Opinion

Teknik mana akan menang?

Dahulu kalanya, televisyen dan surat khabar menjadi medium rujukan rakyat yang utama. Apa yang dicanangkan di TV dan surat khabar menjadi sumber kebenaran.

Kemudian, televisyen digelar TV-tiga suku. Surat khabar mendapat nama lidah kerajaan selepas kemunculan Internet. Surat khabar pembangkang menjadi laris sebagai lidah alternatif. Laman web seperti MahaFiraun menjadi rujukan sensasi.

Kemunculan media sosial hari ini mengubah segalanya. Media online pula menjadi sumber utama. Surat khabar tidak lagi laris. Maklumat bergerak dengan terlalu pantas hari ini. Sebar dulu, semak kemudian – itulah kaedah penyebaran maklumat hari ini.

Bagi ahli politik yang tersilap taip atau cakap, itulah maklumat yang akan disebarkan di seluruh pelosok negara. Ia lebih rancak jika kesilapan itu disensasikan. Cuma yang malangnya, penafian yang dibuat selepas itu tidak akan disensasikan dan disebarkan pada skala yang sama. Malah, penyebaran maklumat yang silap akan menjadi lebih mudarat jika penafian lambat dibuat.

Kesannya, lebih ramai yang mendapat maklumat tidak betul berbanding maklumat yang betul.

Walaupun media online menjadi sumber, namun kepercayaan kepada satu-satu berita amat bergantung kepada peranan media sosial. Satu-satu tulisan akan mendapat perhatian khusus apabila dikongsi oleh rakan sosial media. Komen yang ditulis rakan sosial media terhadap satu-satu tulisan pula membentuk persepsi rakan pembaca di sosial media. Begitulah seterusnya.

Oleh itu, tidak salah jika dikatakan sahabat di sosial media menjadi pemandu kepada tulisan yang dibaca dan pemangkin kepada persepsi yang bakal dibentuk.

Dalam erti kata lain, sahabat pembaca ialah media yang paling efektif hari ini. Kita lebih mempercayai apa yang diperkatakan sahabat kita daripada maklumat yang lain.

Mengambil isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan duit yang didakwa masuk ke akaun peribadi perdana menteri, pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) dan juga para pembantu perdana menteri dilihat gagal memahami konsep media efektif yang sedang menguasai dunia hari ini.

Antara sebab 1MDB dan perdana menteri  kini mengalami defisit kepercayaan rakyat ialah kelambatan membuat penafian kepada maklumat-maklumat yang disebarkan mengenai 1MDB.

Kekeliruan yang ditimbulkan 1MDB seperti dalam pengisytiharan pelaburan di Kepulauan Cayman sama ada dalam bentuk tunai yang disimpan di sebuah bank di Singapura memudaratkan lagi persepsi yang terbentuk terhadap 1MDB. Berita itu tersebar ke merata dunia sebelum pembetulan dikeluarkan.

Kelambatan perdana menteri menyaman The Wall Street Journal (WSJ) pula menimbulkan fenomena di mana rakyat mengambil inisiatif menjadi hakim di sosial media yang bertindak menghukum beliau. Kenyataan berbeza daripada para pemimpin kabinet juga tidak membantu malah menimbulkan lebih kecurigaan terhadap 1MDB dan juga perdana menteri.

Namun, kehebatan teknik BN dalam mengalihkan pandangan rakyat tidak boleh dipandang ringan. Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemberhentian Tan Sri Abdul Gani Patail mengubah fokus rakyat daripada isu 1MDB kepada kemelut di dalam Umno.

Penahanan beberapa pegawai Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tuduhan membocorkan maklumat mengubah rakyat daripada isu 1MDB kepada apa tindakan seterusnya yang bakal dilakukan oleh pihak berkuasa.

Kenyataan timbalan perdana menteri yang mencadangkan agar sekolah vernakular dimansuhkan demi perpaduan kaum pula memaksa pembangkang bukan Melayu mengubah gelanggang sementara waktu untuk mempertahankan sistem sekolah vernakular.

Cabaran perdana menteri kepada pembangkang dalam isu mendedahkan derma politik berserta beberapa orang menteri yang mencanangkan tiada kesalahan untuk menerima derma politik pula menimbulkan keraguan terhadap tuduhan duit 1MDB masuk ke akaun perdana menteri yang sudah tersemat di dalam hati rakyat.

Teknik ini jika terus diulang dijangka akan berkesan seperti penafian “saiz perut” yang pernah dilakukan oleh seorang pemimpin pembangkang.

Apakah teknik mengalihkan pandangan rakyat ini boleh mengatasi fenomena sahabat pembaca sebagai media paling efektif hari ini?

Kekesalan terbesar di dalam perlumbaan ini ialah “kebenaran” akan menjadi mangsa. Kebenaran bukan lagi kebenaran, ia sekadar kepercayaan pada satu-satu maklumat semata-mata tanpa mempedulikan kewujudan bukti.

Dan inilah yang paling disukai mereka yang bergelar ahli politik. Namun, ia sangat dibimbangi mereka yang digelar agamawan kerana ketakutan mereka tersilap menghukum mereka yang tidak berdosa lebih besar daripada nafsu mereka mengecapi kemenangan sementara di dunia.

Siapa yang akan menang pada akhirnya? Bergantung kepada kepercayaan seseorang dalam menilai kemenangan – apakah ukuran itu di dunia ataupun di luar dunia? – 3 Ogos, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments