Tahun ini ialah tahun ke-58 rakyat Malaysia bakal menyambut Hari Kemerdekaan, hari rakyat dibebaskan daripada penjajah dan berdikari dalam menentukan hala tuju negara sendiri.
Namun, tahun ini belum lagi kelihatan sesiapa yang menyebut mahupun terasa teruja dengan kedatangan 31 Ogos.
Apakah sesiapa yang kedengaran cadangan mahupun galakan daripada ahli politik kita untuk mengibarkan bendera Jalur Gemilang di kereta ataupun rumah? Tiada.
1Malaysia Development Berhad (1MDB), skandal RM2.6 bilion di dalam akaun perdana menteri, pertarungan di dalam Umno, pertelingkahan antara parti pembangkang dan Bersih memenjarakan negara termasuk media.
Apabila media berita, Facebook dan Twitter dibuka hari ini, seseorang akan dapat melihat paparan mengenai drama politik yang sedang berlangsung.
Sewaktu berehat makan, ada saja ahli rumah keluarga dan sahabat yang membangkitkan isu politik mengulang-ulang hujah yang dipromosikan ahli politik disukai.
Pendek kata, keadaan politik negara hari ini menjadi fokus utama di bibir.
Tidak dapat dinafikan lagi, kejatuhan nilai ringgit mendadak di tengah-tengah peningkatan rasa curiga rakyat terhadap kepimpinan negara menimbulkan suasana muram di kalangan rakyat.
Semua kini ternganga memikirkan apakah Malaysia akan berjaya keluar daripada kemelut ini dalam keadaan ahli politik negara terus berbalah menumbangkan sesama sendiri?
Sedihnya, pertarungan antara ahli politik akan berterusan kerana cubaan menukar atau menghalau harimau lama daripada sangkar nampaknya tidak akan berjaya.
Cuma terasa kesal dengan cara segelintir ahli politik yang tergesa-gesa ingin menukar harimau tanpa mempedulikan keadaan sangkar yang dihuni bersama dengan rakyat.
Mereka sepatutnya dapat menjangka harimau itu akan mempertahankan diri, dan ketika itu sangkar akan diremek dan menjadi mangsa.
Kini, sangkar sudah rosak. Harimau lama masih di dalam dan harimau baharu masih tidak kelihatan. Tiada penyelesaian yang dapat dibau lagi dan Malaysia, pada 58 tahun hari jadinya, dibawa ke suatu persimpangan.
Di utara, nilai ringgit dan Bursa Malaysia terkena cirit-birit. Di sebelah kanan, kelihatan pula rompakan terhadap kebebasan institusi berkuasa untuk melakukan tugas.
Di sebelah kiri, timbul pergelutan menentukan jangka hayat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden Umno ekoran terdedahnya kemasukan derma RM2.6 bilion ke dalam akaun beliau.
Di sebelah selatan, pihak pembangkang yang berselerak dan menembak sesama sendiri.
Tiada sesiapa memberikan perhatian kepada rakyat di tengah-tengah yang sedang ditelan kenaikan kos sara hidup yang semakin menghimpit.
Malah di tengah-tengah inilah, rakyat bakal menyambut Hari Kemerdekaan ke-58. Merdekakah rakyat? Ada pepatah Inggeris berkata: “The people get the government they deserve.”
Saya amat bersetuju. Oleh itu, saya lebih berminat menyedarkan rakyat yang rakyat bukan catur, tapi pengadil catur.
Dan apabila rakyat bertambah bijak, satu kerajaan yang lebih baik akan muncul kerana: “The people get the government they deserve”.
Jangan bazirkan masa mengajar ahli politik kerana mereka tidak akan berubah selagi rakyat tidak berubah. – 17 Ogos, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments