Opinion

Anwar masih tidak dapat surat yang diperlukan

Surat peletakan jawatan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih jauh daripada tangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR.

Yang ada kini hanyalah surat memecat Khalid daripada PKR. Bagaikan satu pokok yang dicantas akarnya, Anwar dan PKR mengharapkan sokongan kepada Khalid akan layu dan akhirnya, ini dapat memaksa beliau untuk berundur daripada kerusi menteri besar Selangor.

Meskipun demikian, kerusi MB Selangor masih tidak kosong.

Objektif Anwar dan PKR

Objektif Anwar dan PKR ada tiga:

Pertama, membuang Khalid sebagai MB Selangor.

Kedua, melantik isterinya yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Khalid.

Dan ketiga, mencapai objektif satu dan kedua tanpa melalui pilihan raya negeri.

Surat pemecatan Khalid hanya membawa PKR selangkah ke arah mencapai objektif pertama.

Tetapi, langkah tersebut juga berpotensi menggagalkan semua objektif yang ingin dicapai Anwar dan PKR kerana ia juga membawa mereka selangkah mendekati pilihan raya negeri.

Khalid masih seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Selangor dan dengan itu, masih layak menjawat menteri besar Selangor jika beliau masih mempunyai sokongan di DUN Selangor.

Jika PKR gagal mendapatkan sokongan secukupnya di DUN Selangor, maka Khalid akan kekal memerintah.

Sebaliknya pula, Pakatan Rakyat (PR) terpaksa menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri kalau Khalid memilih untuk membubarkan DUN daripada meletak jawatan.

Jika diberi pilihan, penulis percaya PKR akan memilih membuat undi tidak percaya di DUN Selangor terhadap Khalid daripada terus memecat beliau.

Oleh kerana tidak mendapat angka yang mencukupi, PKR mengambil langkah drastik memecat Khalid, lebih-lebih lagi apabila Majlis Syura PAS membuat ketetapan untuk bersetuju menukar Khalid hanya jika beliau didapati bersalah atas tuduhan dikemukakan PKR.

Dengan memecat Khalid, PKR seolah-olah memaksa PAS untuk menyokong calon lain selain Khalid untuk menjadi menteri besar Selangor.

Takkan PAS masih hendak menyokong seorang yang bukan lagi ahli PR sebagai menteri besar?

Ditambah dengan perkiraan PAS juga ingin mengelak daripada hilang kuasa akibat pilihan raya negeri, maka PKR fikir ini satu langkah yang wajar meskipun rakyat melihat keseluruhan episod ini dengan meluat sekali.

PKR mungkin tersilap kira untuk objektif kedua

Pada perkiraan hari ini, PAS, DAP dan PKR mempunyai 43 Adun dengan komposisi (18 Adun bukan Islam (DAP - 15, PKR - 3) dan 25 Adun beragama Islam (PAS - 15, PKR 10)).

Jika ada mana-mana 8 Adun beragama Islam daripada PR yang enggan menyokong Dr Wan Azizah sebagai menteri besar, kerajaan Selangor PR akan menjadi tidak stabil kerana mereka terpaksa menghadapi tuduhan kerajaan Selangor yang ada ini didominasi orang bukan Islam.

Jika kerajaan Selangor dibentuk tanpa sokongan PAS, keadaan akan menjadi lebih getir di mana kerajaan yang ada pula akan dituduh sebagai kerajaan bukan Islam sepenuhnya, dengan 18 Adun bukan Islam dan hanya 10 Adun beragama Islam.

Keadaan sebegini akan membuka ruang kepada pelampau kaum dan agama bagi memudaratkan jurang antara kaum dan agama, yang kini sudah pun mencapai tahap yang membimbangkan.

Nasib kerajaan Perak PR pada 2008 yang hanya mampu bertahan setahun jagung, mungkin juga akan melanda Selangor jika berlaku apa yang tercatat di atas.

Inilah bab yang mungkin PKR tersilap kira dalam desakannya untuk menggantikan Khalid dengan Dr Wan Azizah dengan memecat Khalid.

Objektif kedua penghalang sebenar kepada kerjasama Pakatan?

Jika DUN dibubar dan pilihan raya negeri diadakan, apakah PAS, DAP dan PKR masih boleh bekerjasama dan bersetuju dengan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor sekiranya rakyat memberikan mandat kepada mereka sekali lagi?

Bolehkah Dr Wan Azizah menjadi menteri besar Selangor dengan sokongan majoriti Adun bukan Islam melebihi Adun beragama Islam?

Berapa banyak kerusi PAS, DAP dan PKR yang akan disabotaj ahli masing-masing seperti yang berlaku di Teluk Intan?

Bagaimana pula kem Dr Wan Azizah dan kem Azmin akan mengundi di pilihan raya negeri Selangor nanti?

Jawapan kepada semua persoalan di atas memberikan isyarat jika berlakunya pilihan raya negeri ataupun Dr Wan Azizah yang menjadi MB Selangor tanpa pilihan raya atau melalui pilihan raya, yang untung hanyalah BN.

Sebab itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mengeluarkan sebarang komen pada tindak-tanduk Anwar terkini mengenai krisis MB Selangor. Bak kata orang, apabila musuh tengah gali kubur sendiri, molek kita mendiamkan diri.

Ada orang kata apabila musuh menyokong kamu, tandanya ialah ada benda yang tidak betul. Tapi mereka juga terlupa apabila musuh enggan berkata apa-apa pada apa yang kamu tengah lakukan, signalnya ialah kamu tengah gali kubur sendiri. Situasi kedua sebenarnya lebih berbahaya berbanding situasi satu.

Krisis MB Selangor menjadi isu perkauman?

Krisis MB Selangor bukan saja satu isu politik yang menjahanamkan PR malah kini, ia berpotensi menjadi satu bom yang merenggangkan lagi hubungan antara kaum sekiranya mereka yang terlibat tidak berhati-hati dan hanya dibutakan oleh kuasa dan duit yang dipunyai kerajaan Selangor.

Hanya kerana gagal mendapat surat perletakan jawatan Khalid, kini seluruh rakyat Malaysia diheret dalam krisis MB Selangor.

Episod ini sungguh sedih bagi pendokong PAS, PKR dan DAP di bawah selama ini yang bekerja keras untuk parti masing-masing.

Bagaimana satu kerajaan yang dikuasai 44 daripada 56 kerusi DUN boleh goyah?

Egolah puncanya. – 11 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments