Saya pernah menggilai sebuah permainan komputer – Defense of the Ancients (DOTA) pada satu waktu dahulu. Permainan ini adalah perlawanan 5 lawan 5 menggunakan watak-watak hero yang berlainan.
Pendek ceritanya, kehebatan seseorang tidak dapat mengatasi kerjasama berpasukan dalam permainan ini. Kerjasama pasukan akan menentukan kemenangan.
Teori ini juga terpakai di dalam politik. Tiada parti yang perlu dibimbangi oleh mana-mana parti lawan mahupun kawan daripada parti yang kerja berpasukannya kuat.
Jika dinilai dari sudut ini, DAP ini parti yang paling ke depan dalam kerja berpasukan berbanding parti lain.
Dari bawah ke atas, seluruh jentera DAP bergerak sehala dan sejiwa. Apabila pemimpin utamanya mengeluarkan kenyataaan, semua mereka patuh dan melaksanakannya.
Tiada yang mempersoalkannya di media meskipun hati mereka tidak bersetuju.
Rakyat susah untuk mengingati bila kali terakhir DAP bercakaran semasa sendiri. Jika bercakaran berlaku, ia boleh ditutup dengan cepat kerana masing-masing akan akur dengan arah kepimpinan parti.
Apabila DAP melakukan serangan terhadap mana-mana isu dan mempertahankan dasar parti, ia akan dalam bentuk bertali arus. Ini tidak mungkin terjadi kalau para pemimpinnya tidak dapat bekerjasama dengan baik.
Hasilnya, DAP muncul di media tiap-tiap hari dari pelbagai sudut berita dan menyebabkan rakyat mendapat persepsi terhadap mereka sebagai parti yang lantang (mungkin juga terlampau lantang bagi mereka yang mengatakan mereka angkuh), rajin dan berjuang untuk rakyat.
Mulut bocor hanya berlaku apabila hilangnya kerja berpasukan dan saling kepercayaan sesama pemimpin. Oleh itu, jarang kita kedengaran rahsia DAP jatuh ke tangan musuh.
Ramai yang sudah mencurah asid pada kepimpinan PAS yang baru meskipun ia baru berusia 4 hari.
Setahun yang lalu, ia menjadi semakin ketara bahawa pasukan di dalam PAS tidak dapat bergerak sehala dan sejiwa. Mesyuarat menjadi tempat pertengkaran dan bukan lagi tempat berbincang.
Parti yang tidak bersatu membuka ruang untuk dicampuri urusan dalamannya. Kerana percakaran, masalah dalaman pula dibawa keluar sehingga diketahui umum. Budaya ‘You are either with us, or against us’ menyular ke setiap peringkat PAS.
Apa yang sewajibnya rahsia dibocor atas nama menegakkan kebenaran. Masalahnya semua pihak berasa mereka di pihak yang benar. Tiada siapa yang rasa mereka yang salah. Ayat Quran dan Hadis dipetik untuk membenarkan hujah sendiri tanpa menilai akibatnya kepada imej parti pada jangka panjang. Perang saraf dilancarkan sesama sendiri.
Namun, masalah ini dipercayai sudah berakhir pada 4 Jun yang lalu kerana yang menang adalah dari satu pasukan yang sama.
Kepimpinan baru ini dipercayai boleh bekerjasama dengan baik dari bawah ke atas. Rahsia parti akan kekal sebagai rahsia parti. Apabila arahan dikeluarkan, semua akan mentaatinya. Apabila ketua bersuara, ahli yang tidak bersetuju tidak akan mempertikainya secara terbuka meskipun hati tidak bersetuju.
Kepimpinan parti tidak akan lagi kelihatan bercakaran sesama sendiri.
Akan tetapi, tugas memulihkan imej parti dan hati yang sebegitu terluka kerana pergolakan dalaman yang tidak dapat diselesaikan sebegitu lama bukan satu perkara yang mudah.
Ia memerlukan masa dan kesabaran. Ia memerlukan strategi. Namun, tiada yang lebih penting daripada kerja berpasukan. Tiada apa-apa yang mustahil jika adanya kerja berpasukan.
Dan ciri inilah ada di dalam kepimpinan PAS yang baru. Ditambah dengan semangat istiqamah sehingga kemenangan, tiada apa-apa yang mustahil melainkan mereka mahu membenarkan komen-komen para pengkritik mereka hari ini. – 8 Jun, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments