Opinion

Semua kerana 1Malaysia tidak berjaya

Perhimpunan Agung Umno 2014 akhirnya berakhir. Kali ini, tiada lagi kedengaran istilah 1Malaysia.

Kesunyian tersebut menunjukkan konsep itu betul-betul mati.

Sejak menjawat jawatan perdana menteri, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak cuba menghidupkan konsep 1Malaysia untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno-Barisan Nasional (BN).

Apakah konsep 1Malaysia? Tiada siapa yang dapat menjelaskannya secara jelas termasuklah menteri Kabinet. Ia diingat kerana Najib bersungguh-sungguh menjualnya sejak menjadi PM.

Namun, konsep itu dipertikai meskipun Najib melakukan pelbagai perkara ekstrem. Ya, perkara ekstrem pada pandangan Umno seperti keberaniannya memansuhkan ISA dan Akta Hasutan.

Pembangkang mempertikaikan konsep 1Malaysia kerana Najib tidak melakukan apa-apa kepada golongan kanan seperti Perkasa.

Pada masa yang sama, pembangkang terus mempertikaikan sesetengah keputusan kerajaan pula dilihat tidak seiring dengan konsep 1Malaysia.

Bukan itu saja, pembangkang juga membina persepsi konsep 1Malaysia adalah propaganda untuk menipu rakyat Umno-BN berubah.

Ditambah pula tekanan dalaman dan komentar Tun Dr Mahathir Mohamad, konsep 1Malaysia yang dibawa Najib mula menghadapi masalah.

Jualannya kepada bukan Melayu tidak laris, kemunculannya pula menyinggung Umno dari dalam.

Namun begitu, Najib tidak berputus asa. Beliau bertegas memimpin dengan konsep 1Malaysia dan membawanya ke medan perang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Najib berharap pertaruhannya itu dapat membawa kembali undi bukan Melayu yang terhilang kerana pentadbiran Tun Abdullah Badawi. Jika BN menambah kerusi, maka senyaplah golongan kanan di dalam Umno.

Akan tetapi, Najib dikejutkan apabila BN hanya mampu mengekalkan 133 kerusi. Prestasinya lebih teruk daripada Pak Lah.

Ini membuktikan konsep 1Malaysia gagal. Undi bukan Melayu tetap tidak kembali. Umno-BN diselamatkan undi Melayu, Sabah dan Sarawak. Golongan kanan Umno terbukti benar.

Kini, majoriti di dalam Umno mahukan Akta Hasutan dikekalkan.

Najib tiada pilihan kali ini. Beliau tiada lagi dividen untuk berbeza dengan Umno. Kali ini, beliau tiada konsep baharu untuk dijual.

Sebagai salesman yang bijak, Najib kembali kepada asas permainan politik negara dan BN.

Jika hendak terus menjadi PM, beliau perlu kekal sebagai presiden Umno. Atas sebab itu, hati ahli Umno perlu dijaga terlebih dahulu.

Yang lain, beliau akan fikir kemudian. Ini semua hasil pengalaman yang ditimba melalui kegagalan 1Malaysia.

U-turn Akta Hasutan bukan salah Najib. Beliau hanyalah seorang yang terpaksa akur kepada undang-undang politik di Malaysia.

Apa yang terjadi pada Najib juga akan terjadi pada mana-mana ahli politik, termasuklah yang dipercayai bukan Melayu buat masa ini.

Rakyat perlu belajar untuk tidak lagi menaruh harapan pada ahli politik.

Jika ini dapat dipelajari, rakyat akan dapat menikmati berita yang keluar daripada perhimpunan agung atau mana-mana perhimpunan agung parti politik hanyalah sekadar drama TV yang berulang setiap tahun tanpa sebarang perasaan benci mahupun berharap.– 2 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments