Opinion

Awas! Najib akan muncul sebagai Tun

Ternyata sambutan hari jadi ke-62 bukan sesuatu yang menggembirakan bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) dan presiden Umno.

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang terang-terangan tidak lagi merestui kepimpinan Najib meminta "pahlawan Bugis" itu bersara awal.

Di pihak Najib – dan isteri tersayang, wanita anggun Datin Seri Rosmah Mansor – ternyata segala serangan yang dilakukan secara bertubi-tubi oleh Mahathir dan majoriti rakyat Malaysia tidak memberikan apa-apa kesan seperti mencurah air ke daun keladi.

Sejak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan, rakyat seolah-olah bangkit berjuang dengan semangat berkobar-kobar untuk menjatuhkan kezaliman, penindasan dan bebanan yang dipaksakan oleh kuasawan ke atas orang ramai.

Namun, berkat sokongan puak-puak "bangang macam menteri", kerajaan mampu terus melakukan apa-apa sahaja yang diingini. Politikus tidak memahami realiti "kerajaan adalah wakil yang dipilih oleh rakyat untuk berkhidmat kepada rakyat".

Sejak 2013, The Edge dan The Malaysia Insider turut melaporkan pelbagai kepincangan dalam urusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sejak tahun lalu, saya sudah yakin, isu 1MDB yang boleh dianggap "pengkhianatan" dan "pecah amanah" terbesar kuasawan kepada rakyat bakal menjatuhkan Umno dan BN.

Apa yang tidak berjaya dilakukan oleh gerakan Asalkan Bukan Umno atau Anything But Umno (ABU) menjelang Pilihan Raya Umum-13 (2013) nampaknya akan berjaya dijadikan realiti hasil pembongkaran demi pembongkaran berkaitan isu 1MDB.

Dalam pada itu, usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan Mahathir untuk menjatuhkan Najib – sekali gus Rosmah – nampaknya mendapat sokongan padu daripada orang ramai.

Hasil perbualan saya dengan rakan-rakan, ramai yang gembira kerana isu 1MDB semakin meletup dan semakin menampakkan kesan yang diingini selepas Mahathir turut bersuara secara lantang dan terbuka.

Di pihak rakan-rakan yang berfikiran lebih rasional dan kritikal, mereka melihat kejatuhan Najib sebagai tidak menjanjikan kejatuhan pemerintahan BN-Umno seperti yang diimpikan.

PR sendiri umpama kapal Titanic

Pelajar sekolah menengah dan murid sekolah rendah yang menguasai ilmu kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) pun mampu memahami hakikat yang akan berlaku jika Najib dijatuhkan; atau berjaya dipujuk bersara awal.

Tentu sahaja Tan Sri Muhyiddin Yassin – atau sesiapa sahaja yang difikirkan paling layak oleh Mahathir - akan mengambil alih tampuk pemerintahan BN, Umno dan negara. 2 x 5, 5 x 2.

Malah, seperti yang disedari ramai, rasisme yang dipamerkan oleh Muhyiddin khabarnya jauh lebih hebat berbanding Najib. Seolah-olah, rakyat bakal terlepas daripada mulut "pahlawan Bugis" dan masuk ke dalam mulut "pahlawan Jawa".

Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini dilihat sebagai "penyelamat" yang bakal mengambil alih pemerintahan negara sebaik BN berjaya ditumbangkan menerusi PRU dan demonstrasi jalanan.

Akan tetapi, hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah PR sendiri sudah menjadi umpama kapal Titanic yang sudah pecah selepas melanggar ketulan ais dan kini sedang karam.

Pergeseran antara DAP dan PAS adalah sesuatu yang nyata. Umno dan BN dikatakan berjaya memanipulasi isu hukum Hudud untuk meretakkan hubungan mereka.

Perpecahan dalam PAS sendiri sudah tidak dapat dielakkan. Pendirian PAS di mana ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang meninggalkan parti itu tertakluk kepada sumpah bai'ah – talak 3 ke atas isteri masing-masing – menerima kritikan hebat.

Gerakan Harapan Baru (GHB) melakukan kesilapan menjanjikan "harapan baru" (recent hope) dan bukannya "harapan baharu" (new hope). GHB sudah menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat yang prihatin.

PKR pula sejak belakangan ini dikritik hebat kerana dikatakan sudah menjadi "parti anak-bini" dan hanya berkiblatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta usaha mengangkat bekas timbalan perdana menteri itu menjadi perdana menteri.

Parti yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilihat sebagai gam yang mampu melekatkan DAP-PKR-PAS. Akan tetapi, kekuatan gam PKR nampaknya sudah semakin berkurangan.

Dikejar tak dapat, dikendong keciciran

PKR pernah dipromosikan sebagai parti politik yang menyatupadukan pelbagai kaum. Akan tetapi, semangat perkauman sebenarnya amat nyata. PKR umpama BN yang cuba mengajak Umno, MIC dan MCA pura-pura bersatu.

Dalam usaha berterusan mencapai impian menjadi perdana menteri, Anwar dikatakan cuba meraih sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Bersih, Ikram, Abim dan GHB. Seruan "reformasi" dan "ubah" dijadikan senjata oleh Anwar untuk meneruskan perjuangan sejak 1998.

Realiti dan perkembangan terbaharu dalam PR juga perlu diambil kira dalam keghairahan golongan ABU mahu melihat kejatuhan Najib. Janganlah sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.

Dalam perbualan santai sambil minum teh bersama-sama rakan-rakan pelbagai latar politik, pendidikan dan pekerjaan, kami cuba melihat kepada isu ini secara lebih realistik.

Ramai orang naik semangat apabila Dr Mahathir tampil mendesak (memaksa) Najib berundur. Mereka segera menyokong Dr Mahathir kerana dikatakan sealiran; iaitu menjatuhkan Najib.

Akan tetapi, bayangkan apa yang boleh – dan akan – berlaku sebaik Dr Mahathir berjaya dalam usahanya. Untuk itu, kita boleh juga membandingkan dengan apa yang berlaku selepas Dr Mahathir berjaya mendesak Tun Abdullah Ahmad Badawi berundur dahulu.

Andaikan Najib (dan Rosmah) tunduk pada tekanan Dr Mahathir, lalu berundur. Dr Mahathir akan segera memilih calon kegemarannya menjadi pengerusi BN, presiden Umno dan perdana menteri. Pasti tidak ada sesiapa dalam BN, Umno dan Kabinet yang berani menentang.

Pemimpin baharu yang diangkat itu mungkin Muhyiddin. Mungkin tidak. Permainan politik Dr Mahathir sukar diduga. Apa yang pasti, individu berkenaan akan merupakan orang yang direstui Dr Mahathir.

Maka, sejarah lama akan berulang. Sentimen "berikanlah peluang" akan dimainkan menjelang PRU-14. Rakyat pelbagai kaum yang memang mudah dipengaruhi dengan emosi akan cuba memberikan peluang kepada pemimpin baharu yang menerajui BN-Umno.

Akhirnya, hanya kepala yang berubah tetapi segala-gala yang lain masih sama dan serupa. Pengundi akan kembali merintih dan meraung kerana kononnya dizalimi dan ditindas BN dan Umno. PR mungkin menuduh BN penipu.

Sementara itu, "Tun" Najib dan "Tun" Rosmah mungkin akan berbulan madu di luar negara tanpa perlu risau memikirkan kekusutan politik yang masih berlaku. – 28 Julai, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments