Opinion

Kamu pam RON97?

Melihat keadaan di stesen minyak yang kehabisan RON97, timbul satu kesedaran di minda:

“Rupa-rupanya ramai rakyat Malaysia yang mampu beli minyak pada harga yang lebih mahal.”

Langkah kerajaan berhenti menghentikan subsidi kepada RON95 dan dengan kehabisan RON97 mendedahkan sesuatu hakikat di kalangan rakyat Malaysia – sebenarnya ramai di antara rakyat Malaysia yang boleh hidup tanpa subsidi kerajaan, malah membayar lebih untuk minyak kereta.

Jika kerajaan dapat mengekalkan perbezaan harga di antara RON95 dan RON97 pada kadar 20 sen, nescaya fenomena ini akan berterusan meskipun subsidi diberikan semula kepada RON95.

Daripada sudut lain (ala Jokowi), pemansuhan subsidi minyak dan kehabisan RON97 sepatutnya dirai, kerana ini membuktikan rakyat boleh hidup berdikari tanpa subsidi minyak, malah ramai yang mampu membayar lebih untuk minyak.

Pakatan Rakyat melancarkan satu kempen menuntut harga minyak RON95 diturunkan kepada RM1.90.

Sebenarnya, tiada masalah dengan kempen turunkan harga minyak. Cuma, turunnya harga minyak pada waktu ini tidak akan menyebabkan kos sara hidup mahupun barangan menurun di dalam negara.

Cuma penulis berharap mereka yang mampu pam RON97 hari ini tidak menyertainya supaya hipokrit mereka tidak terdedah.

Bagi penulis, adalah hak rakyat untuk menikmati harga minyak yang lebih rendah apabila harga minyak dunia turun.

Cuma rakyat tidak patut diajak dan dikempen untuk melihat kesan kejatuhan harga minyak pada nilai jualan RON95 dan RON97 semata-mata. Lihatlah juga daripada sudut pendapatan negara, nilai Ringgit dan kesannya pada keseluruhan ekonomi negara.

Kamu mungkin tidak suka pada kerajaan Barisan Nasional (BN), tapi janganlah kamu menjadi seorang yang abaikan kepentingan Malaysia pada keseluruhannya.

Dalam keadaan harga getah, sawit dan minyak – tiga komponen terbesar eksport negara jatuh merudum, kempen ini sebenarnya akan menyusahkan kerajaan yang memerintah.

Rakyat sepatutnya berasa resah melihat keadaan sebegini kerana tanda yang ada menunjukkan negara di ambang krisis ekonomi.

Sepatutnya, rakyat dibawa untuk mendesak kerajaan pada perkara yang lebih besar seperti hutang 1MDB, subsidi kepada IPP dan melengahkan pelaksanaan GST.

Jika kewangan negara bermasalah, tiada sesiapa yang untung tatkala PRU14 masih jauh lagi, tidak kiralah kamu membenci BN mahupun tidak. – 15 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments