Opinion

Umno ubat Pakatan

Ramai sedang berspekulasi siapa yang bakal menerajui Pakatan Rakyat sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan minggu ini.

Sehingga kini tiada jawapan yang konkrit kerana krisis menteri Bbesar Selangor menyebabkan segala fungsi Pakatan Rakyat terumbang-ambing.

Sebenarnya Pakatan Rakyat boleh meneruskan pergaduhan dan pertelingkahan mereka sehingga titik keseimbangan dijumpai semula.

Ini kerana rakyat dijangka dilanda mood "Asal bukan Umno" sekali lagi menjelang PRU14 apabila kesakitan hasil daripada kos sara hidup yang dijangka naik mendadak mula dirasai tahun hadapan.

Situasi akan kembali seperti mood rakyat di tahun 2007.

Pada waktu itu, tiada siapa yang yakin dan terfikir PAS, DAP dan PKR boleh membentuk kerajaan di luar Kelantan.

Ketika itu juga, DAP juga berkali-kali dan mengulang yang mereka tiada kerjasama politik dengan PAS kerana bimbang kehilangan undi orang bukan Islam. Pada waktu itu, tiada siapa yang dapat melekatkan ketiga-tiga parti bersama, termasuklah Anwar.

Yang ada di antara PAS, DAP dan PKR ketika itu hanyalah persetujuan untuk meminimakan pertandingan tiga penjuru di seluruh negara untuk memastikan pertandingan satu-lawan-satu dengan BN.

Strategi ini secara langsung menyebabkan rakyat hanya mempunyai dua pilihan di kebanyakan kerusi, samada BN atau (DAP atau PKR atau PAS).

Dengan mood "Asal Bukan Umno" yang melanda ketika itu, ramai yang memangkah apa sahaja yang ada di kertas undi selain simbol dacing.

Hasilnya, PRU13 di tahun 2008 mengejutkan semua pihak di mana 4 buah kerajaan negeri BN tumbang di tangan PAS, DAP dan PKR.

Bonus yang paling mengejutkan semua ialah kemenangan PAS, DAP dan PKR di negeri Selangor.

Kerana ingin mentadbir negeri terkaya ini dan juga atas desakan rakyat, maka PAS, DAP dan PKR akhirnya berjaya didudukkan bersama, dan di situlah lahirnya Pakatan Rakyat.

Meskipun masih di dalam krisis ini, PAS, DAP dan PKR cukup bernasib baik kerana Umno dan BN berada dalam keadaan yang sangat lemah.

Kerana oksigen GST, salah guna Akta Hasutan dan kenaikan harga minyak, denyut Pakatan Rakyat terus dirasai meskipun sudah berada di ICU ekoran krisis MB Selangor.

Ramai merasakan sesetengah pemimpin pembangkang, agenda bersama dan konsensus adalah katalisator kepada kekalnya Pakatan Rakyat sehingga hari ini.

Sebenarnya ketiga-tiga faktor itu tidaklah penting berbanding dengan faktor Umno-BN masih kekal berkuasa.

Pakatan Rakyat akan terus hidup selagi PAS, DAP dan PKR masih bersama dalam membenci Umno-BN dan bercita-cita menjatuhkannya.

Dan dengan rakyat yang bermoodkan "Asalkan bukan Umno", Pakatan Rakyat akan pulih seperti biasa rakyat menjelang PRU14 nanti, dengan atau tanpa Anwar atau sesiapa pemimpin yang dianggap penting pada waktu ini. – 26 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments