Opinion

Bahuchara dan transgender

Walaupun mungkin kurang diperkatakan, terdapat catatan mengenai transgender dalam pelbagai mitos dan purana India-Hindu.

Sikap prejudis dan gambaran negatif oleh media arus perdana mungkin menyebabkan orang ramai tidak berusaha menyelongkar kisah transgender untuk mendapatkan maklumat sebenar.

Semasa berkesempatan bertemu seorang transgender bernama Sharan Suresh di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 14 November 2013, saya tidak melepaskan peluang menimba ilmu dan menambah pengetahuan.

Tambahan pula, Sharan terlibat aktif dalam usaha-usaha melakukan advokasi dan memberikan kesedaran tentang transgender kepada masyarakat umum, selain membantu golongan transgender itu sendiri memperkasa diri dengan ilmu.

Berikut adalah sebahagian daripada isi perbualan kami yang saya terjemahkan daripada Bahasa Inggeris dan saya rasakan boleh dimanfaatkan oleh orang ramai.

Uthaya: Saya pernah mendengar mengenai dewi khas yang dikaitkan dengan golongan transgender. Boleh berikan maklumat lanjut mengenai dewi berkenaan?

Bahuchara Mata dipercayai melindungi transgender.Bahuchara Mata dipercayai melindungi transgender.Sharan: Kalau kita melihat golongan transgender dari sudut budaya India dan agama Hindu, perkara yang paling penting, paling asas dan paling menonjol adalah berkenaan Bahuchara Mata yang selalu digambarkan menggunakan seekor ayam jantan sebagai vahanam (kenderaan).

Dalam mitos agama Hindu, Bahuchara adalah avatara (jelmaan semula) Dhurga Dewi. Terdapat 18 avatara utama bagi dewi berkenaan; sembilan di muka bumi dan sembilan lagi di kayangan.

Menurut mitos, antara avatara bagi Dhurga di muka bumi adalah sebagai Kaali, Mahishasuramartini dan sebagainya. Setiap avatara ada peranan dan tujuan khusus.

Bahuchara dikatakan lahir di Gujarat, India sebagai seorang puteri bersama-sama dua beradik perempuan dan tiga abang. Dalam suatu kejadian, sekumpulan penyamun menyerang semasa puteri itu sedang dalam perjalanan jauh bersama-sama kumpulannya.

Gerombolan penyamun itu juga cuba memperkosa wanita-wanita yang berada dalam kumpulan itu. Khabarnya, semasa ketua penyamun cuba memegang buah dada Bahuchara, puteri itu segera menggunakan pisau untuk mencantas payu dara, lalu diserahkan kepada lelaki itu.

Akibat kejadian itu, ketua penyamun berkenaan yang bernama Bapaiya menjadi kurang siuman serta kehilangan sifat-sifat kelelakiannya kerana terkena sumpahan Bauchara.

Selama beberapa tahun lelaki itu berusaha menebus dosanya. Suatu hari, Bahuchara muncul dalam mimpi lalu mengarahkannya supaya berpakaian dan hidup sebagai wanita.

Selepas berbuat seperti diarahkan, ketua penyamun itu mendapat kembali sifat-sifat kelelakiannya. Dia juga sedar bahawa Bahuchara adalah avatara Dhurga Dewi.

Namun, Bapaiya masih menanggung rasa bersalah. Akhirnya dia membuat keputusan mengkasi dirinya – mencantas alat kelamin; zakar – dan hidup sebagai seorang wanita.

Mengikut mitos, Bahuchara memberitahu Bapaiya bahawa dewi itu akan menerima dan melindungi golongan transgender iaitu manusia yang lahir dengan “identiti seks” (alat kelamin) lelaki tetapi memiliki “identiti gender” (minda) wanita, dan sebaliknya.

Apakah kisah Bahuchara sekadar mitos dalam kelompok kecil atau ada juga kisah dalam purana Hindu?

Dalam kalangan penganut Hindu, Bahuchara juga dewi kesuburan. Pasangan suami-isteri yang sudah lama berkahwin tetapi belum dikurniakan anak akan menyembah dewi berkenaan. Sejak ribuan tahun dahulu, ajaran Hindu menyebut Bahuchara sebagai dewi yang memilih sperma yang bakal bersatu dengan ovum semasa hubungan seks.

Ada banyak purana (mitos Hindu) yang menyebut Bahuchara sebagai dewi yang melindungi golongan tansgender; sama ada lelaki menjadi wanita atau wanita menjadi lelaki.

Bagi individu yang dilahirkan dengan “identiti seks” lelaki tetapi memiliki “identiti gender” wanita, Bahuchara dipercayai akan muncul dalam mimpi dan memberitahu bahawa dia diterima oleh dewi berkenaan sebagai seorang wanita.

Malah apabila seorang individu transgender membuat keputusan mahu menjalani pembedahan untuk membuang “identiti seks” lelaki (zakar), dia akan melakukan upacara sembahyang khas yang dinamakan “matha pooja”.

Memang menarik kerana ramai yang tidak tahu segala perkara ini. Minta tolong huraikan upacara ini secara lebih mendalam.

Bahan paling penting dalam upacara “matha pooja” adalah dua biji kelapa. Sebiji akan dipecahkan selepas upacara sembahyang. Jika kelapa itu pecah dengan sempurna, Bahuchara dipercayai sudah memberikan restu untuk individu itu menjalani pembedahan.

Sebaliknya, jika kelapa pertama itu tidak pecah dengan sempurna atau jika isinya rosak (hitam), maka transgender tadi belum menerima restu untuk membuang alat kelamin lelaki yang dimiliki.

Dalam keadaan seperti itu, upacara sembahyang akan diadakan semula genap setahun kemudian. Sekiranya tiga tahun berturut-turut kelapa tidak pecah dengan sempurna atau isinya tidak sempurna, maka Bahuchara terbukti tidak mengizinkan pembedahan dijalankan.

Hal ini tidak bermakna Bahuchara tidak menerima dan melindungi individu transgender berkenaan. Sebaliknya, pembedahan pembuangan zakar pada individu itu tidak direstui kerana mungkin akan membahayakan nyawanya sendiri.

Kalau restu sudah diterima daripada Bahuchara, maka pembedahan boleh dilakukan. Pada masa dahulu, tiada kemudahan bagi membuat pembedahan di hospital.

Pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (Hospital Universiti) pula dihentikan selepas 1982, bukan? Jadi bagaimana pembedahan dilakukan secara tradisional?

Mendiang Aasha Dewi dianggap sebagai ketua dan ibu kepada golongan transgender di Malaysia. Beliau menjadi “ibu” kepada transgender di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur. Semasa hayatnya, Aasha melakukan pembedahan bagi golongan transgender selepas mereka mendapat restu Bauchara.

Upacara pembedahan yang dilakukan selepas “matha pooja” dinamakan “nirvana pooja”. Individu yang melakukan pembedahan akan menggunakan pisau cukur yang diletakkan di hadapan berhala Bahuchara untuk memohon restu.

Kemudian, pisau cukur berkenaan digunakan untuk memotong atau mengerat zakar dan buah zakar yang merupakan “identiti seks” lelaki. Pembedahan tidak melibatkan sebarang ubat bius atau ubat tahan sakit.

Darah yang tersembur keluar dengan banyak sebaik zakar dicantas dianggap sebagai simbol sifat-sifat maskulin mengalir keluar daripada tubuh transgender berkenaan.

Selama 48 hari selepas pembedahan, individu terbabit perlu berpantang dan menjaga pemakanan. Dia hanya memakai pakaian – biasanya sari – warna hijau sepanjang tempoh berpantang.

Selama tempoh itu juga dia tidak dibenarkan bersemuka dengan mana-mana lelaki. Sebaliknya, dia akan dijaga oleh transgender lain. Bulu yang tumbuh pada seluruh badan akan dicabut menggunakan peralatan khas.

Pada hari ke-48, upacara “sadangu” akan dilakukan. Dalam budaya India, upacara ini hanya dilakukan bagi gadis yang sudah baligh. Maknanya, individu transgender tadi sudah menjadi wanita selepas membuang “identiti seks” lelaki yang dimiliki sebelum ini.

Ternyata tradisi budaya India dan agama Hindu amat dititik beratkan dalam kehidupan transgender.

Benar. Dalam upacara “matha pooja” dahulu, dua biji kelapa digunakan. Sebiji sudah dipecahkan dan sebiji lagi masih diletakkan dengan baik di hadapan berhala Bahuchara.

Kelapa itu kini diletakkan di atas “kumbam” iaitu sebiji bekas logam (sembu) yang diisikan dengan susu lembu. Individu tadi akan berpakaian menutup seluruh tubuh -- termasuk muka – dan membawa “kumbam” berkenaan ke laut.

Laut itu adalah simbol lagi “lautan susu” yang menjadi tempat bersemayam bagi Dewa Vishnu dalam mitos dan purana Hindu. Vishnu pula pernah beberapa kali muncul dalam avatara Mohini, iaitu seorang wanita cantik.

Individu transgender tadi akan meletakkan “sembu” berisi susu di atas kepala. Kemudian, sebahagian susu dicurahkan ke arah belakang sambil berkata (lebih kurang), “Kehidupan saya sebagai lelaki (identiti seks) adalah masa lampau.”

Kemudian sebahagian susu dicurahkan ke arah hadapan sambil berkata, “Kini kehidupan saya adalah sebagai seorang wanita.” Segala upacara yang saya ceritakan ini boleh juga ditonton dalam filem Narthagi (2011).

Selepas upacara di laut selesai, transgender itu dibawa pulang ke rumah. Upacara sembahyang khas diadakan bagi Bahuchara. Kemudian, kain yang menutup wajah individu tadi akan dialihkan. Wajahnya kini sudah berubah menjadi wajah wanita.

Wajah transgender berubah selepas ‘nirvana pooja’.Wajah transgender berubah selepas ‘nirvana pooja’.Perubahan itu dipercayai dilakukan oleh Bahuchara. Malah, manusia biasanya hanya ada satu kehidupan tetapi golongan transgender dianugerahkan dua “kehidupan” iaitu kehidupan sebelum dan selepas upacara “nirvana pooja”.

Ramai juga yang mengaitkan Ardhanari – gabungan Dewa Shiva dan Dewi Parvati menjadi separuh lelaki dan separuh wanita – dengan golongan transgender.

Bagaimanapun, rupa bentuk Ardhanari dalam mitos hanyalah simbol dan metafora untuk menunjukkan bahawa ajaran Hindu menekankan persamaan hak antara lelaki dan wanita.

Ardhanari berperanan mengingatkan manusia bahawa lelaki tidak boleh hidup tanpa wanita; dan demikian juga sebaliknya. Rupa bentuk itu juga untuk menyedarkan manusia bahawa dalam diri setiap lelaki masih ada sifat-sifat kewanitaan (feminin); dan dalam diri setiap wanita tetap ada sifat-sifat kelelakian (maskulin).

Sifat maskulin dan feminin adalah aspek peribadi seseorang dan bukannya “identiti gender” dan bukan juga “identiti seks” seseorang. Orang ramai tidak harus terkeliru tentang perkara ini.

Sekiranya masyarakat – khususnya kaum India – berusaha memahami segala perkara ini, saya percaya, tidak akan timbul isu meminggirkan atau menindas golongan transgender yang tidak berdosa. – 25 November, 2013.

* Uthaya Sankar SB boleh dihubungi menerusi e-mel [email protected] untuk maklumat lanjut mengenai topik ini.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments