Opinion

Saya, negara dan Bersih

Pada mulanya tajuk artikel ini adalah “rakyat, negara dan Bersih”. Namun saya sedar saya tidak mewakili semua rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi dalam hal ini. Maka, biarpun saya yakin saya bukan berseorangan, saya menulis atas kapasiti peribadi.

Ada yang menyokong Bersih, ada yang tidak. Tidak mengapa. Dalam demokrasi, kita ada hak untuk berbeza pendapat. 

Mungkin cara kita lain yang penting, ingat niat kita. Bagi saya, ia tidak bermakna seseorang yang turun Bersih itu lebih patriotik daripada seseorang yang duduk di rumah. Ataupun orang yang menyertai “perhimpunan haram” itu kurang mencintai negara berbanding orang yang “cintakan keamanan”.

Cinta kepada negara adalah ibarat cinta kepada kekasih. Bagaimana kita boleh membanding dan mengukur sebuah cinta? Lain orang, lain caranya untuk menzahirkan cinta. Apa yang pasti, terdapat lebih daripada satu cara atau jalan untuk mencintai seseorang atau sesebuah negara.

Negaraku, tanah tumpah darahku.

Seringkali saya menyanyi lirik lagu kebangsaan. Sewaktu di bangku sekolah Penang Free School (PFS), setiap pagi lagu Negaraku akan dimainkan. Semua pelajar dikehendaki berdiri tegak dan senyap. Jika tidak, pengawas akan tangkap maka saya pun ikutlah peraturan.

Hanya apabila saya berada di luar negara, barulah saya mengerti dan menghayati makna Negaraku. Beberapa bulan sekali akan diadakan aktiviti yang mengumpulkan pelajar Malaysia dan di situlah kami menyanyi lagu kebangsaan bersama-sama.

Setiap kali kami berbuat demikian, saya terasa “goosebumps”. Pada ketika inilah saya menyanyi Negaraku bukan kerana saya akan dihukum kalau saya tidak menyanyi atau berdiri tegak, tetapi kerana saya memilih untuk mencintai negara saya.

Setiap benda yang kita buat ada risikonya. Di jalanraya Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, saya merasakan nyawa saya dalam risiko setiap kali saya menunggang motosikal. Memanglah kita tidak tahu apa yang akan berlaku sebelum, sewaktu dan selepas Bersih.

Namun, ini yang saya tahu. Saya/Kami memilih untuk tidak berdiam. Saya/Kami mempunyai pendirian dan saya/kami tidak mahu sekadar cakap omong kosong di Facebook, Twitter, dan kedai kopi.

Saya/Kami datang menunjukkan pendirian dan perasaan kami “in no uncertain terms” dan membuktikan kepada mereka yang menonton kami sanggup melakukan sesuatu untuk kebaikan negara.

Ada yang tidak bersetuju dengan apa yang kami fikir sebagai “kebaikan negara”. Tidak mengapa. Ahli falsafah pun tidak pernah bersetuju tentang apa itu “kebaikan” (the good) selepas berbahas lebih daripada 2,000 tahun.

Tidak perlulah mereka yang tidak bersetuju dengan tuntutan dan cara kami (yang aman dan berlandaskan Perlembagaan Malaysia) untuk menyebarkan pelbagai fitnah dan tuduhan jahat terhadap kami.

Beberapa pentadbiran universiti melarang mahasiswa daripada melibatkan diri dalam “perhimpunan haram”. Seorang timbalan naib canselor pula memberi amaran untuk “unfriend” sesiapa yang cuba promosi Bersih.

Seorang ketua setiausaha kementerian pula menyebarkan maklumat palsu dalam Facebook. Saya pun tidak mahu membazir masa memburuk-burukkan mereka. Berani kerana benar. Biar rakyat menilai.

Saya turun Bersih bukan untuk menggulingkan kerajaan. Saya tidak “membakar bendera”, tidak “membawa kondom”, dan tidak “diupah oleh kuasa asing”.

Saya turun kerana satu pilihan. Keadaan negara sungguh mengecewakan. Apa yang paling menjijikkan adalah agensi kerajaan yang dimanipulasikan sebagai alat politik untuk melindungi kepentingan peribadi. Alasan yang diberi semakin hari semakin mengarut... mereka ini ingat rakyat semua bodoh?

Maaf kekasaran tadi. Saya sangat tidak suka mereka yang memperkecilkan kematangan dan membabikan intelek kita.

Kenyataan ini khususnya untuk mereka yang menjahanamkan universiti awam di Malaysia. Mereka merampas autonomi universiti dan kebebasan akademik, kemudian mereka tertanya-tanya kenapa universiti kita tidak bertaraf dunia? (Jika ada menteri yang berkata sebaliknya, sila hantar anak-anak ke universiti awam dalam negara)

Berbalik kepada Bersih. Apa yang Bersih sudah capai? Melalui Bersih 1, 2, dan 3, buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia pembangkang mendapat undi popular 52%, malah sebenarnya “menang” di Semenanjung Malaysia.

Buat julung kalinya dalam hampir 4 dekad, parti pemerintah hilang dua pertiga majoriti yang membolehkan mereka buat apa sahaja.

Juga buat pertama kalinya, rakyat merasakan dirinya dapat membuat perubahan dan suara mereka adalah bermakna.

Kita dapat sistem 2 parti, walaupun kedua-dua parti agak teruk sebenarnya, Tetapi sekurang-kurangnya kita sekarang dapat mendesak parti politik melakukan perubahan. Jika tidak, kita akan mengundi alternatif.

Bersih adalah gerakan pertama di Malaysia yang benar-benar menyerupai gerakan rakyat. Ya benar, parti politik akan menggerakkan ahli-ahlinya tetapi majoriti besar adalah rakyat biasa yang bukan ahli mana-mana parti.

Malah ada yang begitu alergik dengan parti politik sehinggakan akan menyimbah air kepada mana-mana orang yang mengajaknya menyertai parti politik.

Jika ada yang belum pernah menyertai Bersih, saya menyeru datanglah lihat dengan mata sendiri. Bersih bukan seperti yang dimomokkan sesetengah pihak.

Mungkin ada beberapa individu yang membuat kekacauan, tetapi 99% datang dengan aman dan hati yang ikhlas.

Bersih kini bukan sekadar perarakan, menjerit slogan atau berpolitik. Bersih sudah berkembang menjadi platform di mana orang awam, golongan penyair dan pemikir berkumpul dan berkongsi ruang dan ilmu. “It has become the people's space” (Ia menjadi ruang kepada rakyat).

Kalaulah saya tidak dapat melakukan perubahan besar, biarlah saya melakukan perubahan yang kecil daripada tidak berbuat apa-apa.

Seperti dalam soal cinta, saya tidak mahu melihat kembali pada saat ini 10 tahun kemudian dengan rasa kesal. Sekurang-kurangnya saya sudah mencuba… cuba mengejar cinta sepenuhnya dan hidup sehidup-hidupnya. – 29 Ogos, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments