Akhirnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kehilangan sokongan terpenting sebagai seorang ahli politik PKR yang dipilih menjawat jawatan Menteri Besar Selangor apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kepada media bahawa PKR bersetuju menukarkan Khalid dengan orang lain.
Jika PKR berkuasa penuh untuk menentukan siapa pengganti Khalid, sudah tentu perkara ini lebih mudah bagi mudah.
Tapi, menukar Khalid yang imejnya hanya sekadar dicalarkan tohmahan-tohmahan yang masih tidak dibuktikan bukan mudah.
Selepas PKR, Anwar memerlukan empat sokongan lagi yang selari iaitu, DAP, PAS, istana dan Khalid sendiri.
Rasanya, Anwar boleh menyelesaikan masalah yang pertama iaitu mendapat persetujuan kesemuanya bahawa Khalid perlu ditukar.
Yang rumitnya ialah soalan – apakah Khalid akan akur dan meletak jawatan dan Khalid perlu ditukar dengan siapa?
Dr Wan Azizah?
Melihat daripada pemilihan PKR sendiri di mana kerjasama Nurul Izzah Anwar-Rafizi Ramli-Saifuddin Nasution yang dilihat mendapat sokongan penuh Anwar gagal menguasai pemilihan daripada pasukan Mohamed Azmin Ali, Anwar sudah tentunya ingin isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden PKR menjadi Menteri Besar Selangor berbanding Azmin.
Risikonya ialah Dr Wan Azizah mungkin akan mengalami nasib seperti Shahidan Kassim dan Idris Jusoh, di mana majlis sumpah di istana dilengah-lengahkan kerana pihak istana tidak bersetuju untuk seorang wanita menjadi menteri besar.
Ketika itu, pertembungan dengan istana akan berlaku, dan Dr Wan Azizah adalah mangsanya. PKR sudah cukup dihujani masalah seperti Malaysia Airlines, perlukah mereka menambah masalah dengan penolakan terhadap presiden mereka untuk menjadi menteri besar?
Kesian Dr Wan Azizah yang terpaksa memikul satu demi satu amanah berat parti sejak penubuhan PKR. Mungkin beliau sendiri pun tidak rela, tapi apakah daya kerana suaminya turut ditimpa masalah demi masalah sejak 1998.
Azmin Ali?
Gerakan ‘Asal Bukan Khalid’ menguntungkan Azmin. Ada yang kini rela Azmin menjadi menteri besar Selangor meskipun satu dahulu kala dulu, merekalah penentang kuat perkara ini berlaku.
Ini bukan kerana Azmin berubah tapi kerana status Khalid menjunam teruk, bukan di kalangan rakyat, tapi di kalangan mereka yang terpaksa bekerja dengannya setiap hari.
Bagi Azmin, asalkan Khalid tidak menjadi menteri besar, ia sudah adalah satu kemenangan meskipun Dr Wan Azizah yang menjadi menteri besar.
Kemenangannya ke atas Khalid di pertembungan kerusi timbalan presiden PKR sudah cukup untuk beliau berpengaruh ke atas keputusan kerajaan negeri asalkan Khalid tidak lagi berada di situ.
Berbanding Dr Wan Azizah, peluang istana untuk menerima Azmin lebih tinggi meskipun beliau tidak dilantik sebagai exco selepas kemenangan di PRU13.
Calon pilihan Khalid?
Akan tetapi, Azmin belum tentu selamat sekiranya Khalid melancarkan serangan balas sebagai perang terakhirnya sebelum mengosongkan kerusi menteri besar.
Apakah Khalid akan mendedahkan salahlaku musuh-musuh politiknya sebelum tamatnya karier politik beliau?
Memandangkan PKR sendiri tidak mahu beliau terus menjadi menteri besar, apakah Khalid akan mencadangkan kepada istana penggantinya juga dari PKR? Susah dibayangkan.
Apakah syarat-syarat yang bakal Khalid kemukakan untuk perletakan jawatan beliau?
Apakah syarat-syarat yang melibatkan Azmin, yang selama ini ditentangnya habis-habisan? Apakah Anwar akan setuju?
Bayangkan juga jika Khalid memberitahu Anwar, “Saya tak akan letak jawatan. Kalau nak saya turun, buat ikut perlembagaan – undi tak percaya di DUN.”
Apakah Anwar akan mengambil risiko tersebut, yang besar kemungkinan berakhir dengan pembubaran DUN Selangor?
Penutup
Anwar sebenarnya tidak perlu berbincang dengan PAS dan DAP mengenai penukaran Khalid sehinggalah beliau sendiri dapat mencapai persetujuan dengan Khalid.
Susah juga nak jawab jika Khalid bertanya soalan ini kepada Anwar: “Apa kesalahan saya?”
Jika Anwar membalas dengan isu kitab Bible bahasa Melayu, Lebuh Raya Kidex, loji air Langat 2, masalah hutang dengan Bank Islam dan cubaan meluluskan projek yang melibatkan kepentingan Umno, Khalid bakal bertanya soalan yang lebih susah dijawab, “Kalau kamu jadi menteri sesar, kamu akan buat apa? Apa bukti kamu bahawa saya mengkhianati negeri dan Pakatan Rakyat?”
Khalid akan berani tanya soalan sebegini kerana beliau seorang yang melakukan setiap perkara dengan cermat dan berpandukan undang-undang.
Yang pasti, Khalid bukan Ahmad Said, yang ada rekod-rekod buruk untuk memaksa beliau berundur dan mendengar cakap.
Sebab itu, bukan mudah untuk menukar Khalid, meskipun Anwar pendesaknya.
Penghalang sebenar penukaran ini bukanlah PAS mahupun presiden PAS sebagaimana dakwaan pemimpin kanan PKR, tapi kesukaran PKR mendapat kerjasama Khalid untuk berundur secara terhormat.
Ini diburukkan cara melampau yang mereka gunakan untuk menyingkirkan Khalid sehingga hari ini, kesilapan bermain catur di Langkah Kajang dan strategi pemilihan parti yang gagal. -- 21 Julai, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments