Opinion

Allah bayar ‘cash’?

Dalam satu pertemuan dengan sahabat saya baru-baru ini, saya ceritakan bagaimana saya mencemburui jiwa seorang rakan saya yang fakir miskin.

“Dia ini… sudahlah susah dan tidak ada duit, tetapi dia masih boleh bagi segala apa yang ada kepada gelandangan setiap minggu.

Dia susah, tetapi tetap tekad bantu orang yang lebih susah daripadanya. Saya memang tidak dapat buat begitu,” kata saya pada sahabat saya, yang kebetulan berbicara mengenai banjir luarbiasa melanda Malaysia baru-baru ini.

“Saya membantu tatkala saya ada lebihan untuk diberi. Dia ini tidak, dia beri dalam keadaan dia serba-serbi tidak cukup. Itu yang saya kagum padanya,” tambah saya lagi.

Saya bercerita lagi bagaimana saya pernah membantunya ketika tuan rumahnya memaksanya berpindah tiga bulan yang lalu.

Sahabat saya yang kedengaran kata-kata saya meminta diri untuk pergi ke tandas.

Sekembalinya dia ke ruang tamu, dia menghulurkan RM2000 kepada saya.

“Kamu bagi dia. Tetapi jangan beritahu saya yang bagi. Cukuplah sekadar kata hamba Allah yang bagi,” kata sahabat saya.

“Kamu cukup duit guna ke?” tanya saya kepada sahabat.

“Kalau ikut hati tak pernah cukup,” terang sahabat saya sambil ketawa.

Saya pun terus mengambil telefon saya dan WhatsApp rakan saya tentang khabar gembira itu.

“Salam. Bagi nombor akaun. Ada orang hendak bagi anta derma. Tetapi dia tak nak anta tahu dia siapa,” tulis saya kepada rakan saya itu.

Rakan saya terus membalas, “Terima kasih banyak-banyak. Memang tengah teruk… (berserta nombor akaun banknya). Tqvm.”

Rakan saya mendesak ingin tahu siapa yang menderma kepadanya. “Kalau hang bagitahu, boleh juga aku sebut nama dia dalam doa,” rayunya.

Saya memberikan sahabat saya membaca tulisan WhatsApp rakan saya itu yang ingin tahu identitinya.

“Bagitahu dia, Allah tahu siapa. Anggaplah ini pertolongan dari Allah,” sahabat saya meminta saya menjawab sedemikian kepada rakan saya.

“Itu memang…” jawab rakan saya lalu menceritakan apa yang dibuat kebelakangan ini sehingga keadaan kewangan menjadi tenat (yang masih tidak diketahui saya ketika berWhatsApp dengannya).

“Sebelum ini aku beli barang-barang lebih RM2,500 untuk mangsa-mangsa banjir. Aku ‘pau’ duit kawan-kawan dan sedikit aku… Aku tidak sangka langsung-langsung Allah bayar cash kat aku. (icon menangis tiga kali).

Aku cerita ini untuk tujuan nak ceritakan betapa Allah bayar cash. Semata-mata kerana itu,” tulis rakan saya itu.

Saya memberikan sahabat saya membaca apa yang ditulisnya lalu beliau meminta saya menjawab, “Allah maha tahu!”

Setelah saya bank-in duit RM2000 kepadanya, saya hantarkan slip transaksi kepada sahabat dan rakan saya sebagai tanda selesainya tugas dan amanah saya sebagai penyampai derma.

Saya sertakan mesej ini pada rakan saya ketika menghantar salinan transaksi berkenaan: “Anta usah tanya ya siapa dia. Ana sudah janji tidak boleh cakap.”

Lalu dia membalas:

“Lost for words. May Allah bless you and the Ustaz. Hang tolong forward kat dia:

Shukran, ya ustaz. Mudah-mudahan Allah kasih, Muhammad kasih kepada Ustaz.

Tiap-tiap kali aku bersedekah (yang ciput-ciput ja), aku bagitahu kat diri aku: ‘Jangan takut, tidak akan miskin/putus duit kerana bersedekah. Benar sungguh janji Allah! Tqvm, Ustaz!”

Saya pun terus forwardkan mesej rakan saya kepada sahabat saya, yang menjawab: “Alhamdulilah. Rakan kamu dapat diringankan tanggungan hidupnya for the time being.”

Begitulah perkongsian cerita yang paling menyentuh hati saya minggu lalu mengenai keindahan hati seorang Muslim yang ditunjukkan oleh rakan dan sahabat saya.

Terima kasih kerana tauladan kamu berdua membawa saya erti bersedekah yang sebenar.

Buat rakan saya, cuma mahu beritahu sahabat saya itu bukanlah seorang ustaz. Senyum. – 5 Januari, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments