Opinion

3 kung fu politik

Kung fu politik satu: Media sebagai alat politik

Semalam, Rafizi Ramli kekal sebagai setiausaha agung PKR meskipun ada laporan awal menyatakan wujudnya usaha menyingkirkan beliau daripada jawatan itu. Manakala Dr Boo Cheng Hau yang menerajui DAP Johor sebegitu lama dilaporkan menerima nasib berbeza di mana beliau jatuh tersungkur daripada 15 barisan kepimpinan DAP Johor setelah sekian lama tidak kedengaran berita mengenai dirinya.

Bayangkan apa nasib Dr Boo jika sebelum pemilihan DAP Johor diadakan, ada pihak melaporkan wujud usaha menyisihkan beliau secara total daripada DAP Johor. Apakah nasib beliau masih sama atau musuh politik beliau akan menekan brek?

Sejak berita Rafizi akan dibuang terledak, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berulang kali menyatakan usaha membuang Rafizi adalah fitnah sehingga mesyuarat habis semalam. Rafizi pula tidak membuat sebarang komen terhadap laporan tersebut.

Namun, sebagai pemerhati, cuba bertanya pada diri sendiri, siapa mendapat untung paling banyak kerana laporan tersebut? Siapa terselamat dan siapa yang tergendala atau semuanya hanya kabus disangka jerebu?

Inilah hebatnya kung fu politik yang pertama ini – kemahiran menggunakan media sebagai alat politik membunuh, menyelamat dan mengelirukan. Bagaimana pula dengan anda sebagai pembaca? Apakah anda terkeliru, atau digunakan sebagai alat membunuh atau menyelamat oleh mereka yang menggunakan kung fu ini? Di mana kebenaran sebenar, atau anda pun hanya mengikut persepsi semata-mata?

Kung fu politik kedua: Campur tangan dengan tidak menggunakan tangan

Sebelum PKR bermesyuarat semalam, seorang pemuda Amanah menulis komentar menggesa PKR membuang PAS dan hanya terus bersama Pakatan Harapan. Pandangan itu dijulang tinggi sesetengah media pro pembangkang yang memberikan persepsi seolah-olah komentar itu dibuat seseorang ‘newsmaker’ yang penting.

Apakah ini boleh dikira sebagai campur tangan dalam hal ehwal parti lain? Sudah tentu pelakunya menyatakan tidak, sebagaimana penafian sebuah parti yang membuat deklarasi untuk memutuskan hubungan dengan presiden parti kawan tapi tidak dengan timbalan dan partinya sebelum pemilihan parti diadakan.

Kadang-kala terfikir juga apakah yang mendorong komentar itu dikeluarkan? Apakah mereka merasakan PKR tidak boleh berfikir sendiri atau menilai kepentingan sendiri? Atau mereka mengharapkan PKR terfikir akan nasib mereka sebelum membuat keputusan?

Inilah kung fu politik kedua yang paling popular digunakan kebanyakan ahli politik – campur tangan hal ehwal parti lain tanpa campur ‘tangan’. Namun kung fu ini mudah dibaca jika diguna oleh mereka yang masih kurang berpengalaman dan ego berlebihan. 

Kenyataan Azmin semalam yang berbunyi:“Parti-parti sahabat juga harus menghormati perbezaan pandangan masing-masing dan tidak mencampuri urusan dalaman parti sahabat” – sudah cukup sebagai kenyataan balas kepada mereka yang cuba mencampuri urusan PKR sebelum mesyuarat berlangsung.

Kung fu politik ketiga: Poligam (politik gambar)

Jika masalah dalaman parti tengah berkocak hebat, kehadiran semua pimpinan tertinggi untuk berada pada sidang media akan menjadi wajib. Kehilangan mana-mana satu pimpinan akan memberikan persepsi ada sesuatu tidak kena.

Inilah kung fu politik ketiga iaitu kemahiran menggunakan gambar untuk memberikan gambaran semuanya ok. Lakon pun lakonlah, yang marah kena senyum, yang bermusuh kena berpeluk dan yang tidak setuju kena akur, asalkan gambar positif itulah terletak di minda pembaca meskipun ia sangat palsu di dalamnya.

Ingatlah, sekiranya rakyat tidak berubah mindanya, percayalah negara ini tidak akan berubah nasibnya kerana yang menjadi bos tetap ialah ahli politik dan rakyatnya. – 12 Oktober, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments