Opinion

Lebih elok bantah pembangunan berlebihan daripada lebuh raya

Semua fokus kini terletak kepada persoalan sama ada Lebuhraya Kidex wajar diteruskan atau tidak. Semua terlupa persoalan yang lebih utama ialah apa yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kesesakan di Lembah Klang menjelang 5, 10 atau 15 tahun akan datang dengan pertambahan kenderaan dan populasi yang tidak terkawal.

Tiada masalah bagi mereka ingin membantah Kidex, atas alasan tidak berbaloi, untuk tujuan politik, tidak membantu mengurangkan trafik atau sebagainya.

Namun, bagi mereka yang membantah Kidex atas alasan lebuh raya yang baharu ini kurang efektif untuk mengurangkan trafik, mereka perlulah juga menentang projek-projek lain yang menambahkan kesesakan jalan raya di Petaling Jaya dan Puchong.

Antaranya ialah pembinaan pangsapuri pencakar langit dan pusat beli-belah baharu. Bayangkan berapa banyak jumlah tambahan bilangan kereta di atas jalan raya di kawasan pesat seperti Petaling Jaya dan Puchong, bagi setiap bangunan pangsapuri baharu yang boleh memuatkan 100 keluarga dibina? Bayangan yang sama juga boleh dibuat untuk pusat beli-belah baharu.

Apa yang berlaku di sepanjang Lebuhraya LDP dan MRR2 adalah bukti terbaik lebuh raya bukan faktor penyumbang terbesar untuk kesesakan jalan raya. Penyumbang tersebar kesesakan jalan raya di LDP dan MRR2 ialah pembangunan pesat di sekitar lebuh raya tersebut.

Oleh itu, bagi golongan yang ‘ikhlas’ membantah Kidex atas alasan trafik, mereka harus juga menuntut pihak hartanah untuk mengemukakan laporan impak terhadap kesesakan jalan raya bagi setiap projek pembangunan yang bakal berjalan di sekitar Petaling Jaya dan Puchong selepas ini.

Sebagai contoh, untuk projek di sekitar Petaling Jaya, syarikat hartanah perlu menunjukkan projek tersebut tidak memudaratkan keadaan trafik di jalan-jalan utama sekitarnya seperti Lebuhraya Persekutuan, Sprint, NKVE dan LDP. Katakanlah peratusan mudarat yang boleh diterima ialah 5-10% untuk 10 tahun akan datang, golongan ini wajib bangkit menentang kelulusan yang diberikan kepada syarikat hartanah yang gagal memenuhi syarat berkenaan.

Hanya dengan ini, barulah golongan yang membantah Kidex atas alasan kurang efektif untuk mengelakkan kesesakan tidak dilihat semacam hipokrit.

Masalah Kidex

Tamadun manusia membuktikan pembinaan jalan akan menggalakkan pembangunan di sekitar jalan tersebut sehinggalah jalan itu menjadi sesak.

Untuk mengurangkan kesesakan di zaman ini, banyak negara mengambil pendekatan memperbaiki kemudahan pengangkutan awam seperti bas dan teksi, dan menggunakan teknologi moden seperti pembinaan MRT dan LRT.

Namun apa yang cuba dilakukan oleh Kidex ialah terbalik. Mereka cuba membina jalan yang baru merentasi kawasan yang sudah pesat membangun untuk mengurangkan kesesakan. Kerana itu, Lebuhraya Kidex hilang nilai tambahnya berbanding lebuh raya lain kerana ia tidak akan menggalakkan  pembangunan yang baharu.

Yang Kidex bawa hanyalah jaminan trafik dapat dikurangkan 20-30% di kawasan tertentu, dan 5% secara puratanya. Bahkan, jaminan itu turut diragui kini.

Mereka yang memiliki rumah di kawasan tanah yang diperlukan Kidex pula bangkit menentang pembinaan lebuh raya ini kerana tiada pembeli yang sanggup membeli rumah mereka pada harga  sepatutnya kerana kewujudan projek Kidex.

Mereka juga bimbang tidak dapat pampasan sewajarnya yang membolehkan mereka memiliki rumah dengan kualiti sama, dan harga berbaloi tatkala ini di sekitar Petaling Jaya atau Puchong. Umum mengetahui, harga rumah di dua kawasan ini sudah mencapai tahap yang gila-gila.

Itulah masalah yang dihadapi Kidex selain berdepan masalah keuntungan politik antara komponen parti Pakatan Rakyat dan antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

Perlukah Kidex?

Dengan pertambahan populasi dan jumlah kereta yang dijangka naik sekitar 19% menjelang 2020, penulis berasa rakyat di sekitar Petaling Jaya dan Puchong akan lebih lega jika ada lebih banyak lebuh raya alternatif yang boleh digunakan pada masa itu berbanding dengan apa yang ada sekarang.

Situasinya akan menjadi sama seperti Lebuhraya NPE, Kesas dan Guthrie yang satu ketikanya ditembak kerana mahal, tetapi pada hari ini, ramai yang menggunakannya sekarang lega kerana adanya lebuh raya tersebut sebagai alternatif untuk mencuba nasib bagi mengelakkan kesesakan di Lebuhraya Persekutuan, MRR2 dan NKVE.

Cadangan

Bagaimanapun, penulis lebih suka jika duit yang dikhaskan untuk membina Kidex itu digunakan untuk menghapuskan tol di LDP, Lebuhraya Persekutuan dan Kesas.

Penulis yakin 152% cara ini dapat mengurangkan kesesakan di lebuh raya tersebut secara puratanya melebihi 5% dengan serta merta tanpa perlu menunggu 5 tahun.

Bodohlah kalau rakyat hendak beri duit mereka digunakan bagi membina lebuh raya yang akhirnya akan menghisap duit poket mereka tanpa belas kasihan untuk berdekad lamanya.

Namun, sebelum kebodohan itu boleh diatasi, rakyat perlu lebih bijak memilih pemimpin. Sehingga itu tercapai, harapan untuk tol dihapuskan hanya sekadar angan-angan penulis di artikel ini. – 16 Jun, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments