Opinion

Khianat pemimpin PAS?

Wahai ahli-ahli PAS,

Percayakah kamu kalau ada yang menyampaikan khabar Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat akan mengkhianati PAS dan melakukan perkara yang merugikan PAS?

Bagaimana pula kalau khabar sama disampaikan mengenai Tuan Guru Haron Din? Apakah kamu akan percaya beliau juga akan melakukan perkara-perkara yang merugikan PAS?

Apa pula reaksi kamu jika ada yang membisik khabar Tuan Guru Presiden Abdul Hadi Awang sudah mengkhianati PAS dan sengaja melakukan sesuatu yang merugikan parti? Apakah kamu akan melayan bisikan tersebut atau terus menolaknya kerana yakin pada peribadi presiden?

Bagaimana pula kalau tuduhan itu terkena pada Mohamad Sabu, timbalan PAS, yang sudah beberapa kali ditahan di bawah ISA dan bermalam di lokap kerana perjuangannya di dalam PAS? Apakah kamu akan percaya?

Jika orang menuduh perkara yang sama pada Salahuddin Ayub, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Husam Musa dan juga Mahfuz Omar, apakah reaksi spontan kamu? Apakah kamu percaya mereka akan mengkhianati parti dan melakukan perkara merugikan parti setelah mereka berlawan dengan Umno dan BN sebegitu lama?

Begitu juga jika tuduhan ini terkena pada Suhaizan Kaiat, Siti Zailah dan Ustaz Ahmad Yaakob dan lain-lain pemimpin tertinggi parti, apakah kamu akan percaya mereka yang bersama PAS selama ini berpotensi mengkhianati dan sengaja mensabotaj parti?

Semua pemimpin tertinggi parti ini sayang pada PAS sebagaimana kamu semua. Mereka meletakkan parti dahulu sebelum diri mereka. Pengorbanan mereka bukan sehari dua, tetapi bertahun-tahun beristiqamah dengan PAS, ketika susah mahupun senang.

Mereka mungkin berbeza pendapat atas sesetengah perkara dan pendekatan politik, tetapi percaya dan yakinlah mereka sama sekali tidak akan mengkhianati parti dan melakukan sesuatu yang merugikan parti.

Jangan terlalu awal menilai untung-rugi satu-satu tindakan mahupun pendapat mereka. Ada sesetengah perkara mengambil bertahun masa lamanya untuk dibuktikan betul. Yang kamu nampak seperti rugi hari ini mungkin menjadi untung besar pada hari besok.

Mereka ini pejuang – bermula daripada anak kapal sehingga kini menjadi nakhoda-nakhoda kapal. Di antara mereka, ada yang menjadi ketua nakhoda melebihi satu dekad. Oleh itu, jangan sesekali bersangka buruk pada mereka.

Apabila kamu bersangka buruk pada mereka, musuh mudah mengambil peluang memasukkan racun yang memecahkan jamaah. Jika seorang terkena racun, rakan usrah pun akan teracun, lambat-laun pemikiran beracun ini merebak menjadi besar sehinggakan rakan seperjuangan sendiri juga disangsi.

Dalam jamaah, kamu kena belajar untuk setuju untuk tidak setuju. Kamu kena terima ada perbezaan pendapat. Kamu kena terima ada benda yang tidak boleh diberitahu. Kamu kena terima kadang-kala keputusan kamu ditolak. Tapi jangan sesekali kerana tidak bersetuju maka terus bersangka buruk dan meletakkan label pada seseorang dan menuduh mereka mengkhianati parti.

Ingatlah kamu bahawa mereka juga adalah manusia biasa yang tidak lari daripada kesilapan membuat perhitungan. Yang penting, mereka tahu memperbetulkan diri dan terus istiqamah bersama perjuangan ini.

Minggu ini minggu muktamar. Ambillah peluang ini untuk memulihkan semula keyakinan dan kepercayaan kamu pada kepimpinan PAS.

Semoga selepas muktamar ini, kamu dapat kembali bersama bergerak seiring selangkah, dalam ribut mahupun panas, menuju dan mencapai cita-cita yang sama bersama kepimpinan parti yang dipilih.

Selamat bermuktamar. Teruskan istiqamah dan thiqah kamu kepada kepimpinan parti. – 15 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments