Opinion

Alahai SJKT, alahai kuil Hindu!

Kuil sebagai rumah ibadat menjadi salah satu aspek penting dalam kehidupan kaum India beragama Hindu di Malaysia.

Orang ramai selalu tampil memberikan sumbangan secara ikhlas dan murah hati bagi upacara di kuil, serta derma membina atau membaiki bangunan kuil.

Pengurusan kuil dan para penganut Hindu ternyata tidak sepenuhnya bergantung kepada sumbangan atau peruntukan kerajaan negeri dan pusat dalam usaha memastikan bangunan kuil dan segala aktiviti keagamaan di rumah ibadat berjalan lancar.

Hal ini memang terpuji dan membanggakan. Selain mengimarahkan aktiviti keagamaan di kuil, para penganut menunjukkan sikap proaktif yang sesungguhnya dituntut agama dan budaya.

Malangnya semangat, sikap dan keikhlasan sama tidak ditunjukkan dalam hal menderma bagi pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), sama ada dari segi fizikal (infrastruktur) atau pengisian (pembelajaran).

Selalunya SJKT terpaksa bergantung kepada dana kerajaan untuk membaiki infrastruktur dan keperluan pelajaran.

Kerajaan pusat menyalurkan RM7.84 juta kepada SJKT untuk menaik taraf infrastruktur, penyelenggaraan dan menambahbaikkan kemudahan.

Seperti dilaporkan MyTimes (24 September, 2015), MIC mengiktiraf Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak sebagai “pemangkin utama pembangunan infrastruktur SJKT”.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan menyampaikan peruntukan khas fasa ke-2 RM2.56 juta untuk 32 buah SJKT di Negeri Sembilan, seperti dilaporkan Bernama pada 27 Januari lalu.

SJKT Ladang Coalfields, Sungai Buloh pula menerima peruntukan RM100,000 bagi menaik taraf kemudahan sekolah berikutan masalah pendawaian, anai-anai dan sistem saliran kurang sempurna. Ini dilaporkan oleh Sinar Harian Online pada 28 Januari.

Rakan-rakan berkongsi rasa kecewa

Untuk rekod, pada masa kini terdapat 524 buah SJKT di Malaysia dan 371 daripadanya merupakan sekolah bantuan modal.

Tentulah agak menghairankan apabila SJKT terpaksa merayu bantuan kerajaan sementara sumbangan bagi kuil datang mencurah-curah daripada komuniti India-Hindu.

Mengapakah kaum India beragama Hindu kelihatan mudah menderma kepada kuil tetapi agak liat menyumbang kepada SJKT?

Saya menimbulkan persoalan ini di Facebook baru-baru ini untuk mendapatkan komen dan reaksi orang ramai.

Menurut Prem Kanna dari Rawang, beliau memang menanti peluang untuk berkongsi pandangan tentang isu ini.

“Saya tidak berniat mempersoalkan kemajuan kuil, tetapi mengapa SJKT tidak seiring kemajuan itu? Lebih mengecewakan, kuil gagal memainkan peranan sosial terhadap masyarakat, sebaliknya menjadi sektor perniagaan,” kata pemuda itu.

Bagi Yogeswaran Pachayappan dari Johor, kita tidak memerlukan lebih banyak kuil.

“Kalau mahu menderma, saya lebih suka memberi kepada pelajar kaum India yang miskin dan memerlukan bantuan,” ulas jurufoto sambilan itu.

Seorang mualaf dan pekerja sosial dari Bestari Jaya, Kuala Selangor memaklumkan, pihak pengurusan Kuil Subramaniam di tempatnya memberikan kasut dan beg sekolah kepada murid SJKT daripada keluarga miskin.

“Ini kali pertama kuil itu mengadakan program seumpama ini dan saya yakin amalan ini akan menjadi lebih popular pada masa depan,” kata Kumaran Nagapa dengan penuh optimis.

Sivasangari Ramasamy, guru sekolah persendirian di Klang mengimbas peranan sebenar kuil dalam kehidupan kaum India beragama Hindu.

Kuil disaran beri sumbangan kepada sekolah

“Kuil pada masa dahulu menjadi pusat komuniti dan juga tempat belajar bagi kanak-kanak. Rumah ibadat itu juga menjadi tempat perlindungan jika ada malapetaka alam.

“Memandangkan pada masa kini peranan itu sudah tiada, tidak ada keperluan membina kuil besar. Mereka yang ada wang boleh menyumbang ke arah pembinaan infrastruktur dan peningkatan kualiti pendidikan di sekolah Tamil,” kata Sivasangari.

Seorang bekas pensyarah dari Shah Alam menegaskan hakikat kegagalan kuil memainkan peranan lebih besar bagi memenuhi keperluan sosial, pendidikan dan kebajikan komuniti Hindu.

“Kuil yang banyak menerima sumbangan orang ramai sepatutnya menyumbang sebahagian hasil itu bagi pembangunan masyarakat; termasuk kepada institusi pendidikan seperti SJKT. Malangnya, peneraju kuil sudah lupa segala peranan itu,” kata Jaya Rajan menerusi mesej yang agak panjang.

Memang menarik untuk menilai semula peranan sebenar kuil dalam komuniti India.

Setiap kali pembinaan bangunan mahu dibuat, orang ramai diminta menyumbangkan derma ikhlas. Begitu juga setiap kali ada upacara keagamaan dan sembanyang khas.

Anehnya, apabila seorang individu yang pernah menderma kepada pembinaan kuil itu pergi ke kuil berkenaan, dia masih perlu membayar bagi mendapatkan “perkhidmatan” di sana.

Rata-rata segala urusan pembinaan, penyelenggaraan, sumbangan makanan dan upacara keagamaan di kuil dilaksanakan menerusi sumbangan (atau bayaran) parti politik, kerajaan dan orang ramai.

Maka, tidak salah jika orang ramai mempersoalkan mengapa kuil tidak menyumbangkan sebahagian hasil kutipan (daripada orang ramai) demi kebajikan masyarakat termasuk kepada SJKT.

Pada masa sama, agak menghairankan juga sikap komuniti India yang tidak keberatan menderma kepada kuil tetapi tidak begitu berminat menyumbang bagi pembangunan sekolah Tamil.

Lepasan SJKT boleh contohi bekas murid SJKC

Mungkin di satu pihak, orang ramai menderma kepada kuil untuk “membersihkan” dosa atau sebagai “bekalan” akhirat.

Soalnya, bukankah mereka masih boleh turut menyumbang kepada pembangunan sekolah? Khususnya jika individu terbabit adalah lepasan SJKT.

Terdapat lebih 500 buah SJKT di seluruh negara dan pasti sahaja melahirkan ribuan lepasan sekolah Tamil setiap tahun.

Lepasan SJKT boleh belajar daripada lepasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang tampil memberikan sumbangan berkala kepada alma mater mereka.

Apabila saya menulis kritikan tentang kelemahan di SJKT, akhbar Tamil Nesan (bertarikh 13 Januari 2016) melabel saya “pengkhianat” dan meminta orang ramai membuat laporan polis terhadap saya.

Akhbar Malaysia Nanban (19 Januari 2016) pula berpendirian, saya tidak berhak mengkritik SJKT kerana bahasa ibunda saya bukan Tamil, saya keturunan Malayali, dan saya bukan lepasan SJKT.

Maka, untuk berlaku adil, tidak perlulah mengharapkan orang bukan Tamil dan bukan lepasan SJKT seperti saya menyumbang kepada pembangunan sekolah Tamil.

Peneraju kempen “SJKT Pilihan Kita” seperti Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-sekolah Tamil dan MIC, serta stesen radio MinnalFM dan THR Raaga jangan hanya berusaha menambah jumlah kemasukan murid Tahun 1.

Berkempenlah juga secara aktif supaya lepasan SJKT turut menghayati kempen “SJKT Pilihan Kita” dengan menyumbang semula kepada alma mater mereka.

Sekiranya lepasan SJKT menyumbang secara berkala kepada pembangunan SJKT, maka sekolah Tamil juga mampu sehebat SJKC dari segi kemudahan pembelajaran dan infrastruktur tanpa perlu menanti sumbangan kerajaan dan MIC. – 2 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments