Opinion

Dakwah yang ditinggalkan Nik Aziz

“Mana-mana orang Islam yang menanam satu tanaman, sama ada tanaman renek tambah kecil atau tanam pokok besar, maka sebarang benda yang keluar dari pokok itu dikira sedekah.

Burung hinggap atas dahannya – sedekah. Segala binatang buas, tupai ke, yang makan buah – sedekah. Orang yang pergi duduk bawah bayang dia – sedekah.

Sedekah ini merupakan duit antarabangsa. Hari ini kita perlu duit tempatan dan duit luar. Maka kita (terima). Akhirat ini luar daripada hak luar segala-gala. Kita perlu ada duit juga untuk akhirat. Duit ini kita tak panggil duit atau currency. Kita panggil pahala. Sebagaimana kita perlu pada duit yang kita buat ini, maka kita juga perlu ada pahala.

Kerana apabila kita masuk kubur, tak kira kaya miskin, kita tak guna duit kita. Duit Malaysia tak guna. Duit Amerika tak guna. Emas jongkong pun kita tak guna. Kita guna pahala..”

Begitulah kata-kata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu filem pendek 15Malaysia terbitan Amir Muhammad.

Ramai bukan Islam yang tidak faham bagaimana allahyarham boleh hidup dalam keadaan sebegitu sederhana dan rendah diri meskipun berjawatan menteri besar selama 23 tahun.

Jawapannya ialah seperti di atas.

Nik Aziz meletakkan pahala jauh lebih tinggi daripada segala apa harta yang boleh dikumpulkan manusia di muka bumi ini.

Baginya, setiap tindakannya mestilah demi Ilahi, dan dengan itu sajalah, beliau boleh mengumpul pahala sebelum pergi bertemu pencipta-Nya.

Tatkala pemimpin lain mengejar kekayaan dan pangkat, allahyarham merebut-rebut untuk bersedekah dan mendidik seramai manusia yang boleh untuk kembali ke pangkal jalan.

Nik Aziz hidup dengan berpandangan jauh, jauh daripada kita yang terlalu memfokuskan kepada sandiwara di bumi ini.

Pemahamannya mengenai pokok secara tidak langsung menggambarkan cara hidupnya.

Nik Aziz secara tidak sedar bertindak sebagai pokok besar kepada rakyat Malaysia dan Kelantan khususnya.

Sewaktunya masih hidup, sesiapa saja boleh mengunjunginya di Pulau Melaka tanpa protokol, seperti pohon besar yang memberikan teduh nyaman kepada sesiapa yang sudi menziarahinya.

Nik Aziz memberikan nasihat setiap kali diberi peluang, seperti pokok besar yang sudi memberikan buahnya kepada manusia mahupun binatang buas yang kelaparan.

Caranya bersedekah (kepada mereka yang pernah merasainya mereka akan tahu), adalah umpama pokok besar yang sudi dikorbankan untuk dijadikan rumah bagi mereka yang dalam kesusahan.

Meskipun Nik Aziz sudah tiada, tapi cara allahyarham menjalani kehidupannya sebagai seorang mukmin tulen mengikut sunnah Nabi menyentuh hati orang ramai, sebagaimana pokok besar meninggalkan kesan akarnya sehingga teras bumi.

Islam terpancar daripada cara kehidupan Nik Aziz. Islam inilah yang menyentuh semua kaum. Kalau tidak, bagaimana mungkin orang bukan Islam memberikan penghormatan yang begitu menakjubkan kepadanya.

Untuk menceritakan apa Islam itu sebenarnya, Nik Aziz membuktikan kepada PAS dan orang Islam di Malaysia wang bukan senjatanya, paksaan bukan formulanya, sekadar bercakap retorik bukan caranya, tapi melalui tauladan dan tindak-tanduk seorang umat Islam yang sebenarnya.

Caranya menjalani kehidupan menjadi satu dakwah yang sangat berkesan.

Mungkin Nik Aziz juga tidak sangka, dakwah ini terus berjalan secara sendirinya meskipun allahyarham sudah meninggalkan kita. Hebat bukan?

Selamat berehat, wahai tuan guru yang tercinta. – 16 Februari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments