Ramai yang percaya, begitulah perangai pemimpin, beginilah karenah rakyatnya.
Sebenarnya perkara ini tidak tepat – sebaliknya mungkin lebih tepat.
Majoriti ahli politik di Malaysia ini bersifat seperti ahli perniagaan. Mereka bermain ikut “market” atau pasaran pengundi yang ada.
Di kalangan para pengundi yang sukakan pemikiran perjuangan berdasarkan hak asasi manusia, maka akan timbullah ahli politik yang bermain ke arah itu untuk mendapatkan sokongan daripada “market” ini.
Begitu juga dengan segmen-segmen market yang lain.
Kebanyakan ahli politik Malaysia tidak berkiblat kepada mana-mana perjuangan selain kemenangan di dalam bentuk kerusi dan mengayakan diri. Cara paling mudah ialah bercakap apa yang rakyat nak dengar dan memberikan apa yang rakyat hendak. Dalam bahasa Inggerisnya – “play to the gallery” mengikut segmen market masing-masing.
Sebab itu, setiap ahli politik di Malaysia merasakan mereka relevan, kerana mempunyai market mereka sendiri. Apabila rakyat berubah selera, mereka juga berubah cara dan mesej.
Ada ahli politik yang bernasib baik jika mereka mendapat market yang sama dengan media yang juga bergantung hidup kepada segmen market tertentu. Nama mereka akan dijulang tinggi oleh media-media ini untuk menonjolkan seolah-olah merekalah golongan majoriti di Malaysia ini.
Maka, timbullah perangai – “You are with us, or you are against us.” Semua bercakap kononnya merekalah wakil tertepat mewakili rakyat Malaysia, walhal pada realitinya mungkin tidak begitu. Ini cumalah teknik menjenamakan atau “branding” dalam politik.
Jika majoriti rakyatnya hendak menjadikan arak sebagai minuman biasa, nescaya mereka akan meluluskannya. Sekiranya rakyat berpendapat pelacuran ialah satu industri yang perlu dilesenkan, percayalah mereka akan menjayakan agenda itu juga. Kalau rakyatnya merasakan kasino adalah satu sumber pendapatan negara, yakinilah ahli-ahli politik sebegini akan membinanya.
Dan sekiranya satu hari nanti rakyat berpendapat budaya bogel bukanlah satu masalah, maka akan bangkitlah ahli-ahli politik untuk memperjuangkannya.
Ahli-ahli politik sebegini sebenarnya hanya pengambil kesempatan untuk mendapatkan kuasa dan populariti. Mereka tiada pegangan, dan tiada batasan. Ada berkiblatkan duit semata-mata. Asalkan itu kehendak manusia, maka ia akan ditunaikan supaya karier ahli-ahli politik kekal relevan, kekal popular dan paling penting kekal pendapatannya.
Walaupun majoriti ahli-ahli politik di Malaysia bersifat begitu, tapi ada satu golongan kecil ahli politik tidak bersifat begitu.
Golongan ini ada pegangan, ada kiblat. Golongan ini menerima hakikat kerana pegangan mereka, mereka sukar mendapat undi daripada golongan rakyat yang suka kebebasan sepenuhnya, penjudi, peminum arak, berpemikiran sekular, tidak menyukai hukum yang ditentukan Tuhan dan lain-lain yang tergolong dalam kategori yang tidak selari dengan pegangan mereka.
Caranya hanya satu. Mereka tidak boleh memaksa. Mereka hanya boleh meneruskan berdakwah walaupun mereka sering dibayangkan sebagai golongan minoriti.
Proses dakwah untuk mendapatkan sokongan adalah satu perjalanan panjang. Contohnya, golongan ini tidak akan mengisytiharkan arak dibolehkan semata-mata untuk mendapatkan undi peminum arak hari ini.
Golongan ini sanggup menanti hasil dakwah mereka kerana mereka yakin seorang yang suka minum arak berkemungkinan akan mengundi mereka satu hari nanti se mereka berhenti minum arak kerana akhirnya tersedar dengan kebenaran ajaran yang diajar. Begitu juga market lain-lain yang tidak selari dengan pegangan mereka.
Tidak dinafikan ada mereka di kalangan golongan ini yang hilang keanjalan dan kesabaran dalam proses dakwah sehingga menjadi terlalu memaksa dan “rigid” dengan prinsip hukum kerana tidak sabar dicemuh. Namun, ia hanyalah minoriti yang sering digambarkan sebagai majoriti kumpulan ini oleh media yang tidak setuju dengan pegangan golongan ini.
Tidak dinafikan juga, ada juga mereka di kalangan golongan ini yang akhirnya memilih mengikut karenah ahli-ahli politik Malaysia yang terus sanggup “play to the gallery”, meskipun perlu bersetuju dengan perkara yang melanggar pegangan mereka, agar dapat mengecapi kemenangan yang lebih cepat.
Golongan ini sering digambarkan sebagai golongan pemodenan oleh media yang tidak menyukai pegangan asal golongan ini. Malah, mereka akan dinobatkan sebagai hero jika ada di kalangan ini yang sanggup mengkritik kalangan mereka sendiri yang tidak mahu mengikuti jejak mereka.
Namun, ini sememangnya asam garam dan ujian kepada golongan yang berada di dalam perjuangan ini. Kerana ada pegangan, golongan ini dapat terus bertahan meskipun ada sahabat yang tersungkur, ada sahabat yang terputus asa, ada sahabat yang menjadi musuh dan pandangan mereka dicemuh kerana tidak selari dengan pemikiran semasa rakyat yang mengagungkan akal.
Model pegangan golongan ini sering kali dipacak dan diuar-uarkan kepada umum. Mereka tidak berpura-pura dengan pegangan mereka. Mereka tidak malu dengan apa yang dipercayai mereka. Mereka tidak mengikut selera rakyat, sebaliknya golongan ini berdakwah mengajak rakyat melihat kebenaran pegangan. Mereka berpolitik mengikut batas pegangan dan bukan membolehkan apa yang tidak boleh demi mendapatkan undi.
Ingatkah lagi tema “Membangun bersama Islam”? Ingatkah lagi bagaimanakah sambutan rakyat terhadap beliau yang memacakkan tema ini ketika beliau mengumumkan perkara ini pada 1990 dan ketika beliau meninggalkan kita pada 2015?
Itulah prinsip golongan ini, yang cukup berbeza dengan ahli-ahli politik lain di Malaysia. Ukuran hari ini tidak pernah tepat. Sebab itu ada perkataan yang dipanggil sejarah. Tiada istilah gagal selagi istiqamah ada. Itu formula yang diperakui di dunia ini. – 6 Julai, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments