Opinion

Khalid senasib Najib, tiada pengganti sesuai

Pagi semalam, Facebook Tan Sri Khalid Ibrahim memuatkan gambar perjumpaan santai di antara beliau, presiden dan setiausaha agong PAS.

Perlu ke perjumpaan sedemikian dimaklumkan kepada umum oleh pasukan Khalid tatkala teori konspirasi mengenai nasib Khalid sebagai menteri besar Selangor masih hangat diperkatakan?

Tindakan yang disangkakan membantu Khalid sebenarnya mendedahkan kedudukan Khalid sudah di tahap kritikal.

Jika PAS dianggap sebagai sahabat yang boleh menyelamatkan Khalid, pendedahan gambar tersebut oleh pasukan Khalid boleh dikira sebagai sabotaj kepada persahabatan tersebut.

Tindakan pasukan Khalid tersebut langsung tidak membantunya malah berpotensi untuk mempercepatkan kejatuhannya.

Namun, Khalid mempunyai nasib yang sama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Rata-rata mengetahui, Najib tidak mempunyai pengaruh yang kuat di dalam Umno. Segala perintahnya berani dipertikai oleh ahli dan pemimpin Umno sendiri.

Perkasa dan Isma juga semakin hari dilihat tidak menghormati Najib. Apabila mood dan angin mereka kurang baik, Najib juga dibakarnya.

Meskipun begitu, pekerjaan Najib sebagai perdana menteri masih terjamin. Persepsi buruk pada isterinya juga tidak mampu menggugat kedudukan itu.

Semua ini kerana di dalam Umno, tiada pengganti Najib yang sesuai. Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat terlalu ke kanan. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meskipun popular, tapi kenyataannya mendedahkan bakat beliau bukan seorang perdana menteri.

Datuk Seri Hishamumddin Hussein yang mencipta nama dalam pengurusan krisis MH370 pula tidak berapa popular di Umno berbanding Datuk Seri Shafie Apdal dan Zahid.

Pendeknya, Najib selamat kerana tiada pengganti, seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berbalik ke Selangor, suara-suara mendesak Khalid digantikan semakin besar, tetapi tiada suara yang padu kepada siapa yang patut menggantikan Khalid, yang turut diterima istana.

Azmin Ali dibelenggu masalah perseptif negatif, ramai yang kedengaran namanya sebagai pengganti Khalid menjadi terus tidak berminat dengan pelan tersebut. Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula menghadapi masalah melanggar tradisi sebagai menteri besar wanita yang pertama.

Ada juga yang bimbang siapa menteri besar yang sebenar sekiranya beliau menjadi menteri besar.

Oleh kerana tiada pengganti yang boleh diterima semua, maka kedudukan Khalid masih selamat asalkan beliau tidak meletakkan jawatan.

Jika Pakatan Rakyat berani membuat undi tidak percaya di DUN Selangor untuk memaksa Khalid berundur, sudah pasti DUN Selangor akan dibubarkan dan kemungkinan besar Selangor akan hilang daripada tangan Pakatan Rakyat.

Dalam politik Malaysia, siapa sahaja boleh terus menjadi pemimpin, meskipun terbukti dia bermasalah asalkan tiada siapa yang sesuai untuk menggantikan dia.

Itu nasib baik yang sedang dialami Khalid dan juga Najib. Yang berbeza, Najib dilihat kurang kepimpinan, manakala Khalid pula dilihat terlalu keras dengan cara pengurusannya.

Namun nasib baik Najib mungkin lebih berpanjangan berbanding Khalid, jika kedua-dua bertegas tidak setuju cara pentadbiran mereka ada masalah. – 14 Julai, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments