Opinion

Penyokong Charlie Hebdo juga sangat tak betul

Pembunuhan kejam terhadap Charlie Hebdo wajar dikutuk. Tiada siapa yang akan mempertikaikan perkara itu.

Akan tetapi, apakah Charlie Hebdo perlu disokong kerana pembunuhan itu?

Provokasi Charlie Hebdo sememangnya terlampau. Tindakan mereka boleh dikira sebagai ekstrem. Mereka seolah-olah mengundang, mencabar dan ingin melihat sejauh manakah musuh mereka boleh bersabar sebelum bertindak balas.

Menggunakan media untuk menyebarkan kebenaran ialah kerja yang patut.

Akan tetapi menggunakan media untuk menghina dan mempersendakan kepercayaan orang lain itu dikira terlampau. Lebih teruk lagi ia dibuat dalam bentuk lucu untuk diketawakan bagi menambah lagi kebencian pada mana-mana pihak tertentu.

Kegembiraan mereka datang daripada penderitaan dan penghinaan terhadap orang lain, apakah itu sifat kebebasan bersuara kita yang bergelar manusia?

Membunuh dengan mencabut nyawa dan tulisan yang tajam bersifat membunuh karakter seseorang sama bahayanya.

Apatah lagi kalau karakter itu ialah seorang yang diagung-agungkan oleh mana-mana satu agama.

Manusia dikurniakan mulut untuk bercakap dan tangan untuk menaip, menulis dan juga mencari makan.

Di dalam mana-mana agama, terdapat soal dosa-pahala yang berkait dengan cara manusia menggunakan mulut dan juga tangan.

Kalau mulut dibiarkan fitnah dan berbohong, berdosa.

Tangan yang fitnah, menyebarkan perkara palsu, mencuri dan mencabul kehormatan orang lain juga berdosa.

Agama mana yang membenarkan perkara mungkar tersebut?

Begitu juga dalam undang-undang manusia. Sebab itu, manusia memperkenalkan saman fitnah dan hukuman untuk jenayah mencuri dan mencabul kehormatan.

Ada negara seperti Malaysia yang mempunyai Akta Hasutan yang tidak disukai ramai.

Ini semua kerana kebebasan bersuara ada hadnya, meskipun dalam sistem demokrasi.

Hadnya mudah, bersuaralah – tapi jagalah sensitiviti dalam apa yang disuarakan. Boleh kritik, tapi jangan menghina dan fitnah.

Jika berlaku penghinaan dan fitnah, maka bersedialah tanggung akibatnya.

Akan tetapi, jangan harap akibat itu datang daripada reaksi orang yang rasional sahaja kerana fitnah dan penghinaan kamu juga mengguris kelompok yang tidak rasional, dan di kalangannya yang percaya senapang ialah jawapannya.

Apa pun, sebarang provokasi (dalam bentuk penghinaan atau fitnah) tidak sepatutnya dibalas dengan tindakan membunuh.

Namun begitu, jangan pula kita sokong tindakan mana pihak yang terkenal dengan sikap memprovokasi musuh mereka.

Tidak dinafikan, pembunuhan kepada Charlie Hebdo perlu dikutuk sekeras-kerasnya. Pada masa yang sama, provokasi Charlie Hebdo perlu bantah sehabis-habisnya.

Jangan kerana simpati dengan kematian, maka ada yang terus menyokong Charlie Hebdo atas kebebasan bersuara tanpa melihat kejahatannya. Itu juga ekstrem.

Kumpulan ekstremis yang saling memerlukan untuk wujud bersama. Tanpa satu, seorang lagi tidak akan wujud.

Kini wujud pula ekstremis pejuang kebebasan bersuara, yang ekstremis lawannya ialah mereka yang nak mengawal segala perbuatan manusia.

Sampai bilakah kita perlu terus hidup dalam keadaan sedemikian? – 13 Januari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments