Opinion

Alahai, sasterawan Tamil! (Bahagian 1)

Vanakam, karya Tamil yang diterjemah perlu setanding karya asli Bahasa Malaysia.Vanakam, karya Tamil yang diterjemah perlu setanding karya asli Bahasa Malaysia.

Apabila sebuah karya Bahasa Tamil diterjemahkan ke Bahasa Malaysia, ia tidak lagi setakat dibaca kelompok Tamil/India. Sebaliknya khalayak pembaca bertambah beberapa kali ganda secara automatik.

Karya berkenaan juga akan mula dibandingkan dengan karya asli Bahasa Malaysia yang ditulis oleh pengarang pelbagai kaum, khususnya karya Sasterawan Kavyan iaitu penulis Kaum India yang menghasilkan karya asli Bahasa Malaysia.

Aspek kualiti, ciri-ciri cerpen, bahasa, unsur-unsur sastera dan sebagainya akan diteliti dan diberikan perhatian oleh pembaca dan pengkaji karya berkenaan.

Sehingga baru-baru ini, satu-satunya antologi cerpen penulis Tamil di Malaysia yang diterjemahkan dalam Bahasa Malaysia adalah Seruling di Persimpangan (1999) yang saya usahakan dengan kerjasama M. Balachandran atas permintaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Selepas hampir 15 tahun, monopoli itu akhirnya berjaya dipecahkan oleh kumpulan cerpen Mimpi dan Impian (2013) yang menghimpunkan 14 cerpen tulisan M Ramaiah.

Cerpen-cerpen ini diterjemahkan daripada Bahasa Tamil kepada Bahasa Malaysia oleh M Mahendran, seorang penulis berbakat yang masih aktif menghasilkan cerpen dalam kedua-dua bahasa berkenaan.

Sebenarnya, selepas terbitnya antologi Seruling di Persimpangan, pelbagai usaha dilakukan oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dengan kerjasama DBP untuk menerbitkan buku seterusnya.

Akan tetapi semuanya gagal kerana kurang mendapat kerjasama dan komitmen penulis dan persatuan penulis Tamil. Seolah-olah kelompok penulis Tamil terlalu takut jika karya mereka sampai kepada khalayak pelbagai kaum.

Saya pernah memulakan usaha menterjemahkan sejumlah cerpen karya sekumpulan penulis generasi muda yang aktif menghasilkan karya di bawah kumpulan Vallinam tetapi mereka juga gagal memberikan komitmen yang diharapkan.

Pengaruh politik masih menebal

Apabila saya mendapat tahu Mahendran mengusahakan penterjemahan cerpen-cerpen seorang penulis veteran dari Tangkak, Johor dan buku itu sudah dilancarkan pada 20 September 2014, saya segera berusaha mendapatkan senaskhah.

Sebagai seorang penulis, penerbit, graduan bidang pengajian media, perunding penerbitan serta pemilik syarikat “Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya” tentulah saya melihat buku berkenaan dari pelbagai sudut secara profesional.

Paparan pada halaman hak cipta menunjukkan bahawa buku ini sebenarnya sudah dicetak dan diterbitkan pada April 2013 tetapi hanya dilancarkan baru-baru ini.

Sebagai pemerhati politik, saya dapat mengandaikan bahawa kelewatan ini berlaku kerana Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) diadakan pada Mei 2013; dan Persatuan Tamilar Tangkak selaku penerbit kemungkinan besar telah menanti untuk melihat perkembangan selepas PRU13 sebelum membuat keputusan yang “menguntungkan”.

Realiti yang tidak dapat dinafikan dalam budaya penerbitan buku-buku Bahasa Tamil di Malaysia adalah kebergantungan penuh kepada politikus – tentunya pemimpin MIC – untuk memberikan dana serta “mencemar diri” datang melancarkan buku.

Walaupun Mimpi dan Impian secara teknikal sebuah buku Bahasa Malaysia dan boleh dimasukkan dalam kategori sastera bahasa kebangsaan sebagai karya terjemahan, mentaliti dunia sastera Bahasa Tamil masih terlalu menebal.

Rekabentuk dan susunan kandungan dalam buku ini sahaja sudah cukup untuk membuatkan khalayak sedar bahawa ia sebenarnya buku Tamil yang sekadar dizahirkan dalam versi Bahasa Malaysia.

Sekiranya pembaca menyelak halaman-halaman pada buku ini – tanpa perlu membaca – sudah lebih daripada cukup untuk menyedarkan pembaca bahawa buku ini sebenarnya buku Tamil.

Contoh paling mudah yang tampak jelas adalah penggunaan elipsis (…) secara berlebihan, tanpa had dan tanpa apa-apa keperluan. Contoh di halaman pertama: “Aarthilah Arasu… dah tepilah sikit…”

Perkara kecil yang perlu diberi perhatian

Tanda soal (?) dan tanda seru (!) juga sering digunakan secara berlebihan oleh penulis Tamil dan perkara ini jelas dalam hampir kesemua cerpen dalam buku ini.

Misalnya: “Apa yang datuk ingin bincangkan dengan saya secara persendirian???” (halaman 71), “Dia pula menunggu saya???” (halaman 72) dan “Datuk !!!” (halaman 72).

Semua tanda baca ini memang sudah menjadi budaya dan kelaziman dalam penulisan karya Bahasa Tamil. Akan tetapi, apabila karya diterjemahkan ke Bahasa Malaysia, hukum-hakam dan peraturan penggunaan Bahasa Malaysia perlulah dipatuhi.

Buku berkulit tebal dan 117 halaman ini akhirnya gagal memberikan sebarang kepuasan kepada saya. Mungkin kerana saya meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadapnya.

Baru-baru ini, sebuah persatuan penulis Tamil meminta saya menyemak manuskrip sebuah antologi cerpen yang sudah diterjemahkan daripada Bahasa Tamil kepada Bahasa Malaysia.

Selepas menyemak 20 halaman pertama dan melakukan penyuntingan yang terlalu berat, saya memutuskan bahawa adalah lebih mudah serta kurang menyeksakan jika saya sendiri membuat penterjemahan berbanding menyemak versi terjemahan yang entah apa-apa.

Saya percaya manuskrip itu kini berada di tangan orang lain dan buku akan diterbit tidak lama lagi. Semoga segala kelemahan yang memalukan sempat dibaiki sebelum buku sampai ke tangan khalayak pelbagai kaum.

Berbalik kepada buku “Mimpi dan Impian”, Ramaiah disifatkan oleh K Narayanasamy, Pengetua Kolej Stamford Melaka sebagai “sasterawan Tamil yang ulung di Malaysia”.

Pengarang ini yang lahir di Tangkak pada tahun 1930 serta terus aktif menulis sejak tahun 1940-an khabarnya sudah menghasilkan lebih 500 cerpen, 100 esei, 50 sajak, 14 novel bersiri dan 3 novel bersiri.

Meletakkan harapan yang amat tinggi

Menurut A Thevarajan, seorang guru di SMK Ledang dalam ulasannya, Ramaiah adalah “penulis prolifik yang tidak asing lagi di persada seni kreatif tanah air, khususnya dalam kalangan pencinta kesusasteraan Tamil Malaysia”.

Saya amat teruja apabila membaca catatan Thevarajan bahawa Ramaiah adalah individu yang berjaya menerbitkan antologi cerpen Bahasa Tamil pertama di Malaysia, iaitu pada tahun 1953.

Sejak tahun 1950-an, khabarnya “banyak hadiah utama telah disapu bersih oleh karya-karya beliau” dalam pelbagai pertandingan.

“Boleh dikatakan Ramaiah bukan calang-calang orangnya kerana ketajaman tulisan beliau bagaikan seorang doktor sastera yang mengubati pergolakan sukma masyarakat,” kata Thevarajan.

Penulis warga emas yang masih aktif menulis ini juga menang pelbagai hadiah dan anugerah. Akhbar Tamil Nesan memberikan Anugerah Emas pada 1975. Terdahulu, pada 1967, sebuah majalah Tamil di India mengiktiraf beliau sebagai Raja Cerpen (“Sirukathai Mannan”).

“Jika seorang pengkaji luar negara yang ingin menghayati liku-liku hidup masyarakat Tamil di Malaysia, maka perlu mendalami karya-karya hasilan Ramaiah,” kata P Rajendran, Presiden Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia.

Menurut Rajendran, persatuan penulis yang diterajuinya sudah bersepakat mengiktiraf Ramaiah sebagai Wira Kesusasteraan Tamil Malaysia.

Dengan latar segala puji-pujian dan kata-kata hebat seperti ini, tentulah saya pada mulanya amat teruja untuk membaca kesemua 14 cerpen dalam buku ini yang diakui oleh Ramaiah dihasilkan pada tahun 1960-an, 70-an dan 80-an.

Saya membayangkan bahawa buku ini boleh diangkat dan dipromosikan ke peringkat lebih tinggi supaya pembaca pelbagai kaum serta para pengkaji sastera boleh menjadikannya bahan kajian peringkat sarjana muda dan sarjana sastera. – 6 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Vallinam hasil sekelompok penulis muda Tamil mampu menghasilkan karya bermutu.Vallinam hasil sekelompok penulis muda Tamil mampu menghasilkan karya bermutu.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments