Opinion

Mana hilangnya Najib di 2 PRK?

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dilaporkan “hilang” dari Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin dan juga Permatang Pauh.

Bukan sahaja dari segi fizikalnya hilang, poster Najib pun tiada. Selepas matinya jenama “1Malaysia”, nampaknya jenama ‘Najib’ juga mengalami masalah yang sama.

Di Pilhan Raya Umum ke-13, gambar Najib jauh melebihi gambar calon di mana-mana pilihanraya. Jenama Najib dijual sebagai faktor kemenangan kepada Barisan Nasional.

Akan tetapi, ini amat berbeza kali ini. Sekeping gambar Najib pun susah kelihatan di kedua-dua PRK.

Apakah Umno sedang menghantar mesej bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah betul apabila berkata Najib sudah hilang populariti dan juga sokongan rakyat?

Jika tidak, mengapa gambar Najib sudah kelihatan? Jika Umno percaya Najib masih popular dan diterima rakyat sebagaimana yang diwar-warkan media Umno, mengapa gambar Najib tidak digunakan untuk menarik undi? Logiknya boleh difikir sendiri.

Dr Mahathir mendakwa Najib akan membawa Umno tewas di PRU14.

Belum lagi PRU14, tindakan susulan yang diambil Umno sudah pun mengesahkan dakwaan Dr Mahathir imej Najib sekarang sekadar menghalau undi daripada Umno-BN.

Pukulan Dr Mahathir kepada cukai barang dan perkhidmatan (GST) ibarat gempa bumi kepada Umno kerana ia senada dengan rakyat. Bila sebut GST, rakyat terus teringat Najib. Kalau Tunku Abdul Rahman Putera al-Haj ialah Bapa Kemerdekaan, rasanya hati mereka sudah tahu apa gelaran yang sesuai untuk Najib yang memperkenalkan GST.

PRK Rompin dan Permatang Pauh menjadi isyarat yang sangat signifikan kepada nyawa politik Najib.

Kemenangan di Permatang Pauh akan memperkukuhkan kedudukannya. Kemenangan dengan majoriti yang lebih di Rompin bakal mendiamkan Dr Mahathir kerana Najib berjaya membuktikan rakyat tidak mengambil kisah 1MDB dan GST.

Jika Umno mengalami prestasi merosot yang teruk di kedua-dua PRK ini, maka politik Najib akan menjadi nyawa-nyawa ikan dan Dr Mahathir akan menjadi jerung yang menamatkannya.

Pengundi Permatang Pauh dan Rompin kini akan menentukan nasib politik negara. Diharap mereka dapat menghantar isyarat yang betul kepada Umno-BN, terutamanya Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

“Kadar GST dinaikkan lagi… ia baik untuk rakyat, kenaikan ini adalah untuk menurunkan lagi harga barangan” – takut-takut inilah yang rakyat akan dengar daripada para mulut menteri BN yang menjaga GST pada tahun-tahun seterusnya sekiranya para pengundi di Rompin dan Permatang Pauh memilih untuk lebih menyebelahi Umno-BN.

Maka ketika itu, bolehlah sama-sama kita mengakui rakyat yang menggali lubang nasibnya sendiri dan bukannya Umno-BN. – 4 Mei, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments