Saya: “Harga minyak dah turun 60 sen sejak September, mengapa harga kari mee pakcik masih naik harga?”
Pakcik kari mee: “Semua barangan lain meningkat. Perbelanjaan sekolah meningkat. Bayaran tambang bas sekolah meningkat. Pakaian sekolah meningkat. Apa pun meningkat. Kalau saya tak naik harga, macam mana saya nak cover?! Minyak turun 60 sen, gas masak naik harga. Kereta saya pam penuh 3 kali sebulan, 50 liter setiap kali. Saya jimat RM90 sahaja sebulan, you ingat banyak sangat ke RM90 itu?”
Saya: “Kalau harga minyak naik balik ke RM2.30, harga mee kari pakcik akan kekal tak?”
Pakcik: “Bergantung. Tapi rasanya mesti naik sebab masa itu, semua orang akan ambil kesempatan naik harga lagi. Apabila semua benda lebih mahal, takkan saya seorang sahaja yang bodoh tak naik harga? Nak tunggu mati? Saya tak makan, isteri dan anak-anak sahaja pun perlu makan.”
Begitulah perbualan saya dengan pakcik yang menjual mee kari di sebuah gerai di USJ.
Apabila Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata harga minyak RON95 sepatutnya RM1.62 per liter, saya terfikir, apakah menurunkan harga minyak ini satu perkara yang baik untuk rakyat?
Penjimatan yang rakyat dapat daripada penurunan harga minyak sebenarnya amatlah kurang. Jika dibandingkan dengan harga bulan September 2014 (RM2.30) dan harga hari ini (RM1.70), sebuah kereta di Lembah Klang yang menggunakan 200 liter RON95 sebulan, penjimatan pada kegunaan minyak kereta hanyalah RM120 sebulan.
Dengan harga barangan lain yang meningkat, lebihan RM120 ini sebenarnya akan hilang begitu sahaja.
Bagi peniaga kecil dan sederhana, lebihan pendapatan yang datang daripada penurunan harga minyak kereta sebenarnya tidak dapat membantu mereka menurunkan harga.
Bahkan, sebenarnya penurunan harga minyak hari ini menjadikan tahap inflasi seperti satu lastik yang ditarik ketegangannya menunggu masa dilepaskan ke arah rakyat.
Apabila harga minyak pulih ke AS$70-100 setong, lastik ini akan dilepaskan, dan tahap inflasi akan memecut mengena rakyat kerana majoriti peniaga akan menggunakan peluang itu menaikkan harga barangan dengan alasan seperti pakcik di atas, yang berhujah, “Takkan saya seorang sahaja yang bodoh tak naik harga?”
Ramai rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana akan terpelanting terkena pukulan lastik itu nanti.
Jika waktu harga minyak pulih adalah sama dengan waktu GST dilaksanakan, bukan sahaja terpelanting, ramai rakyat berpendapatan rendah dan sederhana yang akan pengsan.
Oleh itu, janganlah bergembira sangat dengan tuntutan harga minyak turun. Lebih elok rakyat berdoa agar harga minyak distabilkan di mana ia boleh menjadi kusyen selesa bagi mengharungi tsunami inflasi yang sedang menuju ke arah Malaysia dan menutup ruang alasan para peniaga untuk menaikkan harga. – 1 Februari, 2015.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments