Lebih sebulan berlalu sejak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman penjara 5 tahun atas tuduhan kesalahan meliwat Saiful Bukhari Azlan.
Sejak Anwar dilucutkan jawatan timbalan perdana menteri serta jawatan dalam Umno dan kabinet pada 2 September 1998, saya sudah tidak hairan tentang apa-apa pertuduhan baru yang dilemparkan terhadapnya.
Saya tidak pernah menjadi peminat Anwar dan tidak mungkin menjadi peminatnya sepanjang hayat.
Namun begitu, hal ini tidak bermakna saya perlu membencinya atau menerima bulat-bulat apa-apa pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya oleh kuasawan, politikus dan pemuda bermuka jambu.
Peguam terkenal dan bekas pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan turut bersetuju orang ramai – termasuk penyokong tegar Anwar – tidak terkejut dengan keputusan mahkamah pada 10 Februari 2015.
“Saya mendengar hujah dan bukti yang dikemukakan kedua-dua pihak. Saya juga berada di mahkamah semasa keputusan dibacakan.
“Pada mulanya, sebagai seorang peguam, saya berpendapat Datuk Seri Anwar akan dilepaskan daripada pertuduhan kerana wujud reasonable doubt (keraguan munasabah),” kata Ambiga semasa kami berbual-bual di pejabatnya, baru-baru ini.
Beliau sedar ramai yang tertanya-tanya dan mempersoalkan mengapa Anwar dijatuhi hukuman penjara 5 tahun.
Hal ini kerana tertuduh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 377B, di mana tidak berlaku paksaan ke atas mangsa iaitu Saiful yang mendakwa dirinya diliwat.
Saya bertanya kepada Ambiga, apakah orang ramai berhak untuk memberikan komen, reaksi dan bantahan terhadap keputusan mahkamah? Bukan hanya merujuk kepada kes Datuk Seri Anwar tetapi pelbagai kes lain.
Sebagai seorang peguam yang berpengalaman, Ambiga sedar ramai orang awam berpendapat mereka tidak boleh meluahkan pandangan tidak bersetuju dengan keputusan penghakiman.
“Dalam kalangan peguam sendiri, wujud konsep agree to disagree, iaitu bersetuju untuk tidak bersetuju. Di negara kita ada fakulti undang-undang dan ahli akademik yang berhak untuk memeriksa keputusan mahkamah serta mengemukakan komen secara akademik,” beliau menjelaskan.
Apa motif tahanan reman dan layanan istimewa?
Ambiga bagaimanapun menambah, sebarang bantahan atau pandangan perlulah dikemukakan secara berhemah.
Apa yang pasti, tidak menjadi kesalahan di sisi undang-undang apabila orang ramai tidak bersetuju dengan sesuatu keputusan kes di mahkamah.
Timbul pula persoalan apakah komen dan kritikan yang tersebar luas menerusi media sosial seperti Facebook dan Twitter boleh dianggap selari dengan hak yang diperkatakan ini.
Dalam perbualan kami, saya merujuk secara khusus kepada kes kartunis Zunar, atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque.
Menurut laporan Utusan Malaysia (11 Februari 2015), kartunis kontroversi itu direman 3 hari bagi membantu siasatan berhubung komennya dalam Twitter yang dikatakan berbaur hasutan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes rayuan Anwar pada hari sebelumnya.
“Orang ramai tertanya-tanya mengapa pihak berkuasa menahan reman orang yang mahu dituduh di bawah Akta Hasutan. Biasanya isu yang diperkatakan dan kononnya mahu disiasat itu sudah pun tersebar menerusi laman rangkaian sosial. Apa lagi yang mahu disiasat?
“Biasanya individu terbabit ditahan reman selama beberapa hari. Amalan ini tidak berapa betul. Ramai yang berpendapat tahanan reman dibuat semata-mata untuk menghukum individu terbabit. Reman itu sendiri menjadi suatu bentuk hukuman,” katanya.
Sekiranya diperhatikan, cara pihak berkuasa memanggil individu yang berlainan untuk membantu siasatan adalah amat berbeza.
Sekadar contoh, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman menerusi Facebook dengan menasihatkan orang Melayu memboikot peniagaan kaum Cina (The Malaysian Insider, 2 Februari 2015).
Contoh lain ialah Ketua Wanita Umno Baling, Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang membuat kenyataan palsu semasa Perhimpunan Agung Umno 2014, kononnya orang Cina di Kedah membakar Al-Quran.
Seperti diketahui umum, mereka berdua dijemput memberikan keterangan untuk membantu siasatan. Mereka seolah-olah boleh pergi apabila berkelapangan.
Masyarakat perlu berani perjuangkan hak
Hal ini amat berbeza dengan layanan yang diterima oleh orang seperti Zunar. Kebanyakan daripada mereka ditahan reman, kononnya untuk membantu siasatan.
Satu lagi amalan yang dapat diperhatikan, tahanan reman dibuat menjelang hujung minggu atau cuti umum. Selalunya kita melihat amalan ini dalam filem Tamil.
Berdasarkan komen-komen yang saya baca di Facebook dan Twitter, ramai orang mempersoalkan niat sebenar penahanan itu dibuat sedemikian rupa.
Dalam kes Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan yang ditahan pada 19 Februari 2015, menurut Datuk Ambiga, alasan yang diberikan adalah kononnya reman diperlukan untuk membantu siasatan dan pihak berkuasa memerlukan masa untuk pergi mengambil barang-barang bukti dari rumah Arul.
Tidak hairanlah ramai yang mempersoalkan mengapa pula sekitar 10 pegawai yang pergi untuk menahan Arul di rumahnya tidak pula terus sahaja mengambil bahan-bahan bukti yang dimaksudkan.
“Orang ramai perlu berani untuk memperjuangkan hak. Ramai yang takut kepada pihak berkuasa tanpa menyedari hak-hak yang ada pada diri mereka di bawah undang-undang,” Ambiga mengingatkan.
Perkara-perkara umum yang diperkatakan ini mungkin sudah diketahui oleh orang ramai yang sentiasa mengikuti perkembangan Bersih dan beberapa organisasi lain yang memperjuangkan hak dan kebebasan.
Pada masa sama, tentulah masih ada orang yang tidak tahu. Akibatnya, mereka terus hidup dalam kebimbangan dan ketakutan sehingga merasakan mereka tidak ada hak dan kebebasan untuk bersuara.
Dalam situasi seperti ini, sebenarnya ada ramai peguam yang menawarkan khidmat nasihat tanpa bayaran (pro bono) kepada sesiapa yang memerlukan bantuan. Mereka boleh dijadikan tempat rujukan.
Apa yang paling penting, orang ramai perlu menyedari hak dan bersedia untuk menimba ilmu bagi memperkasakan diri agar tidak lagi diperkotak-katik, diperbodoh dan dimanipulasikan mana-mana pihak.
“Janganlah hidup dalam ketakutan. Kita semua ada hak. Kita perlu berani untuk mempertahankan serta menggunakan hak yang dijamin oleh undang-undang,” Datuk Ambiga menyimpulkan pada akhir perbualan kami. – 17 Mac, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments