Isu terbesar hari ini bukan baiah
Isu terbesar hari ini masih berlegar sekeliling derma RM2.6 bilion yang masuk ke akaun perdana menteri. Jalan cerita derma ini nampaknya sudah menemui jalan buntu dan payah disambung melainkan ada jawapan kepada siapa pendermanya dan siapa pula penerima manfaatnya. Apakah ada yang mengharap untuk terus membisu sehingga rakyat terlupa?
Masalah bukan pada baiah
Lebih bermaruah jika mereka yang keluar daripada PAS dan ingin mengekalkan kerusi Adun dan ahli parlimen untuk mengaku ini langkah karier politik supaya mereka dapat terus bertanding di PRU14 menggunakan lambang lain. Dan demi itu, mereka sanggup melakukan apa saja. Sebenarnya, itulah hujah yang paling kukuh dan diterima sebenarnya berbanding alasan dangkal lain.
Tindakan menyalahkan amalan baiah, cubaan membersihkan diri dengan memperlekeh amalan yang diikuti sendiri dan mengeluarkan hujah yang tidak konsisten hanya akan menyerlahkan lagi sifat hipokrit yang ada pada diri sendiri. Jika baiah itu ada masalah, yang engkau lafazkan berkali-kali ini buat apa?
Setiap parti ada cara mengikat ketaatan, dan PASlah satu-satunya parti yang mengikat ketaatan dengan perkara yang paling ringan iaitu berdasarkan janji dengan Tuhan dan bukannya duit RM10 juta kerana yakin ketakutan ahlinya kepada laknat Allah melebihi segalanya. Cuma ia hilang kesan pada ahlinya yang jiwanya sudah mencapai tahap ‘political animal.’
Lompat parti
Tiada parti politik di dunia, termasuklah PKR, Umno dan DAP yang menyokong mana-mana pemegang amanah kerusi yang dimenanginya untuk lompat parti bersama kerusinya. Jika ia terjadi ke atas mana-mana parti, tiada parti yang tidak akan marah dan melatah terhadap pengkhianatan ini.
Yang menyokong tindakan ini hanya akan mencari maut di kalangan ahli sendiri, kerana ia memberikan lampu hijau bagi ahlinya yang tidak berpuas hati untuk berbuat demikian. Insiden lompat partilah yang menjatuhkan negeri Perak Pakatan Rakyat. Bahkan, DAP sendiri menggazet undang-undang anti lompat parti di Pulau Pinang. Membisu kebanyakan masanya baik. Cuma tindakan membisu dalam hal ini mendedahkan lagi sifat hipokrit sendiri.
Bersih 4
Tahniah diucapkan kepada penganjur dan peserta. Meskipun suara menuntut Najib meletak jawatan garing di Bersih 4 namun ini ia tidak menggoyahkan Umno. Lebih malang, pada masa sama kehadiran di Bersih 4 juga melondehkan kelemahan pembangkang secara keseluruhannya, walaupun enggan diakui para pemimpin pembangkang sendiri.
Memang PAS ada masalah sebagaimana parti politik yang lain, cuma masalah PAS kini dikantabesarkan. Walaupun begitu, tanpa penglibatan PAS atau melibatkan PAS, sebagai parti pembangkang terbesar negara, kekuatan pembangkang adalah sederhana dan tidak sekata. Inklusif tanpa melibatkan PAS adalah eksklusif.
Kekuatan pembangkang
Pembangkang sebenarnya lebih lemah berbanding BN. Meskipun isu derma RM2.6 bilion ke dalam akaun Najib menjadi ancaman kepada masa depan Umno-BN, namun BN masih mengekalkan kerja berpasukan dan mengutamakan kestabilan di dalam BN daripada memburukkan Najib secara bertalu-talu. Tiada yang keluar parti setakat ini meskipun ada yang dipecat. Ini sesuatu yang tiada di antara parti pembangkang. Formula 1 lawan 1, yang menjadi asas kepada kekuatan pembangkang, kini terancam. Tanpa formula 1 lawan 1 dengan kemunculan parti baru, maka pembangkang akan kekal dalam posisi jauh lebih lemah berbanding BN, meskipun BN dilanda ribut kencang.
Masa depan Najib
Terimalah hakikat hanya Umno boleh menentukan nasib Najib. Cadangan usul undi tidak percaya dan sebagainya tidak akan berlaku tanpa persetujuan di kalangan Umno sendiri. Umno bergerak menggunakan minyak, dan minyak kini ada di tangan Najib. Najib tidak boleh hidup tanpa Umno. Masalahnya, Umno lagi bimbang mereka juga tidak dapat hidup tanpa minyak Najib.
Peranan Dr Mahathir
Tun Dr Mahathir Mohamad sudah kehausan jalan untuk mendesak Najib melepaskan jawatan perdana menteri. Barangkali Dr Mahathir baru sedar Najib bukan Pak Lah, dan isteri Pak Lah tidak sama dengan isteri Najib. Dr Mahathir cuma perlu menggunakan stunt keluar Umno untuk menggulingkan Pak Lah. Tapi dengan Najib, stunt ini tidak boleh dipakai. Dr Mahathir memerlukan satu ombak. Apakah kail umpan yang dipasang Dr Mahathir dalam kehadirannya di Bersih 4 akan ditelan Zahid dan juga ketua polis negara?
Malaysia
Sementara ahli politik terus bergaduh dan mementingkan kuasa dan kedudukan diri sendiri, rakyat dan negara terus berhanyut di lautan ekonomi yang semakin tidak menentu. Nilai Ringgit dijangka terus merosot, dan tidak pasti sampai bila keadaan ini akan terhenti.
Di 2016, inflasi dijangka akan naik dengan kenaikan kos import. Apakah ada yang bimbang akan kemungkinan kerajaan BN menaikkan lagi kadar GST untuk mengurangkan fiskal defisit kerajaan?
Masihkah rakyat ingat akan janji kerajaan BN bahawa situasi negara akan menjadi ‘lebih baik’ setelah terlaksananya GST dan terhapus subsidi minyak? Di manakah situasi itu? Ataupun rakyat terbuai ke dalam drama politik yang bertalu-talu sehingga terlupa bahawa kaki sendiri sudah berada di pinggir gunung?
Persepsi boleh terus dimainkan tapi tanpa perubahan mentaliti rakyat, jangan haraplah ahli politik akan berubah sikap dan begitu jugalah nasib negara. – 7 September, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments