Opinion

Penyelesaian krisis MB Selangor di tangan DAP

Sama ada krisis perlantikan benteri besar Selangor akan berpanjangan dan berakhir kini di tangan DAP.

Hari ini, kita difahamkan istana akan mengumumkan siapa menteri besar Selangor yang baharu, dan ura-ura calonnya ialah Mohamed Azmin Ali.

PKR, melalui setiausaha agongnya tetap berkeras yang disokong PKR untuk menjawat jawatan tersebut hanyalah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Sehingga kini, tidak pasti, apakah Azmin dan penyokongnya masih tergolong dalam kategori tersebut.

DAP pula akan mengadakan mesyuarat tergempar pagi ini.

Keputusan DAP menjadi sangat penting sekarang untuk menentukan sama ada kemelut menteri besar Selangor ini akan berpanjangan ataupun berakhir.

Jika DAP memilih untuk terus mengikut hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya isterinya dilantik menjadi menteri besar Selangor, maka krisis ini akan berpanjangan.

Ini kerana sesiapa yang dilantik oleh Sultan pada hari Selasa ini akan berdepan dengan situasi seperti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim – di mana undi tidak percaya bakal diadakan.

Kalau DAP memilih untuk akur dengan keputusan Sultan Selangor, maka krisis menteri besar Selangor ini akan selesai, kerana PKR tiada lagi sokongan untuk meneruskan kekerasannya untuk Dr Wan Azizah menjadi menteri besar Selangor.

Apa yang akan berlaku sekiranya Azmin dipilih?

Sehingga kini, Dr Wan Azizah dikatakan masih mempunyai 29 surat akuan bertulis yang menyokongnya (30 kalau termasuk beliau sendiri).

Sekiranya Azmin dipilih, maka ini bermakna Azmin akan membatalkan surat akuan beliau.

Jika Azmin seorang sahaja yang membatalkan surat akuan beliau, Dr Wan Azizah akan tinggal dengan majoriti 1 undi.

Tapi mustahil hanya Azmin seorang yang akan membatalkan surat akuan bertulis beliau. Sudah pasti Azmin mempunyai sekurang-kurangnya tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang akan melakukan perkara sama.

Jika situasi ini berlaku, ini bermakna Dr Wan Azizah hanya mempunyai 25 surat akuan bertulis menyokong beliau.

PAS dan Umno membuat keputusan mereka akan menjunjung keputusan Sultan.

PAS mempunyai 15 Adun (pada waktu ini, kita tolak dua – Shaari Sungip dan Hasnul) – maka PAS hanya tinggal 13 undi. Umno pula mempunyai 12 undi. Kedua-kedua mereka ada 25 undi.

PAS dan Umno tidak bekerjasama. Cuma dalam kes ini, mereka memilih keputusan yang sama untuk akur kepada Sultan Selangor.

Penulis menjangkakan Azmin mempunyai sekurang-kurangnya sokongan 4 Adun PKR (termasuk beliau sendiri), manakala Dr Wan Azizah hanya tinggal dengan sokongan 9 Adun PKR (termasuk beliau sendiri) dan 2 Adun PAS.

Di sinilah DAP yang mempunyai 15 Adun perlu membuat keputusan.

Jika mereka memilih terus mengikut agenda mahukan Dr Wan Azizah menjadi menteri besar Selangor, maka Azmin terpaksa menubuhkan kerajaan dengan sokongan PAS dan Umno, dan juga sokongan Adun Bebas iaitu Khalid (4 penyokong Azmin + 13 PAS +12 Umno + 1 Bebas = 30).

Maka kerajaan Pakatan Rakyat (PR) akan jatuh, dan undi tidak percaya mungkin tidak dapat dilakukan. DAP dan semua Adun bukan Islam pula menjadi pembangkang, satu situasi yang sangat tidak sihat pada Selangor dan juga negara Malaysia.

Atau DAP boleh memilih terus bersama Azmin dan PAS supaya kerajaan PR terus kekal dengan (4 penyokong Azmin + 15 DAP + 13 Pas + 1 Adun Bebas = 33) – satu majoriti yang agak mantap dan susah dikacau Umno.

Majoriti ini akan bertambah apabila penyokong Dr Wan Azizah turut memilih untuk bersama dalam kerajaan baharu ini selepas kemarahan mereka reda.

Apa yang akan berlaku sekiranya Adun PAS dipilih?

Kemungkinan Adun PAS dipilih adalah sangat tipis, namun begitu, mari kita lihat senario yang mungkin berlaku.

Di sini, DAP juga perlu berdepan dengan risiko pada pendirian yang bakal diambil oleh Shaari Sungip dan Hasnul.

Sekiranya Adun PAS yang dilantik itu adalah rakan kepada Shaari Sungip dan Hasnul, susah dibayangkan mereka akan tetap menyokong Dr Wan Azizah.

Jika DAP memilih untuk tidak menyokong, maka keadaan DUN Selangor akan menjadi (15 PAS + 12 Umno + 1 Adun Bebas = 28) manakala di seberang sana pula (13 PKR + 14/15 DAP = 27/28 bergantung kepada sama ada Speaker Hannah Yeoh boleh mengundi mahupun tidak).

Perlu diingat PAS dan Umno tetap tidak bekerjasama tapi kebetulan mengundi untuk akur kepada keputusan Sultan Selangor. Ketika ini, kerajaan PR akan jatuh, dan ada kemungkinan ini membawa kepada konflik berpanjangan krisis menteri besar Selangor termasuklah undi tidak percaya pada menteri besar yang baharu dan pembubaran DUN sekiranya Shaari dan Hasnul tetap memilih untuk tidak bersama PAS.

Atau DAP memilih untuk menyokong (dengan memastikan calon menteri besar Selangor itu adalah daripada kalangan yang mereka boleh bekerjasama), keadaan di DUN Selangor akan menjadi (15 DAP + 15 PAS + 1 Adun Bebas = 31) – di mana kerajaan PR dapat diselamatkan sambil menunggu PKR untuk bersama kerajaan yang baharu ini.

Kata akhir

Oleh itu, nyawa krisis menteri besar Selangor kini di tangan DAP.

Sekiranya DAP dapat membuat PKR akur untuk menerima Azmin sebagai menteri besar yang baharu, mohon rakyat memikir balik segala tohmahan yang dihadapkan ke PAS, terutamanya presiden PAS selama ini dalam krisis menteri besar Selangor.

Bukankah inilah jalan penyelesaian yang diberikan presiden PAS pada 17 September yang lalu tapi ditolak mentah-mentah oleh segelintir pemimpin PKR yang berkeras mahukan Dr Wan Azizah menjadi menteri besar?

Segala drama yang berlaku selepas itu tidak perlu berlaku sekiranya sejak awal DAP memainkan peranan sebagai pendamai dan bukan pendesak di dalam krisis MB Selangor ini. Dari awal, sebenarnya kunci menyelesai krisis ini adalah di tangan DAP dan bukannya PAS. Ia tetap sama sehingga hari ini, hanya DAP yang dapat menamatkan krisis ini dengan baik.

Apa-apapun, PKR perlu bersedia untuk menanggung akibatnya kerana menukar hasratnya daripada hanya ingin menukar Khalid kepada hanya inginkan Dr Wan Azizah menjadi menteri besar Selangor. – 22 September, 2014.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments