Opinion

Kamu masih bos?

Parti lebih penting

Pada hari ini, kalau seseorang itu hendak menjadi perdana menteri, syaratnya ialah dia mesti menjawat jawatan presiden Barisan Nasional (BN).

Untuk menjadi presiden BN, seseorang itu perlulah menjadi presiden parti terbesar di dalam BN iaitu Umno.

Meskipun perkara ini tidak ditulis secara hitam-putih, ia sesuatu yang diikuti secara tegas sehingga kini.

Lebih-lebih lagi, jika kedudukan perdana menteri ini rapuh di dalam partinya sendiri.

Jika seseorang perdana menteri kehilangan sokongan rakyat Malaysia tetapi sokongan Umno terhadapnya tetap utuh, beliau masih boleh mengekalkan jawatan perdana menteri sehingga sekurang-kurangnya Umno-BN ditewaskan di pilihan raya akan datang.

Kalau sebaliknya yang berlaku, perdana menteri akan kehilangan dua jawatan – iaitu jawatannya sendiri dan juga presiden Umno.

Berlatar belakangkan ini, rakyat tidak perlulah terkejut jika perdana menteri Malaysia dan para pemimpin kabinet daripada Umno hari ini dilihat selalu mendahulukan kepentingan Umno melebihi BN, dan mendahulukan kepentingan BN melebihi negara.

Mereka hanya bermain mengikut rentak peraturan-peraturan tidak tertulis politik Malaysia.

U-turn dalam pemansuhan Akta Hasutan, perubahan angin politik Datuk Seri Najib Razak dan Khairy Jamaluddin adalah antara bukti jelas kepada realiti politik ini.

Walaupun jawatan kamu sebelum ini ialah menteri besar, jika kamu kehilangan sokongan parti, kamu akan tumbang tanpa sebarang belas kasihan.

Walaupun kamu seorang Islam, tapi kerana parti kamu menolak hukum hudud, maka kamu terpaksa juga menari mengikut rentak tersebut meskipun kamu sepatut menyokongnya kerana tuntutan agama.

Realitinya, sistem demokrasi yang ada di Malaysia memaksa semua ahli politik mementingkan kepentingan parti melebihi segalanya.

Politik kebencian

Satu lagi masalah politik Malaysia pada hari ini ialah maraknya politik kebencian.

Kedua-dua pihak yang saling berlawan tidak lagi cuba menandingi sesama sendiri dalam perkara yang membawa kebaikan kepada negara.

Sebaliknya, perlumbaan politik hari ini dilihat dan diukur pada seramai mana, mana-mana satu pihak dapat membuat rakyat membenci pihak yang satu lagi.

Kenyataan-kenyataan menghentam, mengkritik pihak lawan dan berbaur perkauman dan agama yang mengombakkan emosi rakyat sedang memenuhi dada laporan media setiap hari.

Rakyat diapi-api sedemikian rupa untuk membentuk persepsi “Akulah Mangsa” (the victim role) di sebalik setiap pertarungan politik.

Orang Melayu berasa mereka adalah mangsa. Orang Cina berasa mereka juga adalah mangsa. Orang India juga terasa begitu. Orang Bidayuh, Dayak dan orang Asli turut terasa perkara yang sama.

Seluruh rakyat Malaysia kini berasa mereka adalah mangsa. Cuba pemangsanya lain-lain berdasarkan apa yang ditiup para ahli politik.

Ini yang memburukkan keadaan kerana seseorang yang merasakan diri sendiri ialah mangsa sering memokuskan tenaga mereka untuk mencari orang lain untuk dipersalahkan daripada melihat apa yang melanda negara ini dari konteks punca yang sebenar.

Hari ini, kamu mungkin membenci BN. Kamu juga mungkin membenci PAS, DAP mahupun PKR.

Tapi ini tidak bermakna, kamu perlu menjadi bodoh dan alat kepada para ahli politik yang menggunakan kebencian kamu untuk agenda politik mereka menambah kebencian pada pihak lawan dan bukannya untuk menyelesaikan masalah dalam negara.

Perhatikanlah apa yang kamu sedang lakukan tanpa sedar ketika mengikuti perkembangan politik di Malaysia. Apakah kamu aka rakyat masih bos atau secara tidak sedar menjadi catur politik kepada ahli politik? – 22 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments