Umum mengetahui lawan Umno ialah PAS di majoriti kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Semenanjung.
Jika Umno kalah, biasanya yang menang ialah PAS. Kalau PAS kalah pula, yang menang pula ialah Umno.
Sekarang, ada 2 telahan masa depan yang amat berbeza dikemukakan 2 tokoh veteran politik negara yang bertembung dekad lamanya.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad – 2 April:
“Sesungguhnya rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi kepada Datuk Seri Najib Razak. Apabila Umno kalah, orang Melayu akan kutuk kepimpinan yang menjadikan parti keramat ini begitu lemah sehingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri. Sekali Umno kalah, ia tidak akan dapat dipulihkan semula.”
Bagi Dr Mahathir, Najib menjadi isu terbesar BN. Jika Najib terus menjadi PM, BN mungkin akan tumbang pada PRU14. Antara isu yang tidak disenangi Dr Mahathir ialah kebisuan Najib, 1MDB, GST dan BR1M.
Bagi Dr Mahathir, Najib menjadi isu yang lebih besar berbanding isu lain, termasuklah perbalahan di antara Pakatan Rakyat (PR) kerana isu hudud. Jika keadaan ini berterusan, Umno-BN akan tewas. MCA dan MIC tewas semuanya di PRU13. Oleh itu, yang Dr Mahathir maksudkan ialah Umno, parti yang bakal tewas sehingga menyebabkan BN pun tertewas di PRU14.
Kalau Umno tewas, siapa pula yang akan menang melawan Umno, kalau bukan PAS?
Penasihat DAP Lim Kit Siang – 31 Mac:
“PAS kemungkinan akan hilang hampir semua kerusi Parlimen dan DUN di luar negeri utama akibat daripada pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah 2015 dan Rang Undang-Undang Persendirian dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang mengenai pelaksanaan hudud.”
Berlainan dengan Dr Mahathir, Kit Siang pula meramalkan isu hudud akan menyebabkan PAS tewas semua di PRU14. Kit Siang seolah-olah meramalkan isu hudud ini menjadi ibu segala isu sehingga boleh menentukan keputusan PRU14 berbanding isu 1MDB, GST dan penyalahgunaan kuasa dan wang rakyat oleh Umno-BN.
Alasan Kit Siang ialah PAS kehilangan 30% sokongan bukan Islam. Maksud tersiratnya, kumpulan orang bukan Islam ini akan mengundi Umno tapi tidak PAS hanya semata-mata isu hudud. Isu 1MDB, GST, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa dan wang rakyat ini tidak sepenting berbanding isu hudud.
Kalau PAS tewas, siapa pula yang akan menang melawan PAS, kalau bukan Umno?
Telahan siapa lebih tepat?
“Saya pun confuse apa yang Kit Siang nak kata sebenarnya. Adakah dia bermaksud lebih elok sokong mereka yang terkenal dengan salah guna wang rakyat daripada mereka yang nak potong tangan pencuri? Apakah dia suruh kita sokong Umno kerana PAS nak hudud?” kata seorang pakcik Cina yang tekun mengikuti politik kepada penulis ketika bertanyakan apakah pandangannya tentang prediksi Kit Siang.
Penulis menjawab dia sendiri tidak pasti.
Ketika pakcik itu bertanya ramalan mana yang lebih dipercayai – penulis memberitahu pakcik itu, Kit Siang dan DAP tidak pernah menewaskan BN-Umno dan Dr Mahathir di mana-mana negeri ketika bekas perdana menteri itu berkuasa.
Yang berjaya menewaskan Dr Mahathir tiga PRU berturut-turut hanyalah allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dan ketika penggal pertama pemerintahan, Nik Aziz sudah pun berpacak dengan slogan ‘Membangun Bersama Islam’ dan memperkenalkan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan, dan sejak itu, Umno tidak pernah berjaya menguasai Kelantan.
Berdasarkan itu, terpulanglah kepada pakcik untuk menilai telahan Dr Mahathir dan Kit Siang, kata penulis.
Cuma penulis bertanya balik pada pakcik itu: “Jahat sangat ke mereka yang sekadar hendak menghukum penjenayah dengan kaedah yang dituntut Islam berbanding dengan mereka yang pakcik tidak percayai untuk duit cukai yang dibayar pakcik?”
Pakcik itu sekadar menjawab dengan senyuman:“Tak.” – 6 April, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments