Masih ingat klip video di mana Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Malaysia, Zulkifli Noordin menghina ajaran dan penganut Hindu? Masih ingat bagaimana lelaki kiasu itu diangkat pula oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak sebagai "rakan BN" untuk bertanding kerusi Parlimen Shah Alam dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)?
Tindakan Zulkifli dan Najib mempersenda, memperlekeh serta tidak mengambil kira sensitiviti orang ramai akhirnya dibalas masyarakat pelbagai kaum dan agama menggunakan kuasa undi pada 5 Mei 2013. Zulkifli kalah teruk dan BN gagal "merampas" Selangor.
Klip video berkenaan yang tersebar luas di ruang siber pada penghujung Mac 2013 membuktikan bagaimana Zulkifli dan puak ultra kiasu, etnosentrik, fanatik, rasis dan pelampau seperti dirinya suka membuka mulut dan menghina kaum, agama dan ajaran lain tanpa ada walau sedikit pengetahuan (disebut budhi iaitu "otak" atau "pemikiran" dalam budaya India).
Walaupun kejadian itu merupakan kisah yang mungkin wajar dilupakan dan dimaafkan (forgive and forget), tujuan saya mengimbas kembali insiden itu adalah untuk menarik perhatian orang ramai tentang jahilnya kita (masyarakat) sehingga sewenang-wenangnya melontarkan sikap prejudis, penghinaan dan celaan terhadap orang lain.
Dalam kes Zulkifli, dia ternyata bersikap "bodoh sombong" kerana walaupun dia tidak tahu apa-apa mengenai perbezaan konsep "berhala" dan "patung", dia tetap mahu secara sengaja dan penuh sedar menghina, mengutuk dan memperlekeh orang Hindu menerusi ceramah yang kononnya dirakam sedekad lalu.
Untuk makluman, bukan semua patung boleh dianggap berhala. Tentulah saya tidak mahu membazirkan masa mengajar, membimbing dan mendidik puak seperti Zulkifli, Ridhuan Tee Abdullah, Perkasa, Umno dan Isma. Tindakan itu umpama mencurahkan air ke daun keladi.
Sebaliknya, maklumat yang dikongsikan di sini bertujuan memperkasakan (empower) masyarakat umum pelbagai kaum, etnik dan agama supaya tidak mudah diperbodohkan oleh puak fanatik dan ultra kiasu yang jahil serta tidak ada budhi.
Ajaran Hindu bermula sebagai Sanatana Dharma lebih 5,000 tahun dahulu di Lembah Indus yang kini sebahagian besar terletak di Pakistan. Kitab-kitab Veda dalam bahasa Sanskrit menjadi rujukan untuk memahami amalan penyembahan berhala dalam kalangan penganut agama Tauhid tertua ini.
Pengetahuan asas mengenai Murtisilpa, ikonografi atau sains imej dalam ajaran Hindu boleh membantu kita untuk sekurang-kurangnya tidak mudah diperbodohkan puak pelampau. Maklumat ini boleh dimanfaatkan orang Hindu dan bukan Hindu tanpa perlu timbul soal akidah, keimanan atau kepercayaan agama masing-masing tergugat.
Berhala sebesar ibu jari sahaja di rumah
Sekiranya ilmu ikonografi difahami, maka kita akan sedar bahawa orang Hindu bukan menyembah berhala; sebaliknya menyembah sifat-sifat Tuhan yang diwakili oleh berhala berkenaan.
Pada masa sama, perlu diakui bahawa sejarah Hinduisme yang lama, ajaran teramat kompleks serta teks/kitab rujukan dalam bahasa yang kini tidak dikenali para penganut sendiri menjadikan wujud kejahilan, kekeliruan, kecelaruan dan pemesongan dalam amalan menyembah berhala.
Maka, selain daripada "membimbing" orang bukan Hindu memahami konsep berhala dalam ajaran Hindu, makalah ini juga bertujuan "mendidik" orang Hindu tentang asas ikonografi sebenar berdasarkan beberapa perkara dalam kitab-kitab Veda.
Secara umum, berhala terdapat di kuil dan di rumah. Ramai yang tidak tahu bahawa mengikut hukum-hakam dan syarat-syarat ketat dalam Veda, berhala yang ditempatkan di rumah hanya boleh bersaiz sebesar ibu jari manusia.
Bagi berhala yang ditempatkan di kuil pula, memandangkan ia menjadi mandala atau semacam "kiblat" bagi penganut, maka saiz berhala berkenaan perlulah cukup besar supaya boleh dilihat dengan jelas oleh penganut yang datang bersembahyang di kuil berkenaan.
Berhala yang diletakkan secara kekal di kuil - khususnya dalam ruang tengah kuil yang digelarkan mulastanam - disebut sebagai "dhruvabera" atau "acala". Berhala ini dihasilkan oleh silpi (pakar pengukir berhala) mengikut syarat dhyanasloka dan mantramurti.
Secara mudah, dhyanasloka merujuk kepada catatan yang dilakukan oleh golongan rishi (pendeta) yang dipercayai berpeluang "melihat" Tuhan dalam satu atau beberapa "rupa" berdasarkan sifat-sifat Tuhan. Jumlah sifat Tuhan adalah infiniti; sebagaimana turut ditekankan dalam agama Islam.
Seterusnya, dhyanasloka dihayati dan dibaca berulang kali oleh silpi sehingga muncul gambaran (visual dalam minda) yang dinamakan mantramurti, iaitu "rupa" Tuhan sebagaimana dilihat oleh golongan rishi. Gambaran itu membantu silpi mengukir berhala yang mewakili Tuhan; sepertimana dicatatkan dalam dhyanasloka oleh rishi.
Berhala yang ditempatkan secara kekal di kuil -- "dhruvabera" atau "acala" - biasanya diperbuat daripada batu seperti granit dan marmar. Kerja mengukir berhala hanya boleh dilakukan oleh silpi profesional yang tertakluk pada pelbagai syarat, peraturan, pantang larang dan norma.
Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kavyan
Dalam novel Panchayat: Edisi Khas (2012) dikisahkan mengenai berhala Kaali Devi yang diperbuat daripada emas serta dikalungkan dengan bunga malai dan rantai emas. Devi berkenaan digambarkan sebagai sedang duduk di atas seekor singa yang diukir daripada batu hitam.
Orang yang memahami ilmu Murtisilpa atau ikonografi akan tahu bahawa berhala emas Kaali Devi itu bukan berupa "dhruvabera" atau "acala". Maknanya ia sepatutnya bukan ditempatkan secara kekal di mulastanam kuil - walaupun itulah yang nampaknya dilakukan penduduk Kubur Gajah dalam novel berkenaan sejak sekitar tahun 1900.
Berhala seperti itu sebenarnya digelarkan "utsavamurti" iaitu berhala dewa-dewi yang sering dibawa menyertai perarakan dari satu tempat (kuil) ke tempat lain. Contoh paling mudah untuk membantu pemahaman adalah perarakan rata yang membawa berhala Dewa Murugan semasa sambutan Thaipusam; khususnya di Batu Caves dan Pulau Pinang.
Berhala berciri "utsavamurti" ini biasanya diperbuat atau diukir daripada logam (emas, perak), pancaloga (gabungan lima logam), batu bernilai (nilam, manikam, permata), kayu (jati, cendana) atau tanah liat. Berhala bersaiz kecil - sebesar ibu jari - yang disembah di rumah kebanyakan penganut Hindu juga diperbuat atau diukir daripada bahan-bahan ini.
Dalam kehidupan masyarakat majmuk dan pelbagai kaum/etnik/agama di Malaysia, tentu sahaja setiap orang pernah melihat berhala di kuil Hindu. Atau sekurang-kurangnya di kaca televisyen, pada poster, majalah atau akhbar.
Berhala berciri "dhruvabera" atau "acala" yang ditempatkan secara kekal di kuil terbahagi kepada tiga jenis yang amat mudah dikenal pasti berdasarkan posisi masing-masing. Peserta Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sejak 2010 pasti lebih memahami perkara ini.
Peserta konvoi ke Arulmigu Maha Mariamman Thirukkovil di Seksyen 23, Shah Alam pada 24 November 2013 turut berpeluang menyaksikan seorang pengukir berhala dari Tamil Nadu, India membuat kerja-kerja menghasilkan sebuah berhala bagi kuil berkenaan.
Bentuk atau kedudukan yang paling lazim adalah sthanaka di mana berhala dewa-dewi digambarkan berada dalam posisi berdiri. Bentuk kedua adalah asina di mana dewa-dewi berkenaan berada dalam posisi duduk.
Berhala Shiva, Shakti, Ganesha, Murugan, Lakshmi, Saraswathi dan sebagainya di seluruh dunia boleh ditemui dalam posisi sthanaka dan asina. Malah kebanyakan patung (ulang: patung) dewa-dewi yang dihasilkan secara komersial sebagai perhiasan dan cenderamata - bukan untuk disembah sebagai berhala - juga berada dalam posisi ini.
Berdiri, duduk atau berbaring?
Satu lagi posisi yang agak jarang ditemui dalam kalangan dewa-dewi Hindu adalah sayana iaitu dalam keadaan berbaring; seperti patung Sleeping Buddha di Tumpat, Kelantan yang dikenali umum.
Sejak dahulu, Dewa Vishnu sering digambarkan berada dalam posisi sayana, khususnya berbaring di atas Ananta Shesha (raja ular tedung berkepala seribu) yang terapung-apung pada permukaan lautan susu di Vaikuntha (kayangan).
Dalam perkembangan semasa, dewa-dewi lain juga mula digambarkan dalam posisi sayana. Bagaimanapun, kebanyakannya adalah patung dan bukannya berhala yang dihasilkan mengikut ilmu ikonografi.
Mungkin patung inilah yang dilihat oleh Zulkifli apabila berkunjung ke sebuah gerai tepi jalan di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur; seperti diceritakannya dalam klip video yang disebutkan pada bahagian awal makalah ini.
Contoh terbaik "patung" dewa-dewi Hindu adalah patung Murugan setinggi 42.7 meter di Batu Caves. Ia sekadar patung dan hiasan sebagai tarikan pelancong; bukannya berhala yang layak disembah penganut ajaran Hindu.
Tentu sahaja terdapat banyak lagi aspek yang lebih mendalam berkaitan ilmu Murtisilpa untuk memahami konsep penyembahan berhala dalam kalangan penganut Hindu. Apa-apa yang disentuh di sini adalah amat asas dan secara permukaan sahaja.
Namun, perkara paling asas yang perlu ditekankan adalah bahawa berhala tidak dibuat sewenang-wenangnya. Puak seperti Zulkifli dan Ridhuan Tee perlu mampu membezakan antara "berhala" dan "patung" sebelum membuka mulut dan menghina amalan mana-mana agama.
Atau lebih baik jika masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia mempunyai sedikit pengetahuan asas mengenai ikonografi supaya tidak mudah diperlekeh, diperbodohkan, dipersenda dan diperkotak-katikkan oleh puak pelampau yang tidak ada budhi.
Sebagai penganut agama Tauhid pertama dan tertua di dunia, orang Hindu (Sanatana Dharma) bukannya menyembah berhala atau mengamalkan politeisme. Sebaliknya menyembah Tuhan Yang Maha Esa. Ilmu dan pengetahuan ikonografi akan membantu masyarakat memahami hakikat ini. – 3 Mac, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments