Opinion

Perhimpunan Agung Umno 2015 pelik dan hambar

Perhimpunan Agung Umno 2015 yang berakhir Sabtu lalu, dan selama 4 hari parti terbesar orang Melayu itu bersidang pelbagai analisis, pandangan serta tinjauan dibuat pemerhati politik tanah air sama ada daripada orang Umno sendiri, pro Umno dan pro Datuk Seri Najib Razak atau golongan anti Umno atau anti Najib.

Sudah pasti seperti kebiasaannya, Perhimpunan Agung Umno sentiasa menjadi medan pertembungan media arus perdana dengan media dalam talian dan seperti juga kelazimannya, media dalam talian dilabel, dituduh serta diberikan pelbagai persepsi oleh orang Umno ia media propembangkang yang kerap memutarbelitkan cerita.

Pada 1997, pernah berlaku zaman era presiden Umno ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad di tengah-tengah kegawatan politik Umno dan negara apabila timbalan presiden ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan buku '50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM' yang diedarkan meluas dalam perhimpunan agung ketika itu. Ia menjadi punca kejatuhan Anwar sebelum dipecat setahun kemudian.

Saya pernah diberi kesempatan membuat liputan perhimpunan beberapa kali sejak 1998 dan tidak dinafikan ketika itu, ia amat panas dengan berlakunya pertembungan antara kem Anwarisme dan Mahathirisme tetapi tiada sekatan dikeluarkan kepada wartawan melaporkannya, mungkin ketika itu tiada media dalam talian dan kerajaan berkuasa menentukan apa yang rakyat Malaysia perlu baca keesokannya.

Zaman berlalu begitu pantas, 2008 menyaksikan ledakan media dalam talian yang begitu kritikal ditambah pula dengan kehadiran media sosial menyaksikan Umno dan Barisan Nasional (BN) terus lemas menghadapi media dalam talian ini yang mampu melaporkan berita dengan pantas tanpa ada sebarang rasa takut.

Pengalaman berkhidmat dalam media arus perdana lebih sedekad memberikan kesedaran betapa tiada media yang benar-benar bebas kerana sebagai wartawan, sudah pasti tertakluk kepada arahan pemilik organisasi dan bukan satu rahsia semua media arus perdana di Malaysia dimiliki proksi parti pemerintah.

Semua media tidak kira arus perdana atau dalam talian mempunyai agenda masing-masing, walaupun melaungkan erti kebebasan akhbar, etika kewartawanan dan melaporkan perkara sebenar.

Di sinilah timbulnya pertembungan antara ideologi media arus perdana dan dalam talian, dengan sering kali tuduhan dilemparkan kepada media dalam talian, di mana mereka gemar memutarbelitkan berita semata-mata demi melariskan portal berita masing-masing.

Mungkin tuduhan itu ada benarnya tetapi bagaimana pula dengan media arus perdana? Kredibiliti organisasi akhbar ini juga boleh dipertikaikan kerana hanya melaporkan berita menarik, enak dibaca dan kadangkala berlebihan mengampu parti pemerintah dalam konteks ini, Umno dan pemimpinnya.

Rakyat Malaysia tidak lagi naif dalam soal ini, pendedahan terhadap pelbagai sumber maklumat sama ada daripada media arus perdana atau dalam talian menuntut mereka menjadi kritis dan pada masa sama ia membuka lembaran baru dalam dunia kewartawanan Malaysia.

Ambil saja contoh berita mengenai kumpulan ketua Umno cawangan yang menentang kepimpinan Najib atau berita mengenai G25, adakah media arus perdana memberikan liputan terhadap kumpulan ini, jika benar etika kewartawanan menjadi pegangan.

Atas sebab itu, media arus perdana janganlah menjadi seperti peribahasa Melayu, “telunjuk lurus kelingking berkait” semata-mata mahu mempertahankan tauke masing-masing terutama dalam Umno sehingga menidakkan erti kewartawanan sebenar iaitu melaporkan berita dengan benar.

Kegagalan Umno bertahan dengan berita media dalam talian yang sering disifatkan memberikan persepsi negatif sebenarnya menunjukkan kebodohan pemimpinnya yang juga selalu bercakap sesuka hati tanpa mengambil kira bahawa kenyataan mereka dilaporkan.

Sebab itu, lihat saja ada pemimpin Umno dalam isu Tan Sri Muhyiddin menafikan mengeluarkan kenyataan timbalan presiden Umno itu masih berpeluang meminta maaf, sedangkan semua media dalam talian melaporkan kenyataan itu, kemudian dengan mudah menuduh kenyataan beliau diputarbelitkan.

Adakah semua wartawan media dalam talian salah dengar kenyataan itu? Dan jika salah, lebih baik saman saja seperti yang sering dilakukan pemimpin pembangkang terhadap media arus perdana bagi mengikis kredibiliti organisasi media berkenaan.

Paling memelikkan bagaimana keluarnya larangan terpilih untuk wartawan Melayu dan bukan Melayu yang boleh membuat liputan dalam Perhimpunan Agung Umno 2015, malah ada pula wartawan media dalam talian yang dihalau.

Keadaan itu terus memberikan persepsi betapa Umno takut dengan bayang-bayang sendiri, sedangkan rakyat terutama bukan Melayu sedar perjuangan Umno untuk memartabatkan Islam dan Melayu.

Sememangnya, Perhimpunan Agung Umno 2015 amat pelik bukan saja di kalangan wartawan tetapi juga ahli Umno akar umbi kerana ia seakan mahu menutup pergeseran berlaku antara presiden dan timbalan presiden, sedangkan hakikatnya, satu dunia mengetahui perpecahan sedang melanda Umno.

Sikap 'denial syndrome' bukan perkara luar biasa dalam Umno dan lakonan inilah sering disaksikan rakyat Malaysia termasuk ahli Umno sendiri yang semakin pelik dan hairan bagaimana lebih 3,000 perwakilan berhimpun bukan untuk menggariskan agenda baharu orang Melayu sebaliknya, himpunan lebih kepada menyatakan sokongan kepada Najib sebagai presiden.

Ketika Umno berbangga parti itu mempunyai lebih 3.5 juta ahli, ia sebenarnya hanyalah angka di atas kertas yang selama ini terus gagal diterjemahkan dalam pilihan raya umum (PRU) dengan pelbagai isu sedang melanda parti itu terutama di peringkat pucuk pimpinannya.

Maka, jika PRU14 dijangka dalam tempoh 3 tahun lagi, Perhimpunan Agung Umno akan berlangsung sekurang-kurangnya 2 kali lagi dan sudah pasti menjadi harapan kepada ahli Umno supaya perhimpunan tahun depan tidak terus menjadi pelik sehingga menjadi bahan jenaka rakyat Malaysia. – 16 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments