Opinion

Kesihatan

Ketika sihat, kita mudah untuk membuat pelan. Isnin selepas kerja boleh berjoging. Selasa pula ajak sahabat baik untuk makan malam dan seterusnya.

Tapi dalam keadaan tidak sihat, cubalah seseorang membuat pelan. Setiap hari tiba-tiba menjadi tidak menentu. Tidak menentu kerana tidak pasti sama ada hari itu kita akan dikurniakan kesihatan untuk melakukan apa yang dihajati atau tidak.

Kalau tidak cukup duit, kita akan ikhtiarkan. Cuma kalau tidak cukup sihat, kita cuma boleh berharap ubat yang kita telan hari ini dapat menyembuhkan kita.

Tiba-tiba dalam jiwa kita, timbul niat untuk bersenam peluh setiap hari. Timbul kesedaran dalam diri kita keperluan untuk makan secara sihat, seimbang dan sederhana. Sakit menyebabkan kita memahami harta manusia paling berharga bukanlah duit, tapi tubuh yang sihat.

Namun ketika sakit, apa yang paling kita harapkan ialah Tuhan masih sayang kepada kita dan sanggup memberikan masa kepada kita untuk menukar kehidupan kita.

Cuma masalahnya, kebanyakan kita, setiap kali kita sembuh semula, kita terus ketepikan niat bersenam dan makan secara sihat, seimbang dan sederhana.

Kita kembali ke “petak 1” dan terlupa setiap hari berlalu yang berlalu bermaksud ketibaan hari kita ditimbus tanah semakin hampir.

Bagaimana pula dengan negara yang sakit? Negara sakit kerana sikap pemimpinnya. Sikap pemimpinnya pula ditentukan rakyatnya.

Hari ini negara kita sedang sakit. Duit RM di paras RM4.30. Pendapatan negara terjejas kerana harga minyak dan komoditi lain menyusut.

Malaysia, jika ditinjau pandangan pemimpin negara lain, ialah negara paling bertuah di dunia. Apa saja biji yang jatuh ke tanah boleh tumbuh menjadi pokok.

Bukan itu saja, di dalam tanah Malaysia terdapat pelbagai galian yang diperlukan pasaran dunia – daripada minyak hinggalah ke bauksit. Di atas tanah pula, Malaysia dikurniakan hutan khatulistiwa yang penuh dengan pelbagai hasil. Sekelilingnya, Malaysia diberikan laut yang penuh dengan ikan dan juga petroleum.

Yang paling hebat ialah semua kurniaan ini dilindungi daripada malapetaka bumi yang dahsyat seperti gempa bumi, cyclone, hurricane, 4 musim dan kemarau menggila.

Oleh itu, siapa yang tidak cemburu dengan apa yang ada di Malaysia? Malaysia ini boleh dikatakan satu kurniaan lengkap seperti seorang manusia dikurniakan tubuh badan sempurna.

Seperti tubuh badan sempurna, Malaysia hanya memerlukan seorang pengurus yang baik bagi mengembangkan potensi setiap bahagian tubuh agar ia kekal sihat dan berfungsi.

Malangnya, Malaysia tetap jatuh sakit kerana para pemimpin terpilih tidak pandai mengurus khazanah yang ada. Bayangkan dalam bumi yang sebegitu bertuah, rakyat terpaksa menjadi penyelamat negara melalui GST.

Sepertimana apabila kita sakit, kita mudah menyalahkan cuaca, makanan dan sebagainya. Jarang kita melihat diri sendiri sebagai punca lemahnya tubuh badan kita.

Hari ini, rakyat dilihat agak bersatu menyalahkan para pemimpin yang ada atas masalah kesihatan yang dialami Malaysia.

Masalahnya, siapa yang pilih pemimpin yang ada ini kalau bukan kita?

Oh kamu pengundi pembangkang ya? Siapa yang pilih para pembangkang yang suka bergaduh kalau bukan kamu?

Itulah punca sakitnya Malaysia. – 25 Januari, 2016.  

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments