Opinion

1MDB, RM2.6 bilion, Muhyiddin jadi bisik-bisik PAU 2015

Ibarat acara tahunan yang disaksikan warga kota Kuala Lumpur saban tahun, gelombang merah putih ahli dan perwakilan Umno membanjiri Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk berhimpun dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-69 berslogankan perjuangan sejak penubuhannya pada 11 Mei, 1946 iaitu demi agama, bangsa dan tanah air.

Umno kini memasuki usia 7 dekad dan tidak dapat dinafikan sebagai satu-satunya parti pasca merdeka yang terus menjadi kerajaan pemerintah Malaysia, ia mengalami evolusi bermula dengan perjuangan memerdekakan negara daripada penjajah British, pengharaman pada 1988 dan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi mampu terus kekal memerintah sehingga hari ini.

Pucuk pimpinan Umno juga pernah bercakaran dan bertelagah secara terbuka pada 1986 yang menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu dicabar Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah hingga berlakunya perpecahan Team A dan B yang membawa kemunculan Semangat 46, tetapi parti itu gagal bertahan.

Sekali lagi, parti terbesar orang Melayu ini, mengharungi gelora badai apabila Dr Mahathir memecat timbalannya, Anwar hingga munculnya PKR yang kini memerintah kerajaan Selangor.

Begitulah liku utama sejarah hitam menelusuri perjalanan Umno namun tidak pernah dalam sejarah parti ini, presidennya berdepan masalah krisis keyakinan sebagai perdana menteri seperti Datuk Seri Najib Razak yang turut jadi sasaran pembangkang dan dalam Umno sendiri.

Kini pada usia 69 tahun, Umno sekali lagi berdepan pergeseran dalam parti membabitkan presiden dan orang nombor 2 parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, segala-galanya berpunca daripada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hasil cetusan idea Najib sendiri yang pada awalnya diilhamkan sebagai syarikat dana kekayaan negara tetapi kini jadi syarikat sarat hutang mencecah RM46 bilion.

Banyak sudah diperkatakan mengenai 1MDB dan bagi ahli Majlis Tertinggi (MT) mereka seakan terpaksa mengiakan dan mempertahankan Najib walaupun berdepan krisis keyakinan ahli akar umbi dan rakyat susulan penyingkiran Muhyiddin dan Datuk Seri Shafie Apdal daripada Kabinet, Julai lalu.

Selain digasak veteran Umno seperti Dr Mahathir, Tun Musa Hitam, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Sanusi Junid yang berterusan mengkritik pentadbiran Najib, presiden kelima Umno itu juga terpaksa berdepan golongan liberal Melayu seperti G25, menyaksikan politik Umno kini berada di landasan ke kanan dengan terang-terangan menggunakan percaturan kaum dan agama bagi menarik sokongan orang Melayu.

Memang Umno melalui MT boleh mendiamkan perwakilannya daripada berbahas tindak tanduk pucuk pimpinan parti terutama Najib dalam menangani isu 1MDB termasuk tidak membenarkan Muhyiddin merasmikan persidangan sayap Umno seperti kelazimannya.

Tetapi ia sebenarnya membawa parti terjerumus kepada lebih banyak isu persepsi yang perlu ditangani. Pucuk pimpinan Umno terutama MT sama ada sedar atau tidak seharusnya merenung jauh ke bawah bukan saja terhadap 3 juta ahli Umno tetapi keseluruhan pengundi dan rakyat Malaysia, sama ada mereka masih memberikan sokongan kepada parti berkenaan atau tidak.

Keberanian Muhyiddin yang seakan tidak lagi mempedulikan nasib politik beliau, apabila membuat ucapan terbuka di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru pada Isnin lalu, sehari sebelum taklimat presiden berlangsung di PWTC, membuka satu lagi masalah kepada pucuk pimpinan Umno dan sebarang tindakan keras MT terhadap Muhyiddin termasuk memecatnya hanya akan membuka luka lebih dalam kepada Umno.

MT Umno yang semuanya dalam “inner circle” Najib perlu sedar bezanya Anwar pada 1998 dengan Muhyiddin pada 2015. Muhyiddin mendapat sokongan pemimpin veteran yang semuanya masih berpengaruh berikutan rekod cemerlang ketika dalam parti dan pentadbiran kerajaan sebelum ini, dan inilah yang membuatkan Najib serta MT dalam dilema.

Tambahan pula, “dosa” Muhyiddin kepada parti untuk ahli akar umbi dan rakyat sebenarnya langsung tidak ada kerana beliau hanya mengkritik 1MDB bukannya dasar kerajaan secara keseluruhan atau melakukan kesalahan jenayah seperti Anwar.

Dan inilah kelebihan Muhyiddin yang dieksploitasi sepenuhnya kem timbalan presiden berkenaan dalam berjuang menentang puak Najib.

Kekurangan dan kelemahan Muhyiddin pula hanyalah beliau sering dilabelkan sebagai seorang pemimpin yang sombong dan kurang memberikan “bantuan” kepada ketua Umno bahagian, tidak seperti Najib yang bukan lagi rahsia menggunakan kelebihan wang untuk mendapatkan sokongan lebih dua per tiga ketua Umno bahagian seperti diakui beberapa ketua Umno bahagian ketika mempertahankan presiden parti dalam isu derma RM2.6 bilion.

Walaupun, beberapa media sama ada arus perdana atau portal melaporkan kenyataan beberapa ketua Umno bahagian yang menafikan akan berlaku kejutan dalam PAU 2015 bermula hari ini, hakikatnya semangat Umno tidak lagi seperti dulu.

Perpecahan dalam parti jelas ketara dan terasa di kalangan ahli akar umbi terutama di peringkat cawangan yang menjadi nadi kepada kemenangan parti dalam pilihan raya Umum (PRU).

Satu-satunya kelebihan Najib ketika ini ialah perpecahan dalam pakatan pembangkang dan Najib tidak lagi bersembunyi dengan kegembiraan melihat PAS yang dilihat semakin menyokong Umno dan pada masa sama dapat memastikan undi orang Melayu terus berkisar kepada 2 parti terbesar orang Melayu ini. Namun, senjata itu hanya boleh digunakan ketika PRU14 nanti yang sudah hampir pasti diadakan pada 2018.

Ketika ini, apa yang Najib dan 25 ahli MT perlu fikirkan adalah mengenai Muhyiddin dan Shafie, bagaimana untuk mendiamkan mereka daripada terus menjadi onar kepada pimpinan parti serta kerajaan dengan serangan berterusan.

Yang pasti di dalam Dewan Merdeka nanti, bisik-bisik mengenai isu 1MDB dan derma peribadi RM2.6 bilion pasti akan terus menghantui Najib serta barisan MT dan ia ditambah dengan kenaikan kos sara hidup, GST dan pastinya tidak lagi berkisar semata-mata mengenai perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

Perwakilan Umno pasti akan terus tertanya-tanya dan menghitung pilihan yang masih ada, mempertahankan parti atau individu? Mana lebih penting dalam memastikan survival Umno pada PRU14 nanti. – 9 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments