Bajet 2015 diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan meluaskan lagi jurang pendapatan antara rakyat Malaysia.
Kenaikan harga minyak beserta dengan perlaksanaan GST pada tahun depan bakal menyaksikan inflasi naik sekali ganda pada tahap yang ada sekarang.
Yang miskin akan terus bergantung hidup dengan kerajaan dengan pemberian BR1M secara ansuran dan perlaksanaan GST.
Yang kaya pula menjadi lebih kaya apabila cukai pendapatan individu distruktur semula di mana kadar maksimum akan dinaikkan kepada tahap lebih daripada RM100,000 kepada tahap lebih daripada RM400,000.
Bukan itu sahaja, kadar cukai maksimum 26% akan dikurangkan kepada 24%, 24.5% dan 25%.
Mari kita melihat contoh dari sudut harga makanan.
Kalau hari ini, sepinggan nasi campur berlauk seketul ayam, sayur dan secawan teh 'O' di ibu kota berharga RM6, tahun depan dijangka harga itu naik kepada RM8-RM10.
Peningkatan ini bukan sahaja disebabkan kenaikan kos pengangkutan, iaitu kos asas kepada segala perkara. Ia juga disumbang melalui inisiatif peniaga meningkatkan keuntungan bagi menampung kos sara hidup lebih mencabar.
Bukan itu sahaja, para peniaga juga bakal berdepan dengan ekosistem perniagaan yang lebih mencabar apabila pengguna mengambil langkah mengubah cara hidup untuk mengurangkan kekerapan menjamu di luar, dan membawa bekal sendiri ke tempat kerja kerana kenaikan harga barangan.
Kerajaan tidak mungkin dapat mengawal keadaan ini kerana inilah caranya sahaja para peniaga mengekal dan meningkatkan pendapatan yang ada.
Bagaimana pula dengan golongan kaya? Mereka akan ada duit lebih hasil daripada pengurangan cukai perniagaan dan juga cukai persendirian.
Dari sudut makanan, Bajet 2015 bakal menguntungkan mereka. Mereka sudah biasa menjamu di restoran yang mengenakan cukai SST yang mengenakan cukai jualan 6% dan cukai perkhidmatan 10%. Sekarang semua ini akan bertukar kepada GST yang hanya 6%. Ini menjimatkan bagi mereka.
Dari sudut makanan sahaja, kita sudah boleh melihat bagaimana Bajet 2015 membesarkan lagi jurang antara golongan miskin dan kaya di Malaysia – apatah lagi perkara yang lain.
Apabila golongan berpendapatan rendah dan pertengahan terhimpit, segala bantuan yang diberikan kerajaan menjadi berharga dan satu kelegaan.
Pemberian BR1M berkala ini akan menjadi candu bagi golongan ini mengatasi kesakitan yang terhasil daripada kadar inflasi yang meningkat lebih cepat dan mendadak berbanding dengan kadar kenaikan pendapatan mereka.
Keadaan ini secara langsung menambahkan sikap kebergantungan mereka kepada kerajaan.
Dalam kata mudah, Bajet 2015 akan menyebabkan mereka lebih bergantung hidup pada kerajaan.
Apakah ini yang kerajaan mahu secara tersirat demi matlamat politiknya? Diharap bukan. – 13 Oktober, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments