Minggu depan, sama ada rakyat Malaysia sedar atau tidak ialah minggu yang amat penting kepada generasi masa depan memandangkan 222 ahli Parlimen akan berbahas serta mengundi bagi membuat keputusan sama ada menyertai Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang diilhamkan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama, atau tidak.
Minggu depan juga, menyaksikan Datuk Seri Najib Razak kembali menghadap 221 ahli Parlimen bagi membuat sedikit pembetulan terhadap Bajet 2016 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Oktober lalu, selepas harga komoditi utama negara, Petroleum terus jatuh dan kini berlegar di bawah paras AS$30 setong.
Ketika ini, perdebatan mengenai TPPA terus rancak dan kesungguhan kerajaan itu diterajui menteri berpengalaman, Datuk Seri Mustapha Mohamed menerusi jelajah ke seluruh negara bagi menerangkan manfaat dan kelebihan yang akan dimiliki Malaysia apabila menjadi negara anggota TPPA.
Tidak dapat dinafikan, kerajaan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) bermula agak lambat dalam menerangkan kepada rakyat mengenai TPPA dan kesannya.
Mereka terpaksa bertindak secara defensif apabila diserang bukan saja pembangkang tetapi organisasi bukan kerajaan (NGO).
Seperti biasa, itulah yang dilakukan kerajaan pimpinan Najib yang sentiasa lambat dalam memberikan penerangan kepada rakyat dan jelas dibuktikan dengan cara menangani isu 1MDB, derma peribadi RM2.6 bilion dan kini TPPA, sehingga menimbulkan persepsi wujud cubaan menyembunyikan sesuatu daripada rakyat.
Kegagalan belajar daripada sejarah, adalah sesuatu yang sentiasa dilupakan pentadbiran Najib dan dalam soal ini, TPPA yang dicanangkan sebagai pemangkin kepada ekonomi baharu Malaysia pada masa depan kini menerima kritikan berterusan NGO Melayu yang bimbang ia akan memperjudikan agenda Bumiputera.
Jika dilihat kepada blok pembangkang, tidak banyak pemimpin utamanya yang bersuara mengenai TPPA terutama sekali DAP, hanya sekali sekala saja dan ia membabitkan kenaikan harga barang akibat pembukaan persaingan perniagaan dalam TPPA.
Soal agenda Bumiputera yang dilihat terancam dengan perjanjian TTPA, sebenarnya bukan keutamaan kepada pembangkang kerana mereka sedar lama kelamaan masyarakat Bumiputera perlu sedar dalam arus globalisasi ekonomi, kerajaan tidak boleh selama-lamanya mengguna pakai dasar memberi dan terus memberi kek kekayaan negara.
Di sinilah letaknya kelemahan dan kegagalan kerajaan dalam memberikan penerangan kepada masyarakat Bumiputera, sedangkan kerajaan didukung Umno yang sentiasa bangga dengan jumlah ahlinya 3 juta orang Melayu, tidak menggunakan kesempatan menerangkan mengenai TPPA.
Pentas dan platform Umno yang seharusnya Najib guna bagi mengurangkan rasa gundah gulana orang Melayu mengenai TPPA tetapi sebaliknya berlaku, Umno digunakan bagi terus menunjukkan sokongan mempertahankan agenda peribadi pemimpinnya yang berdepan pelbagai isu serta skandal.
Soal TPPA bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah kerajaan dan pemimpin Umno kerana nasib dan masa depan orang Melayu terletak kepada percaturan mereka pada masa kini, sama ada perjanjian itu benar-benar memberi manfaat atau satu bentuk penjajahan baru ekonomi Amerika Syarikat dalam menghapuskan agenda Bumiputera di negara ini.
Siapa yang boleh membuat ramalan terhadap kesan apa yang akan berlaku apabila TPPA mula dilaksanakan pada 2018 nanti.
Siapa yang boleh memberi jaminan perjanjian ini benar-benar akan menguntungkan negara untuk bersaing dalam arus ekonomi globalisasi.
Jika Najib tidak sampai 3 bulan lalu membuat bajet berlandaskan harga minyak pada paras AS$48 setong, kini terpaksa membuat semula pembetulan kerana ramalan Putrajaya tersasar jauh kesannya, perbelanjaan kerajaan akan dipotong dan sudah pasti kos sara hidup rakyat Malaysia akan meningkat.
Dan jika itu berlaku dalam tempoh tidak sampai 3 bulan, adakah kerajaan akan bertindak berani bagi mengeluarkan Malaysia daripada TPPA jika ia sebenarnya, tidak memberikan keuntungan langsung kepada generasi masa depan negara bukan saja orang Melayu malahan kaum lain.
Ketika ini, sifat keberanian itu amat jauh daripada yang dipraktikkan kerajaan pimpinan Najib dan sering kali dilihat dan didengari kenyataan rakyat perlu menerima kesan dan reda atas apa yang berlaku kerana kononnya kerajaan sudah melakukan terbaik untuk rakyat serta negara.
Sifat inilah menyebabkan Najib dan barisan menterinya berdepan krisis keyakinan daripada rakyat, dan walaupun pembangkang berada dalam situasi lemah akibat percakaran sesama sendiri, rakyat tidak menunjukkan sebarang peningkatan kepercayaan kepada kerajaan Najib serta dasarnya.
Maka jika TPPA adalah yang terbaik untuk masa depan generasi muda dan negara, seharusnya berikanlah penerangan yang telus apa keburukannya, bukan sekadar beri statistik yang indah dan menarik di atas kertas.
Tiada siapa yang boleh mendabik dada mengatakan ramalannya tepat kerana perlu diingat, manusia hanya merancang dan sebaik-baik perancang ialah Tuhan. – 21 Januari, 2016.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments