Opinion

Oi BN! Jangan asyik terfikir rakyat

Tujuan kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan rasionalisasi subsidi ialah untuk menambahkan perbelanjaan negara dengan mengurangkan pemberian subsidi seperti menaikkan harga minyak.

Duit kerajaan bertambah, tapi bukan kerana ada sumber pendapatan yang baru. Ia sekadar berhenti memberi apa yang diberi selama ini.

Pada masa yang sama, kerajaan BN juga melaksanakan GST di mana ia menjana pendapatan daripada duit rakyat yang dikenakan cukai semasa membuat pembelian samada dalam bentuk barangan ataupun servis.

Duit kerajaan bertambah, tapi bukan kerana pandai mengambil untung daripada negara lain atau sumber lain. Ia sekadar mengambil daripada rakyat yang tidak rela.

Dahlah ambil balik apa yang diberi selama ini, tambah pula satu cara untuk mengambil lebih daripada rakyat – sudah tentu kerajaan BN dapat mengesan yang rakyat marhaen tidak akan gembira.

Oleh kerana itu, adanya BR1M. Kerajaan BN menjelaskan walaupun mereka ‘mengambil’ daripada rakyat, tapi mereka memberikannya kembali dalam bentuk BR1M kepada mereka yang layak mendapatnya.

Daripada membayar duit kepada rakyat setiap kali mengisi minyak mahupun membeli gula, kerajaan BN merasakan lebih baik rakyat menerima bantuan wang tunai sekali setahun dan pada masa yang sama terus membayar harga penuh untuk segala barangan.

Semua ini nampak ok jika Petronas terus dapat membayar kerajaan BN pada kadar yang sama.

Tapi, masalahnya keuntungan Petronas kini terjejas kerana harga minyak sedunia menjunam.

Apabila harga minyak menjunam, rakyat jelata mula bertanya mengapa mereka perlu mengisi minyak kereta pada kadar lebih mahal.

Mereka terus mendesak kerajaan BN untuk menurunkan harga minyak.

Akan tetapi, kerajaan BN tidak berani memberikan respons. Ini kerana mereka tersepit.

GST yang dicadang belum lagi terlaksana. BR1M dan bonus yang dijanji perlu dibayar. Pendapatan Petronas pula menurun. Mana nak cari duit?

Maka dengan itu, datangnya dua cadangan Ahmad Maslan:

Sama ada mengenakan cukai jualan 58 sen terhadap petrol yang dijual pada kadar RM1.72 sen atau tidak mengenakan cukai jualan, tapi pada masa yang sama pembangunan terjejas.

Lihat kedua-dua cadangan itu masih berfokus pada rakyat – sama ada nak ambil daripada rakyat atau tidak memberi apa yang diberi selama ini kepada rakyat.

Tapi wahai Ahmad Maslan dan kerajaan BN, apa kata cuba sekali mengambil daripada kerajaan BN misalnya cuba memotong perbelanjaan kementerian, operasi kerajaan dan juga berusaha mengurangkan ketirisan dan kebocoran-kebocoran yang dilaporkan di dalam Laporan Audit tahunan.

Apa kata mula dengan contoh tindakan ‘Susah bersama rakyat’ dengan mengumumkan barisan menteri Kabinet tidak akan mengambil bonus, tidak membuat tuntutan kos perjalanan, mengurangkan lawatan ke luar negara dan membatalkan segala jamuan ketika mesyuarat di semua kementerian?

Kalau langkah-langkah di atas tidak cukup faktor ‘wow’, bolehlah juga Ahmad Maslan berjanji untuk memansuhkan OSA untuk membolehkan kerajaan BN mengkaji dan merudingkan semula segala perjanjian berat sebelah yang tidak menguntungkan rakyat dan kerajaan BN.

Sebenarnya, banyak lagi yang kerajaan BN boleh buat. Jangan dok asyik terfikir apa yang lebih boleh diambil daripada rakyat dan tarik balik apa yang diberi selama ini kepada rakyat.

Itulah penyebab terbesar populariti Najib menjunam! Kalau tak sedar lagi, tak tahulah nak cakap apa. – 4 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments