Opinion

Alahai, sasterawan Tamil! (Bahagian 2)

Cerpen-cerpen yang diterjemahkan daripada Bahasa Tamil kepada Bahasa Malaysia serta termuat dalam antologi Seruling di Persimpangan (1999) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menampilkan persoalan yang pelbagai.

Tetapi, daripada segi teknik penulisan, rata-rata semuanya memaparkan teknik penceritaan yang bersifat konvensional, serta penulis ketara campur tangan dalam "menceritakan" (to tell) kepada pembaca tentang apa yang berlaku.

Pelbagai kelemahan dalam buku ini perlu dibaiki demi mengangkat maruah sastera Tamil. – Gambar The Malaysian Insider, 8 Oktober, 2014.Pelbagai kelemahan dalam buku ini perlu dibaiki demi mengangkat maruah sastera Tamil. – Gambar The Malaysian Insider, 8 Oktober, 2014.Kelahiran kumpulan cerpen Mimpi dan Impian (2013) yang menghimpunkan 14 cerpen karya M Ramaiah pula diharapkan mampu membawa dimensi baru dalam penterjemahan karya penulis Tamil di Malaysia.

Presiden Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia P Rajendran menegaskan:"Para peminat yang sempat membaca hasilan beliau (Ramaiah), sudah tentu terpikat dengan plot ceritanya. Klimaks yang komplikasi dan disusuli dengan peleraian yang munasabah menjadikan cerpen-cerpen beliau lebih menonjol bermakna."

Saya berpeluang membaca buku berkenaan dengan penuh harapan pada 2 Oktober, 2014. Sebaik selesai membaca, saya kagum dengan ketabahan, kesabaran dan kecekalan M Mahendran, penulis dari Bentong, Pahang melakukan kerja terjemahan ini.

Segala kehebatan yang disebutkan pada bahagian prelim (kata-kata aluan) oleh beberapa tokoh tidak saya temui dalam cerpen-cerpen berkenaan.

Hal ini mungkin kerana saya meletakkan aras yang terlalu tinggi dalam membuat penilaian. Segala pujian pada bahagian awal buku ini mungkin membuatkan saya mengharapkan sesuatu yang luar biasa berbanding segala cerpen Bahasa Tamil yang pernah saya baca/dengar sebelum ini.

Mahendran yang saya kenali sejak awal 1990-an menghasilkan karya Bahasa Malaysia dan Bahasa Tamil. Beliau juga melakukan penterjemahan silang karya sendiri untuk siaran di media kedua-dua bahasa.

Bagaimanapun, ini kali pertama beliau menterjemahkan cerpen orang lain selepas dihubungi A Thevarajan daripada Persatuan Tamilar Tangkak.

Memecah tembok bahasa dan kaum

"Banyak perkataan Bahasa Tamil agak sukar diterjemahkan ke Bahasa Malaysia. Ayat-ayat yang panjang harus disingkatkan," katanya apabila dihubungi selepas saya selesai membaca buku Mimpi dan Impian yang dikirim melalui pos oleh Thevarajan.

Sebagai seorang individu yang gemar membaca dan menulis karya pelbagai bahasa dan genre, Mahendran mengaku amat teruja melihat namanya tertera sebagai penterjemah pada kumpulan cerpen ini.

"Cuma saya agak terkilan apabila mendapati banyak kesalahan di sana sini selepas buku sampai ke tangan saya beberapa hari lalu. Mungkin kesilapan saya sendiri semasa membuat terjemahan tetapi nampak agak ketara selepas terbit," katanya apabila saya bertanya akan perkara itu.

Saya memang amat sensitif melihat kesilapan dan kesalahan bahasa yang ketara pada mana-mana karya bertulis. Hakikat itu juga membuatkan saya amat kurang senang hati sepanjang membaca kumpulan cerpen ini.

Pensyarah kanan Kolej Matrikulasi Johor, M Paramespan mengaku diberikan peluang untuk "mengulas serta menyemak" manuskrip ini selepas diterjemahkan Mahendran.

Sebagai seorang individu yang amat mencintai bahasa, saya berasa amat sedih dan kecewa kerana kerja-kerja penerbitan buku terjemahan ini seolah-olah dilakukan sambil lewa; bukan secara profesional.

Buku ini dilancarkan di Tangkak pada 20 September, 2014 dan khabarnya akan dihantar ke semua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Johor supaya boleh dihayati murid.

Buku Bahasa Tamil yang diterjemahkan ke Bahasa Malaysia sepatutnya memecahkan tembok bahasa dan kaum, lalu sampai kepada khalayak pelbagai kaum. Kalau setakat untuk SJKT, tidak perlulah diterjemahkan.

Sayangnya, buku Mimpi dan Impian bukanlah sebuah buku yang boleh diajukan kepada khalayak pelbagai kaum dengan bangga. Apatah lagi meminta mereka membeli buku ini dan membacanya untuk memahami secara mendalam realiti masyarakat Tamil/India di Malaysia.

Menghayati liku hidup masyarakat Tamil

Pada penelitian Mahendran, Ramaiah seorang penulis veteran yang berpengalaman luas dan amat berani menyuarakan pandangan menerusi cerpen.

"Karya-karya beliau banyak menyentuh hal hak asasi. Agak tajam juga sindiran beliau terhadap masyarakat. Ramaiah amat pentingkan perpaduan kaum yang kian meruncing," kata Mahendran.

Sayangnya segala isu itu hanya disentuh pada permukaan (surface). Ia tidak meresap masuk ke dalam jiwa watak, apatah lagi meresap ke dalam jiwa pembaca.

Cerpen-cerpen dalam buku ini asalnya ditulis dan tersiar pada 1960-an, 70-an dan 80-an. Ini bermakna karya yang diterjemahkan ini mampu dijadikan bahan kajian berguna untuk memahami isu-isu masyarakat pada zaman itu.

Malangnya, dalam buku Mimpi dan Impian, pada hujung setiap cerpen tidak pula dinyatakan tarikh cerpen asal (Bahasa Tamil) disiarkan. Bagi beberapa cerpen, dicatatkan nama majalah/akhbar di mana cerpen asal disiarkan; tetapi tiada tarikh dinyatakan.

Cerpen "Perpindahan" asalnya tersiar dengan judul "Purai" di akhbar Makkal Osai pada 12 Disember, 2002, manakala cerpen "Takkan Kembali" asalnya "Avar Varamaataar" dan tersiar di majalah Muthamizh keluaran April 2001.

Ini bermakna cerpen-cerpen dalam buku ini bukanlah mewakili karya 1960-an, 70-an dan 80-an seperti dikatakan Ramaiah. Sekali gus menyukarkan usaha mengkaji cerpen-cerpen ini untuk "menghayati liku-liku hidup masyarakat Tamil di Malaysia" seperti disarankan Rajendran.

Apabila sebuah karya Bahasa Tamil karya penulis Tamil di Malaysia diterjemahkan ke Bahasa Malaysia, maka khalayaknya bukan lagi setakat pembaca Tamil; sebaliknya pembaca pelbagai kaum.

Saranan demi mengangkat maruah penulis Tamil

Saya selalu memberitahu rakan-rakan penulis Tamil cerpen Bahasa Tamil yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu biarlah mampu membuatkan khalayak pelbagai kaum kagum dengan perkembangan sastera dan penulisan kreatif Bahasa Tamil di Malaysia.

Terus-terang, walaupun cerpen-cerpen dalam buku Mimpi dan Impian cuba mengangkat pelbagai kisah dan persoalan (bukan "tema"), semuanya hanya dilihat sekali lalu pada permukaan (surface) semata-mata.

Antologi terjemahan terbitan DBP yang masih menjadi penanda aras. Antologi terjemahan terbitan DBP yang masih menjadi penanda aras. Unsur "memberitahu" (telling) terlalu ketara manakala unsur "menunjukkan" (showing) hampir tiada. Seperti yang saya pernah ulas menerusi sebuah rencana di akhbar New Straits Times (11 Februari 2004), cerita lebih penting berbanding teknik dalam penulisan cerpen Bahasa Tamil di Malaysia.

Apa yang sering disajikan golongan penulis cerpen Bahasa Tamil sejak 1930 adalah hanya cerita; bukan karya sastera. Unsur sastera dan cerpen seolah-olah tidak perlu diterapkan. Sebaliknya penulis hanya perlu bercerita sesuka hati.

Saya amat berharap cerpen yang termuat dalam buku Mimpi dan Impian bukan karya-karya terbaik Ramaiah. Sebaliknya sekadar cerpen lama yang dipilih semata-mata kerana penceritaan yang simplistik, kisah biasa-biasa dan amat mudah diterjemahkan.

Ramaiah dipuji dalam buku ini sebagai "sasterawan Tamil yang unggul di Malaysia", "gergasi dalam kalangan sasterawan Tamil Malaysia", "penulis berprestij aliran pertama di Malaysia", "penulis prolifik yang tidak asing lagi", "pelopor sastera Tamil", "karyawan serba boleh", "khazanah sastera yang sukar dicari ganti", "Raja Cerpen" dan "Wira Kesusasteraan Tamil Malaysia".

Saya berharap beliau masih menyimpan stok cerpen-cerpen hebat yang boleh diterjemahkan ke Bahasa Melayu pada masa depan untuk disajikan kepada khalayak pelbagai kaum dengan penuh bangga; selaras dengan segaja pujian di atas.

Sementara itu, sekiranya buku Mimpi dan Impian mahu dicetak semula, saya merayu pihak penerbit melakukan kerja penyuntingan yang profesional, rapi dan sempurna; mengambil kira segala komen yang dikemukakan; serta mendapatkan ISBN menerusi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) supaya buku ini menjadi terbitan yang sah. – 8 Oktober, 2014.

* Alahai, sasterawan Tamil! (Bahagian 1).

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments