Opinion

Bukit Gelugor, mengapa Umno tak bertanding?

Jika dibandingkan antara Kajang dan Bukit Gelugor, sebenarnya lebih wajar untuk MCA bertanding di pilihanraya kecil Bukit Gelugor daripada Kajang.

Ini kerana PRK Kajang dibuat dengan sengaja untuk tujuan politik PKR, manakala PRK Bukit Gelugor terpaksa diadakan kerana kematian ahli parlimennya iaitu Karpal Singh.

Atas nama mempertahankan demokrasi sebagaimana hujahnya untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan daripada hudud di Kelantan, MCA wajar boikot PRK Kajang dan turun di Bukit Gelugor sekiranya parti ini masih konsisten antara tindakan dengan hujahnya.

Ini tidak. MCA memilih untuk melarikan diri daripada berdepan dengan kekalahan yang lebih teruk.

Pendirian ini juga bertentangan dengan kata-kata mereka selepas PRK Kajang di mana MCA mendabik dada menyatakan bahawa mereka berjaya meningkatkan sokongan orang Cina kembali kepada BN selepas mengurangkan undi majoriti kemenangan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bukan itu sahaja, pendirian tidak bertanding MCA juga melanggar saranan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menegaskan Barisan Nasional perlu menurunkan calon di Bukit Gelugor meskipun tahu itu adalah kawasan hitam bagi BN.

Memandangkan MCA tidak berani turun selari dengan persepsi awam yang ada pada presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai dan timbalannya Datuk Wee Ka Siong, mengapa Umno tidak mengambil peluang ini untuk bertanding di Bukit Gelugor untuk mengukur keberkesanan propaganda mereka pada DAP dan juga minda orang Melayu?

Di Bukit Gelugor, terdapat 11,880 pengundi orang Melayu yang boleh dijadikan ukuran populariti Umno.

Mereka mewakili 14.48% daripada jumlah pengundi di Bukit Gelugor yang berjumlah 82,431 pengundi. Yang selebihnya ialah pengundi bukan Melayu dengan majoriti 74.49% berbangsa Cina.

Sekiranya Umno tidak hilang deposit di Bukit Gelugor dan berjaya meningkatkan undi Melayu berbanding PRU13, Umno dikira mendapat kemenangan moral di Bukit Gelugor.

Ini sepatutnya sesuatu yang mudah dan dapat dilakukan oleh Umno yang bersenjatakan jentera kerajaan yang banyak untuk menyalurkan maklumat.

Lebih-lebih lagi lawannya ialah anak kepada seorang yang terkenal dengan sikap menentang hudud atau undang-undang Islam yang Umno teringin sangat membantu PAS untuk melaksanakannya di Kelantan.

Umno sepatutnya gembira bahawa PAS kini betul-betul mempercayainya untuk bersama-sama melaksanakan hudud di Kelantan meskipun duit royalti tidak pernah dibayar sesen pun pada kerajaan Kelantan sehingga kini.

Malah, PAS semalam membuat satu keputusan besar untuk menangguhkan hasratnya membawa Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat.

Semua ini dibuat kerana PAS mempercayai Umno betul ikhlas ingin melihat hudud terlaksana di Kelantan tidak lama lagi selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan penubuhan satu Jawatankuasa Teknikal antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Kelantan untuk meneliti dan mengemukakan cadangan tindakan ke arah pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan.

Dengan bertanding di Bukit Gelugor, Umno boleh menggunakan peluang ini untuk membuktikan keikhlasannya untuk membantu PAS melaksanakan hudud di samping menggunakan ruang kempen PRK untuk menyebarkan kebaikan mengenai hudud sebagai senjata meningkatkan undi Melayu.

Secara tidak langsung juga, cara ini dapat membantu memberi penerangan yang tepat mengenai hudud sebagaimana usaha Umno mewar-warkan kebaikan GST.

Memandangkan MCA tidak berani turun bertanding atas alasan ingin menumpukan perhatian untuk melawan perlaksanaan hudud di Kelantan, Umno wajib bertanding untuk berbuat sebaliknya.

Namun, segalanya nampak macam dah terlambat.

Sebab pendirian MCA tidak bertanding ini telahpun disambut baik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meskipun bertentangan dengan pandangan Dr Mahathir.

Apakah ini juga secara tidak langsung bermaksud Umno menyokong penuh alasan MCA untuk tidak bertanding bagi menumpukan perhatian untuk menentang perlaksanaan hudud di Kelantan?

Jika benar, ikhlas ke Umno nak bantu PAS untuk laksana hudud di Kelantan? Lu pikirlah sendiri. – 12 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments