak penjagaan kanak-kanak, politik, ekonomi, dan sosial.
Malah disebabkan hubungan intim antara kaum dan agama dalam negara kita, maka jurang antara kaum menjadi semakin ketara akibat proses ini.
Dalam erti kata lain, wacana Islam dan proses Islamisasi di Malaysia bukanlah satu hal agama. Ia satu agenda nasional yang melibatkan kepentingan semua warganegara.
Bukan sahaja kesan daripada sifat eksklusif yang sedia ada semakin mewujudkan rasa keterasingan dan segregasi, malah ia mewujudkan puak Islamophobia dan juga puak ultra konservatif.
Saya tidak kata semua ini betul atau salah. Cuma, inilah sebabnya kami takut pada Islamisasi. – 16 Januari, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments