Ketika Presiden Obama melawat Malaysia kali ke-2 pada bulan November lalu, beliau mengakui harga ubat akan naik selepas Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dimeterai.
Jawapan ini berbeza dengan jaminan diberikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Mustapa Mohamed sendiri yang TPP tidak akan menyebabkan kenaikan kos perubatan dalam sektor farmaseutikal.
Untuk mengambil mata politik, Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng terus mengeluarkan respons berbau perlekeh terhadap Tok Pa.
“Selepas Obama cakap, saya tidak melihat sebarang respons daripada menteri-menteri. Tok Pa pun menghilangkan diri. Mana Tok Pa? Saya harap Tok Pa boleh jawablah," katanya ketika berucap pada Kongres Kebangsaan Dapsy 2015.
Bukan itu sahaja, malah Guan Eng membuat deklarasi DAP “tidak ada pilihan melainkan menentang TPP apabila dibahaskan di Parlimen” sekiranya harga ubat meningkat kerana TPP.
Menariknya, Guan Eng menambah lagi DAP tidak perlu lagi membaca ribuan muka surat perjanjian TPP kerana Obama mengakui harga ubat akan naik.
“Sebelum kami mengundi, (kami perlu membaca) ribuan muka surat dalam perjanjian itu. Tetapi, presiden Amerika Syarikat memberitahu harga ubat akan naik, jadi tak perlulah baca,”
"Tambah lagi dengan nilai mata wang jatuh, harga minyak (dunia) turun, rakyat sudah susah tapi kalau masuk lagi TPP, harga ubat akan naik...wah ini tidak mahu beri kita mampu beli ubat. Ini betul-betul nak kasi kita mati," begitulah kata-kata Guan Eng yang dipetik pelbagai laman berita pada November lalu.
Persoalannya, apakah kata-kata Guan Eng ini masih menjadi pendirian DAP hari ini?
Betulkah DAP tidak lagi mengkaji ribuan muka surat dalam TPP kerana Obama sudah memberitahu harga ubat akan naik?
Jika kita meneliti kenyataan Ahli Parlimen Serdang DAP Ong Kian Ming pada 15 Januari 2015, jawapannya jelas tidak. Malah di dalam kenyataannya, Ong membangkitkan 5 isu yang perlu dijelaskan di dalam TPP, di mana antara satunya melibatkan harga ubat.
“Jika isu-isu berbangkit tidak dijelaskan dengan baik dan jujur oleh Miti, ia mencukupkan hujah untuk tidak menyokong TPP,” kata Ong.
Sebagai seorang pengkaji, ketekunan mengkaji TPP yang dibuat Ong amatlah terpuji.
Cuma ia amat berbeza dengan kenyataan Guan Eng yang menyatakan DAP tidak perlu lagi membaca ribuan muka surat TPP hanya kerana Obama sudah mengakui harga ubat akan meningkat.
Bagaimana pula dengan pendirian kerajaan Pulau Pinang terhadap TPP? Memandangkan Guan Eng juga adalah ketua menteri Pulau Pinang, apakah Pulau Pinang mengambil keputusan yang seperti yang disebut beliau untuk menentang TPP tanpa perlu menelitinya hanya kerana Obama mengakui harga ubat akan naik?
Sekiranya DAP dan Pulau Pinang, pada rekodnya menentang TPP, bagaimana pula dengan reaksi syarikat-syarikat gergasi Amerika Syarikat seperti Intel dan Altera (yang dibeli Intel) terhadap pelaburan mereka di Malaysia, khususnya di Pulau Pinang selepas ini?
Apakah syarikat-syarikat ini akan meminggirkan Malaysia untuk Vietnam yang bersetuju dengan TPP sekiranya Pulau Pinang merekodkan keputusannya menentang TPP?
Akhir sekali, jika DAP terpaksa menyokong TPP atas faktor ekonomi Pulau Pinang, apa pula pendirian Pakatan Harapan yang membuang “klausa bersetuju untuk tidak bersetuju” memandangkan Naib Presiden PKR Tian Chua berkata Pakatan Harapan mencapai kata sepakat untuk menolak perjanjian TPP yang akan dibahaskan di Parlimen?
Atau Pakatan Harapan akan mengambil keputusan berlainan selepas ini kerana mengikut telunjuk DAP?
Tidak mustahil akan ada ahli Parlimen yang akan berkecuali daripada menyokong atau membantah TPP di Parlimen.
Oh… nanti.. bukanlah rekod mengundi sangat penting bagi Pakatan Harapan? Masih ingatkah bagaimana sesetengah mereka memperlekehkan ahli-ahli Parlimen yang mengambil sikap berkecuali dalam Bajet 2016. Jika ini terjadi, sudah tentu ini satu lagi insiden menampar diri sendiri bagi ahli-ahli Parlimen terbabit.
Apapun, TPP bakal menjadi satu lagi medan pertengkaran politik menarik dan menonjolkan sikap hipokrasi ahli-ahli politik di Malaysia, terutamanya pembangkang untuk tatapan ramai.
Kerana mulut, badan binasa. – 18 Januari, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments