Opinion

Dilema sastera Tamil

Penulis dari India dan Malaysia memperkatakan pelbagai isu pada Festival Sastera Tamil. – Gambar The Malaysian Insider, 7 April, 2015.Penulis dari India dan Malaysia memperkatakan pelbagai isu pada Festival Sastera Tamil. – Gambar The Malaysian Insider, 7 April, 2015.Walaupun bidang penulisan sastera bahasa Tamil sudah lama bertapak di negara ini, sekelompok penulis Tamil nampaknya masih mengharapkan sokongan dan simpati dari Tamil Nadu, India.

Gambaran yang memeranjatkan serta sedikit menghairankan ini jelas menerusi ucapan presiden Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia, P Rajendran pada majlis penutupan Festival Sastera Tamil di Universiti Malaya pada 5 April, 2015.

Sesungguhnya sastera Tamil di negara ini bermula dengan terbitnya novel sulung karya K Vengadaratnam dari Tamil Nadu pada 1917.

Kumpulan cerpen pertama oleh V Sinniah Pillai terbit pada 1930, manakala buku kedua oleh AMM Ibrahim pada 1946, iaitu selepas zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Maklumat terperinci terdapat dalam buku “Cerpen Tamil dan Melayu (1957-1970): Perbandingan Tema dan Struktur” (1993) oleh Dr Krishanan Maniam dan “Malaysian Tamil Novels Before Independence” (1999) oleh Dr Sababathy Venugopal.

Hasil penelitian mendapati rata-rata tema dan cerpen awal adalah mengenai kemerdekaan India, sistem kasta dan dowri dalam perkahwinan. Malah, latar tempat menggunakan Tamil Nadu dan Sri Lanka.

Keadaan ini hanya mula berubah pada 1950-an apabila penulis Tamil mula menggunakan latar Tanah Melayu, serta mengangkat kisah-kisah yang berlaku di sini.

Kebanyakan penulis awal berpendidikan Tamil serta menjadi guru di sekolah Tamil, wartawan akhbar Tamil atau bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR).

Tema-tema yang menjadi pilihan mereka adalah berkaitan masalah sosial, cinta, penderitaan akibat perang dan masalah di ladang.

Novel Tamil sebelum 1957 ketara bertema penyiasatan, iaitu tema yang ditiru bulat-bulat daripada gaya penulisan pengarang di Tamil Nadu.

Malah, Tamil Nadu menjadi latar tempat kerana ramai novelis terbabit berasal dari sana.

Usaha terancang menghapuskan bahasa, budaya Tamil

Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia yang diasaskan pada 1958 mula bergiat aktif melakukan reformasi pemikiran serta membantu para penulis Tamil tempatan menghasilkan karya bermutu mengikut acuan tempatan.

Maka, hadirin pada Festival Sastera Tamil di Universiti Malaya, kelmarin, tentu berasa hairan apabila Rajendran seolah-olah melangkah ke belakang dalam memperkasa dan mengangkat martabat serta kedudukan sastera bahasa Tamil di Malaysia.

“Dalam masa 20 atau 30 tahun lagi, apakah kedudukan kita (orang Tamil) di Malaysia akan menjadi seperti orang Chetti Melaka yang tidak tahu bahasa Tamil, atau menjadi lebih teruk daripada mereka?

“Untuk itu, penulisan sastera Tamil perlu memikul tanggungjawab sebelum kemusnahan berlaku,” kata Rajendran dalam ucapannya.

Tanpa menyebut nama, beliau berkata, dua kaum lain sudah maju, kukuh dan “menggunung” dalam bidang ekonomi dan politik.

Pada pandangannya, orang Tamil (kaum India) sebagai golongan minoriti yang lemah dari segi kekuatan ekonomi dan politik wajib mempertahankan bahasa dan sastera Tamil sebagai identiti.

“Hanya dengan cara itulah kita boleh membuktikan (menerusi catatan sastera) yang kaum India pernah hidup di negara ini,” katanya.

Dari satu segi, apa yang diingatkan oleh Rajendran adalah amat perlu diberikan perhatian. Memang golongan minoriti, terpinggir, marginal dan tertindas perlu “bersuara” dan merakamkan kisah mereka menerusi tulisan.

Pada penelitian Rajendran, terdapat usaha-usaha terancang oleh pihak tertentu untuk menafikan bahasa, sastera, budaya dan sejarah orang Tamil di Malaysia.

Beliau juga merayu supaya Sahitya Akademi di bawah Kementerian Kebudayaan India turut memberi perhatian, peluang dan pengiktirafan kepada penulis Tamil di Malaysia dengan memuatkan karya mereka dalam buku-buku yang diterbitkan di India.

Penulis Tamil perlu mampu berdikari

“Dalam penerbitan dan ulasan buku-buku Tamil serta pemberian hadian dan anugerah, harap sudi memberi ruang kepada penulis Tamil dari Malaysia juga,” Rajendran mengemukakan permintaan kepada kerajaan India.

Beliau bimbang, tanpa sokongan dan perhatian kerajaan India, maka dalam masa 50 tahun lagi, bahasa dan budaya orang Tamil mungkin terhapus di Malaysia.

“Di mana-mana pelosok dunia bahasa Tamil dan orang Tamil masih hidup, anda (kerajaan India) perlu tampil membantu. Barulah kami boleh terus hidup dengan bahasa dan sastera Tamil.

“Walau apapun yang kami lakukan di sini (Malaysia), kami masih perlu bergantung dan merujuk kepada perkembangan di Tamil Nadu. Saya merayu supaya anda terus memberikan peluang dan tunjuk ajar kepada kami,” katanya.

Chandra Suriya yang berucap selepas itu mewakili para penulis Tamil pula mempunyai pandangan dan pendirian yang berbeza dan lebih waras.

Beliau mengaku, sejak dahulu, penulis Tamil di Malaysia sangat taksub dengan perkembangan sastera dan penulisan di Tamil Nadu.

Bagaimanapun, era kebergantungan dan “berkiblatkan” Tamil Nadu sudah berakhir.

Maknanya, golongan penulis Tamil veteran di Malaysia sendiri menjadi pembimbing dan tempat rujukan serta pejuang sastera Tamil di negara ini.

Chandra Suriya selaku penulis wanita berpengalaman tidak menolak kedatangan penulis-penulis Tamil dari India untuk berkongsi pengalaman dan terlibat dalam sesi perbincangan bersama-sama penulis dan khalayak sastera Tamil di Malaysia.

“Memanglah ada hubungan sejarah, adat, budaya, bahasa, agama dan sebagainya antara orang Tamil di sini (Malaysia) dengan negara asal nenek moyang.

“Akan tetapi, kami di sini mempunyai jati diri dan identiti tersendiri yang mungkin sudah tidak sama dengan identiti orang Tamil di India. Maka, tidak timbul keperluan untuk asyik bergantung kepada India untuk memastikan bahasa dan sastera Tamil terus hidup di Malaysia,” katanya.

Mengharapkan reaksi pihak terbabit

Festival Sastera Tamil anjuran Kedutaan India dan Sahitya Akademi pada 3-5 April 2015 turut menampilkan pengarang hebat dari Tamil Nadu, iaitu Sa. Kandasamy, G Thilakavathi, P Sivakami, R Venkatesh, Maalan Narayanan dan Sirpi Balasubramaniam.

Pengarang Tamil tempatan yang turut berkongsi pengalaman di pentas ialah Re. Karthigesu, Dr Shanmuga Siva, Pachaibalan, Ko. Punniyavan dan Nirmala Raghavan.

Saya pula diundang untuk memperkatakan mengenai Sasterawan Kavyan, iaitu kelompok penulis kaum India yang menghasilkan karya asli Bahasa Malaysia.

Pada penelitian saya sejak awal 1990-an, pengarang Tamil tempatan tidak kurang hebat berbanding pengarang Tamil dari India.

Para pengarang dari Tamil Nadu juga berkali-kali mengingatkan supaya penulis Tamil di Malaysia tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada negara India untuk membantu menyemarakkan sastera Tamil di sini.

Terdapat sekitar 200 penulis Tamil yang aktif menghasilkan sajak, cerpen, novel dan rencana di Malaysia. Kebanyakan daripada mereka lahir, belajar dan membesar di tanah air.

Maka, timbul pula persoalan mengapa Rajendran mengemukakan rayuan seumpama itu dalam ucapannya. Apakah kebimbangannya berasas?

Apakah memang ada usaha pihak tertentu cuba menghapuskan bahasa, sastera, budaya dan identiti Tamil di Malaysia sehingga terpaksa merayu “perlindungan” dari negara India?

Selain daripada golongan penulis Tamil, MIC selaku parti politik yang kononnya berjuang demi bahasa, budaya, identiti dan maruah orang Tamil wajar tampil memberikan pandangan.

Pada masa sama, saya percaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mempunyai jawapan positif bagi meredakan kebimbangan yang disuarakan oleh Rajendran. – 7 April, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments