Opinion

Kalau MCA ada sifat DAP…

Tercetusnya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), apakah reaksi MCA terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekiranya mereka mempunyai sikap seperti DAP?

Apakah MCA akan berkata bersetuju dengan tidak bersetuju dengan Umno dalam isu 1MDB?

Apakah MCA akan bertali arus menyerang Najib dengan tuduhan tidak jujur, boros, tidak telus dan sedang menghancurkan Barisan Nasional (BN)?

Apakah MCA akan berkata kalau BN pecah ini semua salah Najib dan Umno?

Apakah MCA akan berkata mereka hanya akan bekerjasama dengan para pemimpin Umno yang sependapat dengan mereka, 1MDB ini memang bermasalah?

Apabila pemimpin Umno menegur pemimpin MCA yang melampau menyerang Najib, apakah MCA akan berkata hanya ahli MCA boleh mengarahkan beliau tutup mulut dan menyindir ahli Umno tidak boleh menghalangnya?

Apakah MCA akan berkata di dalam hati Najib hanya ada 1MDB tapi tiada BN?

Memandangkan Najib adalah penasihat 1MDB, apakah MCA akan bermesyuarat dan membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Najib tapi tidak dengan Umno?

Apakah MCA akan berkata Najib adalah penghalang kepada kejayaan BN?

Apakah MCA akan membuat deklarasi menyokong sepenuhnya tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertikaikan isu 1MDB?

Apakah MCA akan mendesak bertubi-tubi Umno memerlukan perubahan kepimpinan untuk menjamin kelangsungan BN?

Apakah MCA akan berkata helah Najib makin terserlah apabila presiden 1MDB gagal menghadirkan diri untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)?

Apakah MCA akan mengumumkan partinya sudah hilang kepercayaan kepada Najib kerana jawapan 1MDB semakin mengelirukan?

Apakah MCA akan mengadakan ceramah di Pekan yang menyuruh rakyat Pekan menuntut jawapan 1MDB daripada Najib?

Apakah MCA akan menuduh Najib memberikan peluru 1MDB kepada pembangkang untuk memecahkan BN?

Apakah MCA akan menyalahkan Umno dan Najib menyebabkan BN kehilangan kepercayaan rakyat dan undi bukan Melayu kerana skandal 1MDB?

Musuh BN akan mencari jalan menggunakan isu 1MDB dan Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) untuk merosakkan ikatan BN. Tapi kerjasama di dalam BN tidak terkesan kerana semua parti komponen BN tidak makan umpan tersebut.  Mereka tidak akan menebuk lubang masing-masing untuk memudahkan musuh menyerang.

Meskipun berbeza, mereka tetap mengetepikan perbezaan dengan menutup mulut dan tidak saling menyerang untuk mencapai matlamat bersama iaitu BN terus kekal berkuasa.

Jika MCA ada sifat DAP, sudah pasti kapal BN kini terumbang-ambing malah di ambang perpecahan. Nasib baiklah Umno dapat kawan macam MCA yang mengerti apa yang perlu dilakukan ketika isu seperti 1MDB dan PKFZ meletus.

Mereka tahu pentingnya kestabilan dan mengharungi ribut bersama bagi melindungi duit berbilion daripada terjatuh ke tangan pembangkang jika BN tersungkur. Berdoalah agar mereka yang di seberang sana memahami apa yang cuba disampaikan. – 1 Jun, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments