Opinion

DNA babi ke lemak lembu

Isu DNA babi dalam coklat muncul pada 24 Mei 2014 dan "selesai" pada 2 Jun 2014. Orang India-Hindu turut hairan dan terkejut apabila coklat yang mendapat pengesahan "Halal" daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dikatakan mengandungi DNA babi.

Untuk makluman, ramai orang India dan Hindu yang tidak makan daging lembu dan babi. Maka, insiden melibatkan coklat Cadbury turut menyentuh sensitiviti mereka.

Saya sendiri secara peribadi sering juga membawa coklat Cadbury sebagai buah tangan apabila berkunjung ke rumah orang: Islam, Hindu dan sebagainya.

Tentulah saya melakukan perkara itu tanpa sedar dan tanpa sebarang niat. Mujurlah Jakim tampil "menyelesaikan" isu dengan membuat pengesahan rasmi tidak ada DNA babi pada coklat berkenaan.

Dalam pada itu, hasil perkongsian maklumat bersama rakan-rakan pelbagai kaum dan agama dari dalam dan luar negara, saya mendapat pengesahan pada 28 Mei 2014 keropok kentang jenama Pringles memang mengandungi lemak lembu.

Perkara ini tentu merisaukan pengguna Hindu. Malah, Mohini dari Melaka bertanya apakah pengguna India-Hindu boleh menyaman syarikat pengeluar barangan berkenaan.

Saya menjelaskan kepadanya walaupun ada kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang bercadang menyaman syarikat Cadbury dalam isu DNA babi, orang ramai (India-Hindu) tidak boleh menyaman pengeluar Pringles kerana sudah tercatat jelas pada bahagian "ramuan" barangan makanan itu mengandungi lemak lembu.

Rakan-rakan tampil memberikan contoh barangan yang disahkan mengandungi lemak lembu dan wajar dielakkan orang Hindu yang prihatin. Tentulah perkongsian maklumat ini tidak bertujuan menghina mana-mana kaum atau agama, atau menyalahkan syarikat pengeluar.

Sebaliknya untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat Hindu ada banyak barangan makanan yang mengandungi lemak lembu tetapi kita sering terlepas pandang. Peristiwa DNA babi pula berjaya membuka mata sekelompok orang.

Apabila saya bertanya menerusi paparan Facebook pada 4 Jun 2014, ramai yang mengaku kini lebih prihatin terhadap barangan makanan yang mengandungi lemak lembu serta mengelak daripada membeli barangan berkenaan.

Pengguna Hindu semakin berhati-hati

Haruslah diakui dalam realiti di Malaysia, terlalu banyak barangan makanan yang mengandungi lemak lembu. Malah ada beberapa rakan Islam yang mengatakan mereka turut was-was kerana tidak pasti sama ada sumber lemak lembu itu daripada lembu yang disembelih mengikut peraturan agama.

Berbalik kepada masyarakat Hindu pula, Karthiga Veloo berkongsi maklumat kebanyakan gula-gula mengandungi gelatin lembu. Bahan gelatin ini boleh dihasilkan daripada kolagen yang diambil daripada tulang dan tisu ayam, babi, ikan dan lembu.

"Kalau maklumat pada ramuan hanya mencatatkan 'gelatin haiwan' maka kita tidak tahu secara tepat sama ada diambil daripada lembu, babi, ayam atau ikan. Untuk selamat, saya biasanya mengelak semua makanan yang mengandungi gelatin," katanya.

Saya mendapati sejak muncul isu berkaitan coklat Cadbury, orang India-Hindu semakin peka terhadap kandungan lemak lembu dalam barangan makanan yang dibeli.

Saya mengemukakan pertanyaan menerusi Facebook pada 4 Jun 2014 sama ada mereka mengelak daripada membeli barangan yang sah ada unsur lemak lembu. Dalam masa beberapa jam, lebih 80 orang menjawab "ya".

Sham Dharma dan Ghanthimathi berkongsi maklumat marshmallow mengandungi gelatin lembu. Pengguna wajar membaca maklumat ramuan pada semua makanan yang diproses sebelum membeli bagi mengelakkan masalah.

Sebagai seorang pegawai teknologi makanan yang berpengalaman, Ghanthimathi menjelaskan ramuan penambahan seperti pengimulsi (emulsifier) dan lesitin (lecithin) juga perlu diberi perhatian kerana ada kemungkinan mengandungi bahan daripada binatang.

"Perkataan whey (sejenis dadih) yang tercatat pada ramuan makanan juga perlu diperhatikan kerana ia hasil sampingan kogulasi keju atau proses penggumpalan susu yang menggunakan renet," katanya.

Semasa perbincangan dan perkongsian maklumat berlangsung, Saras Manickam tampil menyuarakan kebimbangan sekiranya orang India-Hindu juga mula memberikan reaksi berlebih-lebihan seperti yang dilakukan kumpulan tertentu dalam isu coklat Cadbury yang disyaki mengandungi DNA babi.

Saya percaya beliau merujuk kepada kes sekumpulan orang yang menuntut untuk menukar darah serta sekumpulan lagi NGO yang melancarkan "jihad" terhadap barangan keluaran syarikat Cadbury.

Serah tugas kepada MHS, MIC?

Kebimbangan Saras adalah berasas. Namun begitu, topik perbincangan bukan bertujuan menyalahkan sesiapa, sebaliknya sekadar berkongsi maklumat yang kemungkinan orang Hindu terlepas pandang selama ini.

Seperti kata Ghanthimathi, tiada sebarang bentuk provokasi dalam perbincangan kami. Tambahan pula, pengguna perlu ada kesedaran tentang kandungan serta ramuan dalam bahan makanan yang diproses.

Selain daripada alasan larangan agama, aspek budaya dan alahan (alergi) terhadap bahan tertentu juga menjadi sebab perlunya kandungan lemak lembu dalam makanan diketahui.

"Saya pernah beberapa kali 'terperangkap' dengan makanan yang ada kandungan lemak atau daging lembu kerana sama ada saya tidak mendapat maklumat tepat mengenai kandungan makanan itu atau saya tersalah beli.

"Saya tidak mahu menyalahkan orang lain, sebaliknya mengingatkan diri sendiri supaya lebih berwaspada, berhati-hati dan mengambil tahu kandungan sebenar makanan sebelum dimakan," kata Nizha Periaswamy, seorang wartawan.

Bagi pengguna Islam, Jakim memainkan peranan penting dalam menjaga dan memelihara soal halal. Belum ada pihak yang benar-benar diberikan tugas dan kepercayaan bagi memastikan makanan yang dibeli dan dimakan orang Hindu tiada kandungan lembu.

Tamil Selvan Thirumalai mencadangkan Malaysia Hindu Sangam (MHS) patut bertindak segera bagi menangani isu ini. Misalnya, menerusi liputan media Tamil (akhbar, radio dan televisyen) bagi menasihatkan pengguna Hindu tidak membeli makanan yang ada kandungan lemak lembu.

"MHS juga perlu mengemukakan notis bantahan kepada pengeluar barangan makanan yang ada kandungan lemak lembu supaya segera mencari sumber alternatif menggantikan lemak lembu.

"Saya rasa MHS juga perlu memikul tanggungjawab menghantar laporan kes ini kepada menteri perdagangan. MHS juga boleh bekerjasama dengan MIC dan mendesak menteri-menteri beragama Hindu membawa isu ini ke mesyuarat Kabinet," katanya.

Apabila membaca cadangan itu, Saras mula risau kerana apa yang dibimbanginya tadi sudah mula berlaku. Saya juga bersetuju lalu mengingatkan Tamil Selvan kita tidak harus melibatkan MHS, MIC dan sebagainya dalam hal ini.

Kesedaran harus bermula dalam diri

Pada pendirian saya, MIC, MHS serta menteri dan timbalan menteri beragama Hindu pasti ada pelbagai isu lain yang "amat penting" untuk ditangani. Tentu tidak wajar kita menambah beban kerja mereka dengan perkara-perkara yang "tidak mampu" mereka bantu.

Tamil Selvan bersetuju kesedaran masyarakat (India-Hindu) adalah lebih penting berbanding mengharapkan bantuan pihak luar yang tidak akan mampu berbuat apa-apa.

"Komen saya tadi adalah demi menyedarkan masyarakat India-Hindu kita juga perlu menggunakan NGO dan pertubuhan politik sedia ada untuk mengetengahkan isu yang dihadapi.

"Kita lihat bagaimana rakan-rakan Melayu-Islam menggunakan sepenuhnya Jais, Jakim, Isma, Perkasa dan Umno untuk bersuara bagi menegakkan perjuangan dalam isu coklat Cadbury baru-baru ini. Banyak yang boleh kita belajar daripada mereka," katanya.

Memanglah bagus kalau MHS dan MIC mampu bertindak. Misalnya, mereka boleh memanfaatkan maklumat yang dikongsikan menerusi Facebook (dan makalah ini) mengenai kandungan lemak lembu dalam makanan.

MHS dan MIC bebas menggunakan maklumat ini untuk melakukan tindakan lanjut; jika ada kemahuan, kemampuan dan rasa tanggungjawab. Sementara menunggu bulan jatuh ke riba, lebih baik orang ramai sendiri berkongsi segala maklumat ini bersama rakan-rakan dan kaum keluarga demi manfaat bersama.

Berbalik kepada topik perbincangan, Ghanthimathi mengingatkan ada juga makanan yang diproses (processed food) seperti burger ayam dan sosej ayam yang berkemungkinan besar mengandungi lemak lembu, tetapi tidak dinyatakan langsung pada label.

"Sos warna perang yang digunakan dalam hidangan chicken chop mengandungi ekstrak lembu tetapi ramai orang India-Hindu yang tidak tahu. Begitu juga dengan sejumlah ramuan sos pada kentang putar (mash potato)," kata pegawai teknologi makanan itu.

Seperti kata Aslambigai, gelatin lembu memang terdapat pada kapsul kebanyakan multivitamin yang dijual di Malaysia. Dalam hal ini, Nagathisen Katahenggam dari Pulau Pinang mengakui amat sukar untuk penduduk Malaysia menghindari makanan yang ada kandungan lemak lembu.

Sukar hindar gelatin pada ubat-ubatan

"Saya akan menghindari mana-mana makanan yang secara nyata ada kandungan daging lembu, misalnya gulai daging lembu. Saya faham apabila masyarakat India-Hindu masih mengambil multivitamin yang ada gelatin lembu pada kapsul.

"Kita sebagai kumpulan minoriti perlu faham kita tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak dalam hal ini. Sebaliknya menjadi tugas dan tanggungjawab kita sendiri untuk membaca label barangan makanan dengan teliti," kata Nagathisen.

Kapsul ubat dikatakan menggunakan bahan daripada lembu mengundang dilema penganut Hindu.Kapsul ubat dikatakan menggunakan bahan daripada lembu mengundang dilema penganut Hindu.Dalam hal ini, seorang ahli kimia, Jayaprakash Jayachandran menambah dalam konteks Malaysia, pemantauan dibuat bagi memastikan tiada kandungan gelatin babi digunakan pada kapsul ubat-ubatan.

Gelatin yang diperkatakan ini merujuk kepada bahan yang jernih warnanya, tidak mempunyai bau atau rasa, serta diperbuat daripada tulang dan kulit binatang yang direbus.

"Bahan yang digunakan secara meluas adalah gelatin lembu. Memang ada pilihan menggunakan rumpai laut (seaweed) tetapi kosnya terlalu tinggi. Dalam hal ini, pengguna Hindu perlu diberikan maklumat dan pendidikan supaya bijak membuat pilihan," katanya.

Dalam pada itu, ulama terkenal dunia, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi dilaporkan mengesahkan gelatin babi adalah halal bagi orang Islam, termasuk dalam produk makanan setelah ia melalui proses transformasi (perubahan zat).

Portal berita Kuala Lumpur Post (6 Jun 2014) memetik kenyataan daripada laman rasmi ulama itu dalam melaporkan perkara tersebut yang mungkin membantu meredakan kebimbangan dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

Mungkin petua "perubahan zat" yang sama terdapat dalam ajaran Hindu, khususnya dalam soal gelatin lembu pada kapsul ubat-ubatan. Mungkin sesiapa yang ada maklumat lanjut boleh berkongsi ilmu demi manfaat bersama.

Seperti yang sudah dikatakan, perbincangan dan perkongsian maklumat yang dilakukan berkaitan isu lemak lembu menerusi paparan Facebook dan makalah ini tidak bertujuan menyalahkan sesiapa atau mana-mana pihak.

Sebaliknya sekadar untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan pengguna Hindu supaya mereka lebih berhati-hati. Semuanya berbalik kepada diri sendiri; iaitu sikap mengambil tahu dan mengelakkan apa-apa yang dirasakan tidak sesuai mengikut pegangan agama masing-masing. – 9 Jun, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments