Opinion

Tanpa PAS, bersedia tewas

Kerjasama politik antara parti tidak boleh berlaku hanya melalui kata-kata atau tuduhan atau pengaruh seseorang.

Kerjasama politik mesti berdasarkan realiti ialah persetujuan mengenai pembahagian kerusi.

Kerana kerusi yang dipertandingkan adalah komoditi terpenting dalam politik dan masalahnya ia terhad. Kerusi adalah aset yang direbut semua parti politik untuk dipajak benderanya.

Yang menang akan melabelkan kerusi itu menjadi kerusi hak milik parti.  Yang tewas pula akan melabelkan kerusi itu sebagai kerusi yang ia mempunyai hak untuk bertanding pada pilihanraya akan datang.

Ramai yang cuba mewajahkan akan ada kerjasama antara Umno dan PAS. Tapi seperti yang pernah ditanya Timbalan Presiden PAS – berapa kerusi yang Umno sedia bagi ke PAS,  di mana jika PAS bertanding,  Umno tidak akan bertanding?

Apakah Umno akan undur dari bertanding di Kelantan,  Terengganu, Kedah dan Selangor di semua kerusi yang bakal ditandingi PAS?  Tidak mungkin. 

Umno ada banyak kerusi yang dimenangi berlawan dengan PAS. Semua kerusi ini tidak akan diserahkan untuk berkongsi kuasa dengan PAS.  Oleh itu, kerjasama politik antara Umno dengan PAS langsung tidak akan terjadi.

Bagaimana pula dengan Amanah dan Pakatan Harapan,  dan Pakatan Rakyat antara PKR dan PAS?

Apakah DAP dan PKR akan menyerahkan kerusi milik mereka kepada Parti Amanah Negara (Amanah)? Jika waktu berbaik di Pakatan Rakyat pun berlaku pertembungan kerusi kerana tidak sanggup kerusi diberikan kepada rakan, kemungkinan DAP dan PKR memberikan kerusi kepada Amanah amatlah tipis.

Yang bakal berlaku ialah DAP dan PKR memberi sokongan penuh kepada Amanah untuk bertanding di kerusi yang dipersetujui bagi PAS bertanding.

PAS tidak akan berundur daripada kerusi yang sudah ditandingi mereka melawan Umno.  Sesiapa yang masuk hanya akan menyebabkan pertandingan 3 penjuru yang akan memihak pada BN.

Sekiranya PKR memberikan sokongan kepada Amanah bertanding di kerusi PAS pada PRU14 nanti, apakah akan terjadi juga pertandingan 3 penjuru di kawasan PKR kerana PAS terasa terbelot sekali lagi.

Sekiranya PKR tidak mahu memberikan sokongan kepada Amanah untuk bertanding di kawasan PAS untuk mengelakkan perang 3 penjuru di kawasan PKR,  apakah yang akan bakal terjadi kepada Pakatan Harapan?

Begitulah situasi yang sedang menjerut semua pihak ekoran lahirnya parti baru di kalangan pembangkang.

Tanpa PAS,  komposisi kaum yang mewakili Pakatan Harapan sangat tidak seimbang dan tidak mewakili komposisi rakyat Malaysia. Pengumuman  Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri jika Pakatan Harapan menang tidak cukup untuk mengaburi masalah ini.

Seperti kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang jatuh, pelantikan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar tidak dapat menutup penguasaan DAP di Kabinet negeri Perak, walaupun ramai yang tidak mahu mengakuinya.

Dalam politik, ada masanya kita perlu menggoncangkan kapal (rock the boat) untuk membetulkan langkah yang silap. Meneruskan dengan langkah yang silap hanya akan membawa ke situasi yang lebih mudarat.

Jika takut “rock the boat”, maka sedialah terima akibat daripada meneruskan perjuangan dengan kaki tersilap seperti terlahirnya angin ABD (Asalkan Bukan DAP) secara senyap yang melawan arus angin ABU (Asalkan Bukan Umno) dan ABP (Asalkan Bukan PAS).  Akhirnya, semua rugi. – 5 Oktober, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments