Opinion

Anjing dan Islam

Sabun khas untuk memudahkan orang Islam bersamak.Sabun khas untuk memudahkan orang Islam bersamak.Pertama kali saya mendapat tahu mengenai hakikat ada orang Melayu Islam memelihara anjing adalah sewaktu saya belajar di tingkatan satu di Sekolah Menengah Darul Ridwan, Taiping.

Sebagai seorang individu yang lahir dan membesar di kawasan perkampungan (bukan estet atau ladang) berpenduduk majoriti kaum India di Lorong B, Aulong Lama, saya sedikit terkejut.

Ini kerana pemahaman umum adalah bahawa orang Melayu tidak memelihara anjing. Malah, dalam kebanyakan keadaan, takut akan anjing. Demikian realiti yang wujud di depan mata.

Maka, apabila saya mendapat tahu bahawa ada keluarga rakan sekelas yang memelihara anjing, saya teruja untuk melakukan siasatan. Maksud saya, mengetahui hukum sebenar memelihara anjing menurut Islam.

Tambahan pula, selalu juga rakan-rakan bukan Melayu di sekolah dan kampung bertanya mengapa orang Melayu "takut akan anjing". Oleh kerana tidak mahu mengguriskan hati rakan Melayu, soalan yang dianggap sensitif itu tidak diajukan terus kepada mereka.

Kebanyakan maklumat yang saya kumpulkan adalah menerusi pembacaan buku agama di perpustakaan sekolah. Ustaz dan ustazah turut menjadi sumber rujukan. Usaha menimba ilmu itu masih berterusan.

Sedikit demi sedikit, saya mula faham rasional sebenar di sebalik "ketakutan" rakan Melayu terhadap anjing. Saya juga faham rasional keluarga rakan sekelas saya (Melayu Islam) memelihara anjing.

Pada masa sama, sepanjang proses menimba ilmu dan maklumat berkaitan topik yang agak sensitif ini, timbul pula pelbagai dialog (perbincangan) dengan pelbagai pihak. Seperti biasa, saya dianggap pihak tertentu sebagai cuba mempersenda amalan orang Melayu.

Misalnya, apabila saya cuba menerangkan bahawa orang Melayu tidak perlu takut pada anjing. Saya dikatakan cuba mengelirukan orang Melayu (Islam) dan bukan Melayu (bukan Islam) - dengan idea-idea yang bertentangan dengan amalan konvensional di negara ini.

Berusaha mendapatkan maklumat sebenar dan tepat

Apatah lagi apabila timbul kontroversi tidak berasas berhubung klip video seorang individu Melayu bersama anjing-anjingnya pada Julai lalu. Insiden itu juga membantu saya kembali mendalami pelbagai hukum berkaitan pemeliharaan anjing oleh orang Islam. Sekurang-kurangnya saya tidak boleh "ditipu" mana-mana pihak yang pandai "kelentong".

Hasil perbualan saya dengan guru dan ustaz sejak kecil, tahulah saya bahawa anjing (dan babi) termasuk dalam kategori "najis mughallazah" - istilah yang sudah diketahui umum berikutan penyebaran klip video murid sekolah rendah bertanya soalan kepada Datuk Seri Najib Razak.

Apa pun, tentulah ada beza antara "haram" dan "najis". Malah ada perbezaan nyata antara "najis" dan "hadas". Dalam konteks di Malaysia, daripada segi bahasa, tidak mustahil bahawa ramai - Melayu dan bukan Melayu - yang kurang teliti terhadap perbezaan antara ketiga-tiganya.

Saya pernah membaca bahawa Nabi Muhammad bersabda, jika seorang Muslim memelihara anjing, maka pahalanya akan ditolak (dikurangkan) setiap hari. Pengecualian diberikan jika anjing itu dipelihara bagi tujuan menjaga rumah, harta benda, ternakan dan tanaman atau memburu.

Ada juga Hadis sahih yang pernah saya baca bahawa seorang Muslim yang memegang anjing akan ditolak amalannya setiap hari. Pengecualian masih diberikan jika anjing itu dipelihara bagi tujuan menjaga ternakan atau kebun individu terbabit.

Berdasarkan kisah-kisah di atas, secara logik, saya menyimpulkan sejak dahulu bahawa hukum memelihara anjing menurut Islam adalah "makruh" iaitu tidak salah jika dilakukan tetapi pahala jika ditinggalkan.

Secara logik akal juga, jika hukum memelihara anjing adalah "haram", tentulah Rasulullah tidak bersabda bahawa pahala dan amalan dikurangkan. Ustaz, guru dan rakan-rakan berilmu yang menjadi rujukan saya sehingga kini bersetuju dengan tafsiran saya. Haram adalah haram; tidak timbul soal pahala/amalan dikurangkan.

Hasil pembacaan, saya juga melihat percanggahan pendapat antara beberapa mazhab dalam Islam. Misalnya, mazhab Syafii dan Hambali menetapkan anjing - termasuk peluhnya - sebagai "najis". Mazhab Hanafi melihat hanya mulut dan air liur anjing itu "najis".

Menurut mazhab Maliki pula, anjing dikategorikan sebagai "suci" - jauh berbeza dengan "najis" - antara lain kerana anjing boleh digunakan untuk memburu. Anjing itu tentu menangkap dan menggigit buruan dengan mulut. Maka pasti ruwet jika anjing dianggap "najis".

Kisah seorang pelacur dan seekor anjing

Perkara ini membawa pula kepada beberapa lagi persoalan yang biasa dikemukakan kepada saya oleh rakan-rakan bukan Melayu yang ingin tahu. Misalnya, hakikat bahawa hukum "haram" adalah pada perbuatan memakan daging anjing (dan babi); bukannya pada perbuatan menyentuh anjing atau memberikan makan kepada binatang itu.

Dalam hal seperti itu, saya suka menceritakan satu lagi kisah yang pernah saya baca. Kisah itu mengenai seorang pelacur yang ternampak seekor anjing yang kehausan dan hampir mati.

Wanita itu menggunakan kasutnya untuk mencedok air dan memberikan minum kepada anjing berkenaan. Dikisahkan bahawa Allah mengampunkan segala dosa pelacur itu berikutan perbuatannya memberikan air kepada anjing berkenaan.

Hukum "najis" yang diletakkan pada anjing memang pendapat kebanyakan ulama dalam Islam. Saya juga pernah membaca pandangan Imam Syaukani yang menolak "kenajisan" anjing berdasarkan beberapa Hadis yang sahih.

Saya sering memprovokasi rakan Melayu Islam dengan kisah-kisah seperti ini dalam usaha "memaksa" mereka terlibat dalam dialog sihat dan membina. Sekurang-kurangnya mereka akan menambah ilmu agama sebagai persiapan sebelum membalas hujah saya.

Makalah ini tidak sedikit pun bertujuan menyeru atau memujuk orang Melayu Islam memelihara anjing. Apatah lagi, di rumah saya pun sekarang tidak memelihara anjing. Sebaliknya saya mahu membuka pintu dialog ke arah perbincangan dan percambahan ilmu.

Atau sekurang-kurangnya memberikan sedikit maklumat asas kepada pembaca bukan Melayu untuk memulakan perbincangan berhubung topik "maha sensitif" ini dengan rakan beragama Islam.

Ada beberapa kenalan Melayu Islam - khususnya yang terlibat dalam bidang seni, budaya dan penulisan - memelihara anjing. Hasil perbualan dengan mereka, saya mendapati mereka memahami sepenuhnya hukum-hakam dan peraturan agama.

Kebanyakan tidak memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan (pet) tetapi bagi tujuan lain yang tidak bertentangan dengan Al-Quran, Hadis dan Sunnah. Maka, mereka tidak gentar dengan "jerit-pekik" puak tertentu yang mengkritik mereka.

Pandangan mazhab Maliki lebih praktikal

Perkara yang diketahui umum adalah bahawa jika orang Islam disentuh, tersentuh atau bersentuhan dengan anjing, maka perlu disamak. Hal inilah yang menjadi asas mengapa orang Melayu menjauhi anjing; bukan kerana "haram".

Kalau dijilat oleh anjing, menurut mazhab Syafii, wajib dibasuh tujuh kali, termasuk sekali menggunakan tanah. Hukum yang sama jika melibatkan kencing, tahi, darah, peluh, bulu, air liur atau mana-mana anggota badan anjing dalam keadaan basah/lembap.

Menurut mazhab Maliki pula, samak hanya perlu jika melibatkan jilatan. Malah, hasil penelitian dan pembacaan saya sejak belakangan ini, ramai juga ulama yang beranggapan pandangan mazhab Maliki lebih sesuai dan praktikal untuk diamalkan dalam konteks kehidupan sekarang.

Umum mengetahui kisah malaikat Jibril tidak datang bertemu Rasulullah sebagaimana dijanjikan pada suatu hari. Jibril ingkar dengan alasan bahawa ada anjing di dalam rumah.

Terdapat juga riwayat bahawa malaikat rahmat tidak akan masuk ke dalam mana-mana rumah orang Islam yang di dalamnya ada anjing atau patung (berhala).

Hujah sahih yang digunakan oleh rakan-rakan Melayu Islam yang memelihara anjing adalah bahawa Islam tidak sesekali mengharamkan pemeliharaan anjing; dan saya bersetuju dengan dalil yang dikemukakan.

Malah, Islam juga tidak sama sekali meminta orang Muslim memusuhi anjing; apatah lagi lari lintang-pukang seperti yang selalu saya perhatikan dengan mata terbeliak kehairanan sejak zaman kanak-kanak.

Lebih teruk lagi apabila "ketakutan yang tidak berasas" dan kejahilan itu membawa pula kepada perbuatan menzalimi serta menafikan hak anjing yang juga merupakan ciptaan Allah.

Akibatnya, sama ada disedari atau tidak, tindakan sekelompok kecil orang Melayu ini memberikan pula gambaran yang salah mengenai Islam kepada masyarakat bukan Islam. Tepuklah dada, tanyalah selera. – 11 November, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments